Saturday, 18 December 2021

SEKOLAHKU SEJAHTERA TAK BEBAN GURU

Putrajaya: Konsep Sekolahku Sejahtera bagi membenteras gejala buli yang akan diperkenalkan di sekolah tidak lama lagi, tidak akan membebankan dan mengganggu tugas hakiki guru.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pelaksanaannya tidak membabitkan kewujudan mata pelajaran baharu sebaliknya guru akan menyelitkan elemen dalam konsep Sekolahku Sejahtera itu sewaktu sesi mengajar dan aktiviti kokurikulum.

Dr Radzi pada Isnin lalu berkata, konsep Sekolahku Sejahtera bersifat penerapan nilai murni antara lain bertujuan membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Ia mempunyai 14 elemen dengan guru akan menerapkan elemen itu secara tidak langsung di dalam kelas yang dibuat secara alami.

“Konsep ini bukan suatu perkara retorik, tapi ia satu perjuangan untuk memastikan murid ada sikap nilai murni sejak dari usia muda,” kata Dr Radzi pada Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2021 di sini, semalam.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berpendirian bahawa budaya buli dalam kalangan pelajar sekolah adalah suatu isu yang perlu ditangani dengan serius supaya tidak menjadi suatu budaya atau berulang di masa hadapan.

HARIAN METRO ONLINE

No comments:

Post a Comment