PENDANG: Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan 11,469 atau 55 peratus daripada 20,772 permohonan guru untuk bertukar tempat kerja, rekod pertukaran tertinggi setakat ini berbanding purata 22 hingga 31 peratus antara 2017 hingga 2020.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata keputusan kelulusan itu yang akan diumumkan secara rasmi esok adalah pendekatan baharu KPM untuk membolehkan lebih ramai guru dapat bertukar tempat kerja seperti yang mereka hasratkan.
"Kita juga turut mengambil kira pengambilan seramai 18,702 yang sedang dijalankan. Sebelum guru-guru ini ditempatkan, maka kita selesaikan dulu pertukaran guru sedia ada," katanya selepas merasmikan Akademi Sains Pendang, di Jalan Jenun, hari ini.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, KPM turut memberi tumpuan kepada sejumlah guru berasal dari Semenanjung yang sudah lama berada di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Katanya, ini kerana dalam permohonan mereka ada yang merasakan sudah sampai masanya untuk mereka kembali ke Sememanjung atas faktor tertentu.
"Maka jika negeri atau kawasan yang dipohon mereka itu sudah penuh sekali pun, pihak kementerian akan tempatkan mereka di kawasan mahu pun negeri terdekat dengan tempat dipohon.
"Ada juga dalam kalangan guru yang mengajar subjek di luar opsyen asal mereka di universiti. Maka kita akan ambil pendekatan untuk sesuaikan mereka dengan opsyen baharu," katanya.
Beliau berharap usaha yang dilakukan kementerian itu diharap mampu menggembirakan para guru terbabit selain mengurangkan tekanan dihadapi mereka terutamanya yang berada berjauhan dari pasangan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin (tengah) ketika melawat Akademi Sains Pendang. Turut sama Pengetua Akademi Sains Pendang, Harris Ganae Nainar (dua kiri).
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment