Kelmarin adalah hari terakhir sesi persekolahan pada tahun ini. Persekolahan 2021 banyak cabaran. Kekangan ketiadaan peranti dan akses internet bagi 36.9 peratus murid untuk pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR), guru tidak vaksin, keciciran murid dan terbaru, buli di asrama antara isu besar melanda sektor pendidikan.
2021 adalah tahun kedua sekolah ditutup dan sesi PdPR menyaksikan penyertaan atau kehadiran murid amat menyedihkan. Namun, jangan nafikan komitmen tinggi guru melaksanakan agenda pendidikan pada fasa persekolahan mencabar era COVID-19 ini.
Mereka melakukan apa sahaja, hatta menggunakan duit poket sendiri demi memastikan proses penurunan ilmu kepada murid dapat dijayakan.
Dengan anggota perkhidmatan awam berjumlah 949,706 orang dalam kumpulan pelaksana; kumpulan pengurusan dan profesional (584,017) serta kumpulan pengurusan tinggi (2,571), hanya guru sanggup menggunakan wang sendiri membeli pelbagai peralatan untuk kerja rasmi demi memastikan murid mendapat khidmat terbaik.
Awal bulan ini, kita dikejutkan angka besar murid cicir sekolah di seluruh negara. Kementerian Pendidikan (KPM) mendefinisikan keciciran sebagai situasi murid warga negara berada dalam sistem pendidikan (bersekolah), tetapi keluar daripada sistem sebelum tamat tempoh pendidikan mereka.
Amat mendukacitakan apabila data menunjukkan 11,301 murid berhenti sekolah dalam tempoh Mac hingga Disember tahun lalu, manakala 10,015 murid antara Januari hingga Julai tahun ini. Apakah ini ada kaitan cabaran dihadapi kesan ketidaktentuan ekonomi akibat COVID-19?
Harapan kita, beberapa perubahan besar perlu dilaksanakan agar keciciran selama tempoh sekolah ditutup untuk pembelajaran bersemuka sepanjang 2021 dapat diubati.
Kita harap KPM dapat beralih pada masa terdekat daripada sekadar berada dalam radar Pelan Pengoperasian Sekolah kepada pembentangan Pelan Pembangunan Pendidikan Pasca COVID-19.
Apa yang dapat dikesan, banyak aspek pendidikan tercicir seperti kemahiran penting dalam mata pelajaran, komunikasi, insaniah, interpersonal, kepemimpinan, kokurikulum dan sukan. Langkah KPM melaksanakan KPM PerkasaKU sebagai strategi jangka pendek meningkatkan penguasaan murid bagi kandungan kurikulum 2021 secara optimum sangat dialu-alukan.
Namun, ada baiknya jumlah mata pelajaran yang banyak sekarang diteliti semula pada era pasca COVID-19 tahun depan. Lebihkan ruang masa untuk guru membuat pemulihan, penggayaan dan pengukuhan mata pelajaran teras di sekolah.
Penjajaran kurikulum perlu ditambah baik agar relevan dengan impak negatif yang berlaku dan dialami sebahagian besar murid sepanjang tahun ini. Aspek kandungan dan pedagogi perlu diteliti semula agar terus relevan dengan permasalahan terkini.
Kita memerlukan ‘proses baik pulih’ sebenar terhadap apa-apa kehilangan dalam pelbagai aspek ke arah melahirkan murid seimbang dari segi jasmani, emosi dan rohani.
Pada masa sama, kita mengharapkan pelaksanaan kursus untuk mengurus perubahan yang perlu berlaku bagi memastikan ‘proses baik pulih’ dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Guru bukan sekadar memerlukan kursus berkaitan peningkatan kemahiran pengajaran dalam talian, bahkan mengharap agar didedahkan bagaimana untuk menguruskan murid dan ibu bapa dalam cabaran pasca COVID-19.
Apa dapat dijangkakan, konsep home-based learning atau home-based schooling akan menjadi medium budaya belajar baharu di negara kita. Walaupun kita dijangka bakal melalui gerbang endemik, realiti sebenar dunia pendidikan belum dapat dipastikan. Sebab itulah, budaya pembelajaran baharu perlu diberikan perhatian serius kerajaan.
Turut jangan dikesampingkan, kompetensi pemimpin sekolah dan guru dalam aspek sikap serta pengetahuan baharu bagi menangani krisis baharu mungkin timbul dalam aspek pendidikan. Tidak kurang penting, kerjasama mantap dan padu daripada institusi pendidikan awam dalam aspek penyelidikan berimpak tinggi dan penyelidikan merentas ilmu pendidikan.
Semua ini dijangka mampu membantu meredakan halangan kemajuan pendidikan pasca COVID-19 pada tahun depan. Tahun depan, RM52.6 bilion atau 16 peratus anggaran perbelanjaan Persekutuan diperuntukkan kepada sektor pendidikan.
Namun, agak kecewa tiada peruntukan secara tersurat untuk membangunkan fasiliti berkait rapat dengan meningkatkan akses internet dan pemilikan peranti murid.
Walaupun kita tahu permasalahan internet tidak dapat diselesaikan dalam jangka pendek, rakyat perlu ditunjukkan usaha bersungguh-sungguh kerajaan ke arah pencapaian matlamat itu.
Dalam memperoleh input berkesan ke arah meletakkan pendidikan negara khasnya sistem persekolahan di landasan tepat ke arah proses baik pulih dan terus memacu kecemerlangan, adalah sangat baik jika satu kumpulan pakar pelbagai latar belakang dibentuk.
Kumpulan itu boleh dianggotai seperti ahli akademik bidang pendidikan, bekas pemimpin pendidikan peringkat tinggi, pemimpin kesatuan guru dan persatuan ibu bapa untuk mencari penyelesaian terbaik ke arah pencapaian matlamat itu.
Sebagai kesatuan sekerja guru terbesar di negara kita, penulis amat yakin Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mampu memberikan input berguna kepada kerajaan.
Aminuddin Awang
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP)
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment