Sunday, 5 December 2021

SESI SEKOLAH DITERUSKAN HINGGA CUTI PENGGAL




PENDANG: Sesi persekolahan bersemuka di negeri Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan tetap diteruskan hingga cuti penggal yang dijadualkan hujung minggu ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata penutupan sementara sekolah dalam tempoh ini hanya akan dibuat mengikut saranan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdasarkan penilaian risiko jangkitan kes COVID-19 di sesebuah sekolah.

"Kes aktif COVID-19 membabitkan pelajar sekarang adalah antara 200 ke 250 berbanding jumlah yang hadir sekolah iaitu seramai kira-kira 4.5 juta orang.

"Jumlah itu adalah jauh lebih rendah berbanding dengan keseluruhan pelajar, jadi kita perlu lihat dalam konteks kita bergerak ke fasa endamik ini akan berlaku.

"Tapi kita akan kawal dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak virus ini merebak. ..insya-Allah sesi persekolahan akan berterusan hingga ke akhir penggal ini," katanya ditemui selepas merasmikan Akedemi Sains Pendang, di Jalan Jenun, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim merangkap Ahli Parlimen Pendang.


Radzi (dua kiri) beramah mesra dengan sebahagian pelajar ketika melawat persekitaran akademi pada Majlis Perasmian Akademi Sains Pendang di Jalan Jenun.

Mengulas lanjut, Radzi berkata pihak sekolah akan terus mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa dengan PKD untuk memastikan memastikan keadaan penularan kes COVID-19 terkawal.

"Kalau ada cadangan penutupan dari KKM kita akan akur, seperti dalam kes Sekolah Seri Puteri (SSP) Cyberjaya. Bila ramai pelajar terbabit dan guru dikuarantin, maka kapasiti sekolah itu sudah tidak ada. Dalam konteks ini ramai jadi kontak rapat, maka KKM minta sekolah ini ini ditutup, maka SSP ditutup (itulah) pendekatannya," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai ciapan di Twiter bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengenai 21,316 pelajar yang berhenti sekolah sejak Mac 2020, Radzi berkata, keadaan itu berkemungkinan berlaku kerana perasaan pelajar yang renggang dengan sistem persekolahan dalam tempoh pendemik COVID-19.

Sesi persekolahan secara bersemuka sangat penting dalam usaha meminimumkan masalah murid dan pelajar tercicir dalam pelajaran.

"Berikutan itu, intervensi dapat dibuat lebih awal setelah dapat mengesan permasalahan dihadapi murid dan pelajar.

"Dalam konteks sekarang ini, bila sekolah ditutup untuk tempoh panjang, walau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan, namun perasaan murid itu renggang dengan sistem persekolahan.

"Sebab itu walau ramai kata sekolah jangan dibuka dulu, tetapi kita dah bincang bahawa amat penting sekolah dibuka," katanya.

Radzi (dua kanan) beramah mesra dengan dua pelajar Nur Diana Batrisyia Ikhwan,13, (dua kiri) dan Fatin Maisarah Ahmad Miswan,13, (kanan) ketika melawat persekitaran akademi pada Majlis Perasmian Akademi Sains Pendang di Jalan Jenun.Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim (kiri).

BERITA HARIAN ONLINE


No comments:

Post a Comment