Amat mengejutkan apabila laporan media menyebut 21,316 pelajar di negara ini sudah berhenti sekolah sejak Mac 2020 hingga Julai 2021. Angka yang dilaporkan itu sangat besar hingga menimbulkan tanda tanya, apa sebenarnya yang sudah terjadi?
Adakah hal ini berpunca daripada bebanan yang perlu dihadapi pelajar di sekolah semakin tidak rasional? Misalnya jumlah subjek yang banyak untuk dipelajari dalam sehari? Atau mungkin hilang minat untuk belajar ? Mungkinkah juga ia ada kaitan dengan masalah keluarga yang memaksa pelajar bertindak berhenti sekolah?
Tidak terkecuali, ada juga yang berhenti sekolah bukan kerana kerelaan sendiri sebaliknya terpaksa membantu ibu bapa mencari duit untuk menampung kehidupan keluarga. Hal ini tentu saja berkaitan dengan penularan COVID-19 yang banyak mengubah landskap kehidupan sebahagian kita.
Semua hal di atas boleh menjadi faktor murid berhenti sekolah dan ia hendaklah diperhalusi.
Pada sisi lain, dapat dilihat segelintir ibu bapa juga seakan-akan hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap sistem pendidikan di negara ini.
Namun, kita juga tahu Kementerian Pendidikan (KPM) melakukan pelbagai langkah untuk mengatasi masalah keciciran pelajar.
Seperti dilaporkan media, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon menyebut antara yang dibuat adalah menggerakkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengesan pelajar tidak hadir ketika pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan sesi pembelajaran secara bersemuka susulan pembukaan semula sekolah.
Malah, KPM turut menyediakan perkhidmatan bimbingan dan sokongan psikososial melalui pelbagai kaedah serta mengadakan perbincangan antara pihak sekolah dan ibu bapa atau penjaga pelajar bagi mengenal pasti mengapa hal itu berlaku.
Namun, KPM perlu terus melakukan tindakan lebih menyeluruh dan bersasar bagi menarik minat pelajar untuk kembali bersekolah, namun membuat kajian lebih terperinci mengenainya sebelum jumlah yang berhenti itu semakin meningkat.
Seharusnya sistem dan dasar sesebuah kerajaan membantu membangunkan sosioekonomi rakyat dan negara, bukan membantutkan perkembangan dan kemajuannya.
Jadi, tindakan meremajakan pendidikan negara dan pelan pemulihan pendidikan perlu dilaksanakan segera. Namun, pelan itu hendaklah mampu memberi kesan munasabah lagi rasional serta tidak membebankan pendidik mahupun pelajar.
Teruslah mengajak pelajar dengan penuh hikmah dan muhibah, bukan dengan gertakan atau hukuman dalam usaha untuk menarik kembali mereka belajar di sekolah.
Hal ini penting kerana generasi muda inilah yang akan mencorakkan negara ini pada masa hadapan.
Atriza Umar,
Kuala Lumpur
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment