Friday, 17 July 2020

PPSMI TIDAK AKAN DIPERKENALKAN SEMULA

Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin Menteri Pendidikan - Pendidik2u
Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tidak berhasrat untuk memperkenalkan semula Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) di Dewan Rakyat yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan alasan untuk memperkenalkan semula PPSMI dan penambahbaikan yang akan dibuat untuk mengatasi kelemahan terdahulu.
Kepada soalan lain, Radzi berkata keputusan Jemaah Menteri sebelum ini berkenaan tiga muka surat pengenalan Jawi dalam sukatan buku teks Bahasa Melayu Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil adalah dikekalkan.
Jemaah Menteri juga memutuskan agar pengenalan tulisan Jawi dilaksanakan di SJK dan sekolah mubaligh bantuan kerajaan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta murid, katanya.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut), Radzi berkata kementerian memperuntukkan RM57.88 juta untuk perolehan peralatan, bahan keselamatan dan kebersihan yang mencukupi bagi kegunaan sekolah dalam mengawal penularan COVID-19.
Radzi berkata peruntukan itu telah disalurkan kepada jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan sekolah.
"Namun, kementerian bersedia untuk menyediakan peruntukan sekiranya terdapat keperluan tambahan bagi tujuan tersebut," katanya.
BERNAMA ONLINE

Thursday, 16 July 2020

TIADA PERANTI SUKARKAN PEMBELAJARAN DALAM TALIAN

Gambar fail Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Md Jidin.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Md Jidin.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati sebahagian besar murid tidak dapat mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian dengan berkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tidak memiliki peranti bersesuaian.
Dalam kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara dalam Talian (Online Learning) membabitkan 670,118 responden merangkumi ibu bapa kepada 893,331 murid, KPM mendapati 36.9 peratus murid tidak mempunyai peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Md Jidin, berkata dapatan kajian menunjukkan enam peratus murid memiliki komputer peribadi, 9.3 peratus murid memiliki komputer riba, 5.8 peratus murid memiliki tablet dan 46.5 peratus murid memiliki telefon pintar.
"Ada murid memiliki lebih daripada satu peranti bagi kegunaan pembelajaran secara dalam talian," katanya dalam jawapan bertulis kepada Larry Soon (PH-Julau) di Dewan Rakyat, semalam.

Radzi berkata, kajian dijalankan bermula 28 Mac hingga 2 April lalu.
Pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian adalah sesuatu yang baharu untuk kebanyakan guru, murid dan ibu bapa serta memerlukan masa untuk mereka menyesuaikan diri. - NSTP/Fathil Asri
Pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian adalah sesuatu yang baharu untuk kebanyakan guru, murid dan ibu bapa serta memerlukan masa untuk mereka menyesuaikan diri. 
Mengulas lanjut, beliau berkata, ia adalah satu cabaran besar kerana pembelajaran tidak dapat berlaku secara menyeluruh dan seragam kepada semua murid.
Selain itu, katanya, pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian adalah sesuatu yang baharu untuk kebanyakan guru, murid dan ibu bapa serta memerlukan masa untuk mereka menyesuaikan diri.
"Bagi membantu kumpulan murid yang tidak mempunyai akses kepada talian internet dan alat peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian, Home-based Learning turut dilaksanakan melalui siaran TV Pendidikan.
"Siaran dilaksanakan melalui saluran TV Okey dan saluran Tutor TV Astro di saluran 601 dan 603. Bagi murid yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman khususnya, guru melaksanakan PdP melalui serahan bahan pembelajaran kepada murid," katanya.
Menjawab soalan William Leong (PH-Selayang), Radzi berkata, kerajaan tidak merancang untuk mengembalikan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) buat masa ini.
Leong meminta Menteri Pendidikan memberi sebab untuk melaksanakan semula PPSMI dan apakah penambahbaikan yang akan dibuat untuk mengatasi kelemahan ketika ia pertama kali dilaksanakan.
BERITA HARIAN ONLINE

SEKOLAH DAPAT RM57.88 JUTA

Guru memeriksa suhu badan murid Sekolah Kebangsaan Jelapang, Meru, Ipoh. - Foto NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM
Guru memeriksa suhu badan murid Sekolah Kebangsaan Jelapang, Meru, Ipoh
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menyediakan dana RM57.88 juta bagi tujuan perolehan peralatan, bahan keselamatan dan kebersihan untuk sekolah dalam usaha membendung penularan COVID-19.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata kementerian itu akan menyediakan peruntukan tambahan, jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.
"Pihak sekolah menyediakan peralatan dan bahan seperti alat penyukat suhu badan, pensanitasi tangan dan sabun pencuci tangan untuk warga sekolah.
"Bagi tujuan itu, kementerian menyalurkan peruntukan kepada jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan sekolah, melaksanakan proses perolehan dan pembekalan peralatan atau bahan keselamatan dan kebersihan, termasuk bahan pencuci tangan," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut) yang meminta kerajaan menyatakan mekanisme penyediaan dan pembekalan bahan pencuci tangan di semua sekolah bagi melawan COVID-19 serta jumlah peruntukan yang disediakan.
Radzi berkata, kementerian itu sentiasa memberi keutamaan kepada aspek keselamatan dan kesihatan murid, guru serta kakitangan sepanjang mereka berada di sekolah.
BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 15 July 2020

NUTP GESA WAJIBKAN PELAKSANAAN PROGRAM OSH DI SEKOLAH

Presiden NUTP, Aminuddin Awang. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Presiden NUTP, Aminuddin Awang.
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa supaya pelaksanaan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) diwajibkan di setiap sekolah.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata sudah tiba masanya langkah itu diambil untuk memberi kesedaran kepada guru bahawa setiap aktiviti yang dilakukan ada bahaya dan risiko.
Melalui Program OSH di tempat kerja, beliau berkata, setiap aktiviti berisiko tinggi seperti bekerja di tempat tinggi melebihi tiga meter yang tepinya terbuka, wajib dimulakan dengan pengeluaran dan kelulusan Permit Bekerja di Tempat Tinggi.
Katanya, pengeluar dan penerima permit itu wajib memastikan sebarang bahaya jatuh dari tempat tinggi, dihapuskan atau dikawal terlebih dahulu sebelum kerja berkenaan dibenarkan.
"Selain itu, setiap sekolah yang ada 40 atau lebih pekerja, wajib menubuhkan jawatankuasa OSH dan membuat pemeriksaan OSH setiap tiga bulan, sekali gus membentangkannya dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang juga wajib diadakan setiap tiga bulan.
"Ini disebutkan bawah Seksyen 30 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 di mana penaltinya ialah RM5,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali terhadap majikan, jika sabit kesalahan.
"Namun, sekolah tiada diberi bimbingan ke arah itu. Justeru, sudah tiba masanya kerajaan memulakan langkah ke arah usaha berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aminuddin memaklumkan bahawa pada September tahun lalu, Pekeliling 03/2019 daripada Ketua Setiausaha Negara mengehendaki setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan melaksanakan Program OSH.
"Arahan ini tidak sampai ke peringkat sekolah untuk dilaksanakan kerana sekolah hanya akan melaksanakan sesuatu yang diarahkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)," katanya.
Beliau sekali gus memberikan contoh insiden guru, Rosli Abdul Aziz, maut selepas terjatuh dari balkoni tingkat satu bangunan sekolahnya, semalam, ketika melakukan persiapan akhir menjelang pembukaan semula sekolah pada hari ini.
Katanya, tragedi itu menunjukkan betapa penting untuk melaksanakan Program OSH di sekolah.
"Cikgu Rosli ialah contoh seorang guru yang bertanggungjawab dan komited dalam memastikan anak muridnya mendapat perkhidmatan terbaik," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

COVID-19 : CEGAH PENULARAN DI SEKOLAH - KP KESIHATAN

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. 
PUTRAJAYA: Wabak COVID-19 harus dicegah daripada menular di sekolah kerana ia boleh mengakibatkan jangkitan lebih meluas dalam komuniti.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jika COVID-19 menular di dalam kawasan sekolah, ia akan menjangkiti rakan sebaya, guru dan seterusnya keluarga serta komuniti.
Justeru, beliau berkata, pihak sekolah perlu mematuhi nasihat dan saranan kementerian untuk melindungi lebih ramai individu daripada dijangkiti wabak itu.
"Seperti sedia maklum, pelajar sekolah menengah dan murid Tahun Lima serta Enam sudah memulakan sesi persekolahan pada hari ini.
"Syabas diucapkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak pengurusan sekolah yang bertanggungjawab mengambil langkah tertentu bagi memastikan murid serta kakitangan sekolah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19 di dalam sekolah.
"Pengurusan sekolah harus memastikan ada penjarakan sosial yang selamat, iaitu sekurang-kurang satu meter antara pelajar dan guru sama ada di dalam mahupun di luar kelas," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, antara saranan perlu dipatuhi pihak sekolah ialah mengurangkan bilangan pelajar dalam kelas supaya penjarakan sosial dapat diamalkan setiap masa.
"Pihak pengurusan sekolah juga dinasihat menjalankan pemeriksaan suhu dan gejala terhadap semua pelajar sebelum mereka masuk ke kawasan sekolah atau kelas.
"Jika ada murid dikesan tidak sihat, mereka perlu dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan.
"Pihak sekolah juga dikehendaki menyediakan kemudahan singki dengan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman," katanya.
Beliau berkata, etika batuk dan bersin juga perlu dipraktikkan di sekolah, selain pelajar dan guru sekolah sangat digalakkan memakai pelitup muka ketika sesi persekolahan.
BERITA HARIAN ONLINE

PEMATUHAN SOP SEKOLAH DI PULAU PINANG MEMUASKAN

Tinjauan pembukaan semula sekolah rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jelutong mendapati prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi di sini, hari ini. -Foto NSTP/Danial Saad
Tinjauan pembukaan semula sekolah rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jelutong mendapati prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi di sini, hari ini.
GEORGETOWN: Persiapan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi normal baharu di sekolah negeri ini berada dalam keadaan memuaskan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad, berkata pihaknya berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan pengurusan sekolah bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan murid.
Katanya, ia adalah selaras dengan slogan yang diperkenalkan kepada semua sekolah iaitu 'Pulau Pinang Sifar COVID-19 Kluster Sekolah'.
"Daripada segi persiapan, saya amat berpuas hati kerana pihak Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) turut bekerjasama bagi memastikan pematuhan SOP di sekolah.
"Sebanyak 399 sekolah di Pulau Pinang yang memulakan persekolahan hari ini dan hanya membabitkan Model Satu dan Model Dua sahaja, tiada Model Ketiga," katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jelutong, Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, di sini, hari ini.
Tinjauan mendapati, murid hadir ke sekolah dengan mengenakan pelitup muka dan saringan suhu badan dibuat sebelum memasuki perkarangan sekolah.
Selepas mengenakan cecair pembasmi kuman, murid akan melalui pengimbas suhu sekali lagi sebelum memasuki bangunan pentadbiran sekolah.
Menurut Guru Besar Tan Ko Leong, pihak sekolah turut dibantu PIBG yang membekalkan makanan kepada semua murid.
"Di sini terdapat 333 murid sesi pagi bagi Tahun Empat hingga Tahun Enam dan 359 bagi sesi petang, bagi murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga.
"Dahulu kami mempunyai 25 kelas dan kini perlu menambah tiga lagi kelas baharu bagi memastikan penjarakan murid," katanya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan tiga model waktu persekolahan yang boleh dijadikan panduan oleh pentadbir, mengikut kesesuaian sekolah masing-masing.
Model pertama adalah Model Satu Sesi bagi sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi untuk menempatkan semua murid dalam satu sesi, selepas mengambil kira penjarakan sosial.
Model Dua Sesi pula bagi sekolah sedia ada yang beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi, kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.
Model ketiga iaitu Model Penggiliran adalah sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 14 July 2020

LAPORAN KETUA AUDIT 2018: BAHAN KERING DI ASRAMA LEPAS TARIKH LUPUT LEBIH SETAHUN

Penolong Pengarah Audit, Jabatan Audit Negara, Rosliza Razi bersama Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Penolong Pengarah Audit, Jabatan Audit Negara, Rosliza Razi bersama Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 di Putrajaya.
KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 mendedahkan sejumlah bahan makanan kering di beberapa sekolah berasrama, sudah melepasi tarikh luput sehingga lebih setahun.
Menurut laporan itu, sebanyak 28 bahan kering di 13 sekolah berasrama didapati tidak mempunyai tarikh luput, atau sudah luput antara satu hingga 427 hari.


"Ini disebabkan tiada pemeriksaan dibuat oleh kontraktor dan Penyelia Asrama terhadap tarikh luput stok bahan dan kaedah pengeluaran stok oleh kontraktor yang tidak menggunakan konsep 'First In First Out' (FIFO).
"Keadaan ini boleh menyebabkan risiko keracunan makanan kepada murid," jelas laporan itu yang diterbitkan hari ini.
Selain itu, laporan itu turut mendedahkan bahan kering di 30 daripada 42 sekolah yang diaudit, tidak mempunyai logo halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), atau langsung tidak memiliki logo halal.
Perkara itu bertentangan dengan Pekeliling Persijilan Halal Malaysia Bil 2 Tahun 2014 – Pelaksanaan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Semakan Ketiga) 2014 dikeluarkan JAKIM, yang menetapkan Logo Halal Malaysia perlu dicetak atau ditampal dengan terang pada setiap produk, serta menepati spesifikasi yang ditetapkan.
"Hal ini disebabkan kurang kepekaan pihak sekolah dan kontraktor dalam memastikan setiap bahan kering mempunyai logo halal yang diiktiraf JAKIM.
"Penggunaan logo halal penting bagi memastikan produk berkenaan adalah selamat, bersih dan suci," jelas laporan itu.
Dalam maklum balasnya kepada Jabatan Audit Negara, Kementerian Pendidikan memaklumkan sebanyak 12 lawatan pematuhan ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) membabitkan 284 premis sudah dilakukan.
Selain itu, kementerian juga sudah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada 42 sekolah pada hujung September tahun lalu atas ketidakpatuhan kontrak, selain surat peringatan kepada JKN berhubung pematuhan pengurusan kontrak.
Bagaimanapun, laporan audit menegaskan ketidakpatuhan syarat kontrak dalam pelaksanaan program Bekalan Makanan Bermasak (BMB) berpunca daripada kelemahan pemantauan di peringkat kementerian, JPN, sekolah serta Penyelia Asrama.
"Keadaan ini juga memberi kesan pada kualiti dan nutrisi makanan yang diterima murid di asrama," jelas laporan itu.
Sehubungan itu, LKAN mencadangkan kementerian mengadakan pemantauan berkala terhadap pengurusan asrama supaya lebih cekap dalam memantau pelaksanaan perkhidmatan BMB.
"(Pemantauan itu) supaya kuantiti, kualiti, spesifikasi makanan yang sepatutnya, kebersihan, keselamatan dan perkhidmatan pekerja perlu ditekankan.
"Penyeliaan dan penguatkuasaan juga perlu ditingkatkan oleh Kementerian Pendidikan, JPN/Bahagian dan sekolah bagi memastikan syarat kontrak dipatuhi sepenuhnya oleh kontraktor dan mengambil tindakan tegas pada kontraktor yang gagal mematuhi syarat kontrak," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE