Monday, 16 November 2020

BENARKAN GURU RENTAS NEGERI CUTI SEKOLAH

Gambar fail foto NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan diminta berunding dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memohon kebenaran rentas negeri membabitkan guru yang mengajar di Semenanjung atau di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan menjelang cuti persekolahan tidak lama lagi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara ini boleh dibincangkan di antara kedua-dua pihak berkenaan, berikutan ramai guru yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Saya cadangkan kepada Menteri Pendidikan (Dr Mohd Radzi Md Jidin) untuk berunding dengan PDRM kerana guru-guru ini akan bercuti panjang.

"Mereka (guru) juga boleh memohon kebenaran secara individu untuk pulang sama ada ke Semenanjung atau guru di sini yang ingin balik ke Sabah, Sarawak atau Labuan dengan berjumpa PDRM," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Kementerian Pendidikan mengumumkan hari terakhir sesi persekolahan tahun ini pada 17 Disember bagi negeri Kumpulan A dan 18 Disember bagi negeri Kumpulan B.

Katanya, kebenaran rentas negeri bagi guru yang berkeluarga sepatutnya lebih mudah, memandangkan kerajaan membenarkan pasangan bekerja jarak jauh untuk berbuat demikian dengan syarat mendapat kebenaran daripada polis.

BERITA HARIAN ONLINE

SEKOLAH DAIF TIDAK SELAMAT DIDAHULUKAN UNTUK DIBAIKI, NAIK TARAF



KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tumpuan kepada sekolah daif pada skala enam dan tujuh iaitu yang tidak selamat untuk didahulukan bagi dibaik pulih, dinaikkan taraf atau dibina semula.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata skala tujuh merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, skala enam pula merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"KPM mewujudkan satu mekanisme atau kaedah khusus dalam mengenalpasti keadaan bangunan sekolah dan bermula tahun lalu, KPM melaksanakan analisis skor gred impak sebagai penambahbaikan bagi menentukan tahap keadaan komponen fizikal atau kemudahan bangunan sekolah.

"Melalui penilaian ini, KPM dapat menentukan keutamaan untuk melaksanakan projek pembangunan semjula atau menaik taraf bangunan sekolah yang tidak selamat digunakan," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (BERSATU-Beaufort) yang meminta kerajaan menyatakan kaedah diguna pakai dalam mengenal pasti sekolah daif di negara ini.

Hang Soon, berkata tatacara mengenal pasti keadaan fizikal bangunan sekolah adalah daripada maklumat disediakan oleh pihak sekolah dan disahkan oleh pengetua atau guru besar.

"Pemeriksaan lanjut turut dilakukan oleh penolong jurutera di PPD atau JPN bagi menentukan tahap pada skala bagi setiap bangunan sekolah di daerah masing-masing selain pengesahan keadaan fizikal oleh agensi teknikal iaitu JKR bagi bangunan daif yang berada pada skala enam dan tujuh.

"Pada masa sama, KPM melaksanakan kerja penyelenggaraan bagi bangunan sekolah yang masih boleh diperbaiki berdasarkan keperluan tertakluk kepada keutamaan dan kedudukan kewangan semasa kerajaan," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

5 PEJABAT PENDIDIKAN MALAYSIA DI LUAR NEGARA DITUTUP



KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi bercadang menutup lima pejabat Pendidikan Malaysia (EM) di luar negara, selari langkah rasionalisasi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi I, Datuk Dr Mansor Othman, berkata cadangan langkah penutupan itu membabitkan pejabat EM di Chicago, Los Angeles, New Zealand, Ho Chi Minh dan Perth.

Beliau menjelaskan pejabat berkenaan didapati tidak lagi menyumbang kepada pertambahan penuntut antarabangsa ke Malaysia, geran penyelidikan atau sebarang peningkatan hasil kepada negara.

"Menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), kerajaan menggariskan strategi untuk menyusun semula institusi sektor awam bagi mengurangkan pertindanan peranan dan tanggungjawab antara agensi ke arah mewujudkan sektor awam yang dinamik.

"Justeru, JPA melalui surat bertarikh 16 Mei 2019 menyatakan hasrat untuk melaksanakan rasionalisasi pejabat perwakilan dan wakil agensi kerajaan Malaysia di luar negara yang turut membabitkan pejabat EM," katanya pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam).

Bagi memperhalusi cadangan rasionalisasi dikemukakan JPA, Mansor berkata beberapa siri perbincangan dan sesi libat urus dengan pemegang taruh kementerian diadakan.

Menerusi pendekatan itu, beliau berkata cadangan rasionalisasi pejabat EM dikemukakan kepada JPA dan dibentangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Penubuhan, Pemindahan dan Penutupan Pejabat Wakil Agensi Kerajaan Malaysia di luar negara pada 16 Januari lalu.

"Jawatankuasa berkenaan seterusnya mencadangkan supaya rasionalisasi pejabat EM dilaksanakan secara terangkum dengan rasionalisasi Pejabat Wakil Agensi Kerajaan Malaysia di luar negara.

"Buat masa ini, pelaksanaan rasionalisasi Pejabat Wakil Agensi Kerajaan Malaysia di luar negara sedang dikaji dan diperhalusi secara menyeluruh di peringkat agensi pusat," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 10 November 2020

TAMBAH BAIK PERJAWATAN GURU BESAR, GURU PENOLONG KANAN

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Muslimin Yahaya ketika sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, hari ini.



KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mencadangkan penambahbaikan tadbir urus sekolah secara menyeluruh membabitkan penstrukturan semula fungsi dan gred jawatan pentadbir sekolah.

Timbalan Menterinya, Muslimin Yahaya, berkata kertas cadangan mengenai perkara itu sudah dihantar kepada pihak yang berkaitan di agensi pusat.

Katanya, ia adalah satu keperluan selepas mengambil kira pelaksanaan Dasar Pensiswazahan Guru dan perubahan skim pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) sebagai Skim Perkhidmatan Bersepadu.

Katanya, jawatan guru besar adalah pentadbir sekolah rendah, dibantu tiga atau lebih guru penolong kanan yang dilantik dalam kalangan PPP pada gred hakiki DG32 hingga DG40, mengikut gred serta kategori sekolah.

Antara syarat pelantikan ke jawatan guru besar adalah memiliki Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan atau National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL).

"Ia termasuk elaun, struktur organisasi dan pentadbiran, termasuk jawatan guru serta anggota kumpulan pelaksana (AKP). Kertas cadangan ini telah dikemukakan kepada agensi pusat, pada 23 Disember 2019.

"Agensi pusat kini dalam peringkat penilaian bagi memperhalusi cadangan ini. Ia termasuklah penelitian dari segi kebolehlaksanaan dan impak keseluruhan terhadap skim perkhidmatan keguruan.

"Usaha ini penting bagi memenuhi keperluan perkhidmatan dan mencapai aspirasi dasar pendidikan secara amnya," katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang mahu kementerian menyatakan perancangan terkini bagi memantapkan gred hakiki perjawatan guru besar dan guru penolong kanan sekolah kebangsaan seluruh negara.

BERITA HARIAN ONLINE


PENUTUPAN SEKOLAH KERANA COVID-19 BERDASARKAN ANALISIS

KUALA LUMPUR: Penutupan sekolah di seluruh negara dibuat berdasarkan analisis data kes positif, kontak rapat dan kuarantin dalam kalangan murid, guru serta warga sekolah yang semakin meningkat ketika gelombang ketiga COVID-19.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata data kementerian mendapati kehadiran murid ke sekolah akan terjejas apabila terdapat kes positif di sesuatu kawasan, walaupun terletak di negeri tidak mencatatkan kes COVID-19 yang tinggi.

Katanya, ketidakhadiran murid disebabkan kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka jika hadir ke sekolah.

Penutupan sekolah di Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak membabitkan seramai 1.09 juta murid, 99,491 guru dan 20,438 kumpulan pelaksana.

"Ini adalah jumlah signifikan dalam membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dan petugas barisan hadapan membendung penularan COVID-19.

"Kementerian berpandangan usaha membendung penularan wabak ini amat penting dalam memastikan sesi persekolahan 2021 dapat dimulakan dalam keadaan selamat seperti dijadualkan.

"Ini juga penting bagi memastikan peperiksaan awam yang ditangguhkan ke Februari 2021 dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang bertanya rasional penutupan sekolah seluruh negara, penangguhan peperiksaan awam dan rancangan membantu pelajar tiada kemudahan internet serta komputer riba, khususnya di kawasan pedalaman.

Mengenai penangguhan peperiksaan awam, Radzi berkata, keputusan itu mengambil kira pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, antara Mac hingga Jun lalu.

Katanya, terdapat banyak sekolah di beberapa negeri terpaksa ditutup semula ekoran penguatkuasaan PKPB, walaupun ia dibuka semula secara berperingkat bermula 24 Jun lalu.

"Peningkatan ketara jumlah kes positif COVID-19 pada gelombang ketiga dan pelaksanaan PKPB terkini juga memberi kesan kepada persiapan murid untuk menghadapi peperiksaan.

"Melalui pindaan tarikh peperiksaan awam, calon peperiksaan akan mempunyai masa lebih panjang untuk membuat persediaan rapi bagi menghadapi peperiksaan, selain memberi lebih masa kepada mereka mengikuti pembelajaran secara bersemuka apabila sekolah dibuka semula.

"Penangguhan ini juga membolehkan KPM lebih bersedia mengatur pelbagai aspek logistik berkaitan pelaksanaan peperiksaan, khususnya di negeri terjejas teruk akibat penularan COVID-19," katanya.

Beliau berkata, kementerian sentiasa berusaha memastikan semua murid mendapat akses pembelajaran secara saksama, tanpa mengira di mana mereka berada atau latar belakang sosio ekonomi.

Katanya, murid tidak mempunyai akses kepada capaian internet atau peranti sesuai, PdP dilaksanakan melalui siaran televisyen pendidikan (TV Pendidikan) di saluran TV Okey dan Tutor TV Astro.

Selain itu, guru melaksanakan PdP melalui serahan bahan pembelajaran kepada murid, terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.

"Serahan bahan ini dibuat melalui pelbagai kaedah seperti perkhidmatan pos, bantuan penghantaran oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan kaunter pandu lalu di sekolah.

"Kementerian kini di peringkat akhir merangka strategi pelaksanaan komprehensif dalam memperkasa pendidikan digital negara, termasuk mengambil kira keperluan pemilikan peranti murid dan akses internet di sekolah di seluruh negara," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 7 November 2020