Friday, 29 November 2019

SISTEM SKALA GARIS PANDUAN PENILAIAN INFRASTUKTUR SEKOLAH

SISTEM SKALA GARIS PANDUAN PENILAIAN INFRASTUKTUR SEKOLAH
Sumber : Kementerian Pendidikan Malaysia

Tuesday, 26 November 2019

DEKAD MEMBACA KEBANGSAAN 2021-2030

DEKAD MEMBACA KEBANGSAAN 2021-2030
Sumber : Kementerian Pendidikan Malaysia

Thursday, 21 November 2019

PENDIDIKAN SIVIK TANGGUNGJAWAB SEMUA PIHAK


KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Pendidikan Sivik yang diperkenalkan semula di sekolah sejak Jun lepas bukan menjadi tugas institusi itu semata-mata, tetapi ia juga adalah tanggungjawab semua pihak khususnya ibu bapa dan komuniti.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Sukan dan Kesenian di Kementerian Pendidikan (KPM), Rashid Mean berkata ini kerana nilai-nilai sivik tidak hanya terdapat dalam bilik darjah sahaja sebaliknya apa yang diamalkan oleh pelajar di rumah dan di luar sekolah.

Oleh itu, beliau berkata peranan ibu bapa serta sokongan daripada komuniti sangat penting supaya anak-anak mereka dapat mengembangkan nilai-nilai murni itu di sekolah, sekali gus membantu guru untuk memantapkan pendidikan sivik kepada pelajar.

“Contohnya, ketika kita sedang memandu kereta. Tengok sahaja macam mana mulut kita bercakap bila ada pemandu lain yang membuat satu tindakan (seperti memandu terburu-buru).

“Kita diperhatikan oleh anak-anak, dan mereka akan ikut. Sebab itu, ibu bapa perlu menjadi contoh (yang baik),” katanya semasa membicarakan topik ‘Pendidikan Sivik’ dalam slot Temu Bual terbitan Bernama Radio, hari ini.

Turut menjadi tetamu dalam dalam temu bual itu ialah Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM Noriah Harun.

Menurut Rashid, pemugaran pendidikan sivik banyak menumpukan isu-isu semasa termasuk keselamatan jalan raya, membenci rasuah, bahaya buli, serta pencemaran alam sekitar dan ia akan sentiasa ditambah nilai setiap tahun mengikut kehendak masa kini.

Sementara itu, Noriah berkata masyarakat perlu cakna dalam memastikan amalan sivik yang diajar di sekolah diperkukuhkan di rumah dan sebaliknya, kerana tidak semua anak-anak datang daripada institusi keluarga yang kukuh.

“Sivik mengajar anak kita untuk menjadi seorang warganegara yang baik serta menjadi penyumbang dan pendominasi kepada kecemerlangan.

“Contohnya, di sekolah yang berbilang kaum perlu ada satu titik temu unsur kebersamaan dan sejagat yang boleh merapatkan mereka, dan ini boleh didapati di dalam pendidikan sivik. Kita mahu mereka bersatu hati,” katanya.

Bermatlamat untuk membentuk masyarakat dan individu yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa kepada pihak lain, Pendidikan Sivik peringkat kebangsaan dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ogos lepas.

Di peringkat sekolah, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata pendidikan sivik akan menekankan Literasi Sivik (dalam bilik darjah) dan Amali Sivik (luar bilik darjah) melibatkan pihak sekolah, komuniti, swasta dan kementerian.

Literasi Sivik adalah rangkuman pengetahuan kewarganegaraan, sosio-emosi kewarganegaraan, dan tindakan kewarganegaraan yang tersurat dalam kurikulum yang dilaksanakan dalam perhimpunan sekolah, aktiviti kokurikulum, dan program sekolah.

Amali  Sivik pula memberi ruang dan peluang kepada murid untuk mengaplikasikan literasi sivik secara praktikal.

Pendidikan Sivik dilaksanakan selama sejam pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah.

Anak-anak di prasekolah pula akan diajar pendidikan sivik selama 30 minit, dan dalam masa sama, pendidikan sivik turut dilaksanakan dalam perhimpunan dan aktiviti kurikulum.



BERNAMA ONLINE

MALAYSIA BERSEDIA UNTUK DATA RAYA, AI DALAM PENDIDIKAN


DOHA, 20 Nov (Bernama) -- Malaysia berada pada landasan yang betul dalam menggunakan data raya dan kecerdasan buatan (AI) untuk faedah kanak-kanak terutamanya bagi memastikan kerjaya masa depan mereka serta mengelakkan ketidakpadanan kemahiran dan bakat.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kementerian sedang melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan ia memenuhi objektif.

Beliau berkata Digital Making Hub sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah untuk memudahkan pelajar dan guru dalam aktiviti membuat digital, untuk memberi latihan kepada guru.

"Dan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak kita tentang pentingnya menguasai alat digital," katanya pada Sesi Meja Bulat Peringkat Menteri: Pembuatan dan Pelaksanaan Dasar Yang Tangkas di sini hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri oleh menteri-menteri pendidikan antarabangsa dan pihak berkepentingan peringkat tinggi yang terlibat dalam tadbir urus pendidikan bersempena Sidang Kemuncak Inovatif Dunia untuk Pendidikan (WISE) 2019.

"Mulai 1 Julai tahun ini, lebih 450,000 guru sekolah boleh berkongsi nota, memaklumkan perkembangan terkini kelas dan pelbagai aktiviti berkaitan pembelajaran lain di Google Classroom.

"Platform dalam talian menggariskan pentingnya e-pembelajaran sebagai sebahagian daripada alat pembelajaran kami pada hari ini dan era ini," katanya pada mesyuarat itu, yang dipengerusikan oleh rakan sejawatannya dari Qatar, Dr Mohammed Abdul Wahed Al Hammadi.

Menurut Maszlee, penggunaan AI akan membolehkan kekuatan setiap pelajar dipadankan dengan bidang atau kursus yang sesuai.

Beliau berkata kementerian mengikuti Sistem Latihan Dual Jerman sebagai sebahagian daripada pembaharuan radikal untuk memastikan kualiti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

"Untuk itu, kami bekerjasama dengan syarikat Jerman di Malaysia dan di luar negara. Kami juga menggalakkan pelajar kami menjadi sebahagian daripada revolusi perindustrian yang diperkukuhkan dengan kemahiran peringkat tinggi. "

Terdahulu, Maszlee menghadiri majlis perasmian WISE, yang diadakan di Pusat Konvensyen Nasional Qatar.

Sidang kemuncak itu bertemakan "Unlearn, Relearn. What it means to be Human”, yang bermula pada 19 Nov dan berakhir esok, dirasmikan Sheikha Moza Bint Nasser, Pengerusi Yayasan Qatar.

Lebih 3,000 pakar, penyelidik dan inovator dari seluruh dunia berkumpul pada platform global dwitahunan yang bertujuan untuk memupuk kerjasama baharu dan mencari cara untuk menangani cabaran pendidikan global yang mendesak.

Ketua Pegawai Eksekutif High Tech High yang berpangkalan di San Diego, Larry Rosenstock, telah dipilih pemenang Hadiah WISE 2019 bagi Pendidikan Laureate. Beliau menerima pingat emas dan US$500,000.

Hadiah WISE bagi Pendidikan adalah yang pertama seumpamanya untuk mengiktiraf individu atau pasukan yang cemerlang, sumbangan bertaraf dunia kepada pendidikan.


BERNAMA ONLINE

Wednesday, 13 November 2019

APLIKASI myHRMIS MOBILE

Penjawat awam boleh memuat turun aplikasi MyHRMIS Mobile seperti berikut di Google Play dan App Store untuk capaian sistem HRMIS yang cepat dan mudah


Sumber : Jabatan Perkhidmatan Awam

SEMUA TENAGA PENGAJAR PERLU TERLIBAT DENGAN HIP - PENGARAH PENDIDIKAN SABAH


SANDAKAN, 13 Nov (Bernama) -- Program Imersif Tinggi (HIP), yang bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar perlu melibatkan semua tenaga pengajar, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Dr Mistirine Radin.

Beliau menolak tanggapan bahawa HIP sepatutnya hanya diketuai oleh guru Bahasa Inggeris.

"Semua guru perlu menjadi sebahagian daripada HIP di sekolah untuk mempromosikan bahasa Inggeris dan ini adalah apa yang kita panggil pendekatan yang baik.

"Pihak yang paling penting adalah pelajar, yang perlu dipastikan mereka mampu menguasai bahasa itu dan menyertai aktiviti HIP," katanya pada perasmian Karnival HIP di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Bahasa Inggeris Jabatan Pendidikan Negeri, Muarifin Sufian Mochoeri.

Mistirine berkata usaha berterusan perlu dilakukan untuk menggalakkan pelajar serta guru untuk menguasai bahasa Inggeris.

Beliau berkata ini untuk memastikan pelajar dapat berkomunikasi dalam bahasa Inggeris bukan sahaja di dalam bilik darjah, tetapi juga di luar.

Sebanyak 79 sekolah iaitu 59 sekolah rendah dan 20 sekolah menengah menyertai karnival HIP hari ini.

HIP  diperkenalkan pada 2016 di beberapa sekolah sebelum ia diwajibkan di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan pada tahun lepas.



BERNAMA ONLINE

MUTIARA KATA #8


Tuesday, 12 November 2019

GERAK DASAR BAHARU CETUS MINAT STEM


Gambar hiasan
KETIKA ini semua pihak bercakap mengenai Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), kecerdasan pembuatan (AI), Internet of Things (IoT) serta keperluan untuk menggarap kemahiran dalam pelbagai bidang sains dan teknologi yang pesat membangun.
Namun, kita dikejutkan pula dengan kenyataan generasi muda kurang meminati bidang pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Jika ini benar, maka negara bakal menghadapi masalah cukup besar dalam memetakan hala tuju pembangunan dan kemajuan seperti diimpikan.
Ironinya kita bukan baru hendak menuju zaman serba canggih, sebaliknya sudah berada pada zaman itu. Hari ini dalam sektor industri terutama di negara maju, perkembangan IR 4.0 dan AI sudah membolehkan mesin dan robot mengambil alih kerja manusia.
Lantas kita khuatir apa lagi perubahan bakal dibawa kemajuan sains dan teknologi ini dalam kehidupan seharian manusia pada masa akan datang.
Jika generasi akan datang tidak bersedia sebaiknya, mereka mungkin ketinggalan jauh. Ini jelas merugikan negara.
Atas sebab itu, kita tidak boleh duduk diam. Semua pihak perlu melihat isu ini lebih serius supaya langkah drastik dapat digerakkan untuk kembali memupuk minat generasi muda terhadap pendidikan STEM.
Antara langkah awal, perlunya ada kajian terperinci merungkai persoalan yang timbul, khususnya kenapa generasi muda tidak meminati bidang STEM.
Persoalan juga perlu dilihat dalam konteks sistem, kaedah dan silibus pengajaran serta pembelajaran, terutama di sekolah. Perlu dinilai sama ada ia tidak begitu memberangsangkan, menggalakkan minat serta mencetuskan rasa seronok dan teruja pelajar untuk mengikuti bidang ini.
Dalam konteks ini, respon, pandangan dan cadangan pemegang taruh seperti pelajar, guru serta ibu bapa amat penting. Mereka perlu menjadi responden utama kajian.
Melalui dapatan kajian ini, barulah kerajaan boleh merangka pelan jangka pendek dan panjang untuk menjenama semula pendidikan STEM agar boleh menjadi pilihan utama generasi muda, baik di sekolah mahupun universiti.
Tidak mungkin kita boleh menuai hasil secara mengejut, justeru jika mahu melahirkan lebih ramai modal insan profesional dan berlatar belakang bidang STEM, maka perancangan cukup teliti dan rapi diperlukan.
Dalam hal ini, kerajaan perlu melihat semula apa yang berlaku dengan Pelan Tindakan STEM Nasional 2017-2025. Masyarakat pasti berminat mengetahui status pelaksanaan dan pencapaiannya.
Secara prinsip, kerajaan perlu melakukan kajian segera, serta meneliti status pelan 2017-2025 itu seterusnya membentuk Dasar STEM Nasional dan pelan tindakan baharu bagi memacu kemajuan bidang ini.
Ibu bapa pula boleh memainkan peranan signifikan membantu meningkatkan bilangan pelajar yang mengikuti aliran STEM. Mereka perlu menjadi faktor penggalak dan pendorong kepada minat anak.
Sebagai individu paling rapat dengan anak, ibu bapa boleh memberi penerangan serta memujuk mereka menceburkan diri dalam bidang ini. Terangkan kelebihan dan keistimewaan STEM, terutama untuk masa depan mereka.
Di sekolah pula guru boleh memainkan peranan sama agar anak murid masing-masing menjadikan aliran ini sebagai pilihan pertama.
Hal ini mustahak terutama jika kerajaan meneruskan cadangan pelajar Tingkatan Empat tahun depan tidak lagi dibahagikan atau dibezakan mengikut aliran sastera dan sains, tetapi mereka dibenar memilih subjek mengikut minat masing-masing.
Hakikatnya, penurunan jumlah pelajar dalam aliran STEM boleh memberi implikasi kepada universiti dan politeknik atau institusi latihan kemahiran yang bertujuan menghasilkan sumber manusia mahir dan separa mahir seperti jurutera, juruteknik, arkitek, saintis atau penyelidik.
Jika ini berlaku, penawaran bakat dan modal insan untuk sektor pekerjaan bersandarkan STEM akan terjejas teruk.
Penawaran sumber manusia pula akan melebihi permintaan dalam bidang sastera dan sains sosial, sekali gus menyumbang kepada kadar pengangguran tinggi.
Ini boleh memberi implikasi teruk terhadap impian negara untuk menjadi negara maju acuan sendiri menjelang 2030.
Justeru, besar harapan kita agar masalah penurunan bilangan pelajar STEM ini dapat ditangani dengan strategi jangka pendek dan panjang yang berkesan.
Sudah tiba masa diwujudkan dasar dan pelan tindakan komprehensif mengenai STEM merangkumi transformasi dan penambahbaikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, serta proses penjenamaan semula STEM secara menyeluruh.
BERITA HARIAN ONLINE

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TEKAN USAHA PELAJAR JADI USAHAWAN LUAR BANDAR


TELUK INTAN, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan sentiasa memberi penekanan kepada usaha melahirkan lebih ramai golongan muda terutama pelajar sekolah untuk menjadi usahawan luar bandar bertepatan dengan strategi Program Tranformasi Minda Anak Muda.

Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan, Datuk Kamel Mohamad berkata ini usahawan merupakan nadi terpenting dalam pengukuhan sosioekonomi golongan Bumiputera bagi menjadikan pertumbuhan negara makmur dan lebih berdaya saing.

"Oleh itu, Kementerian Pendidikan sebagai agensi pelaksana sedang giat melaksanakan pelbagai strategi dalam membangunkan kolej vokasional yang berasaskan pertanian untuk turut terlibat dalam industri keusahawanan dan pertanian.

Enrolmen golongan muda untuk pendidikan dan industri berasaskan pertanian sangat rendah berbanding bidang kemahiran dan teknologi lain yang mana sehingga kini enrolmen di kolej pertanian di seluruh negara hanya 70 peratus berbanding dengan kapasiti yang ditawarkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Karnival Semarak Tani Kolej Vokasional Pertanian Kebangsaan di Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan di sini, hari ini.

Mengenai penganjuran karnival tersebut, Kamel berkata ia bertujuan memberi galakan kepada pelajar sekolah supaya menyertai Program Pendidikan Teknik dan Latihan Vokasional (TVET) bagi  melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam Rancangan Malaysia ke-11

"Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan telah melakukan transformasi pendidikan vokasional secara bersepadu dan menyeluruh di peringkat sekolah dan memberi penekanan utama di peringkat pendidikan tinggi.

"Melalui karnival ini, usaha memperkenal dan mempromosikan Kolej Vokasional Pertanian dapat menarik minat anak-anak lepasan PT3 untuk menyertai sistem pendidikan TVET ini dapat dijayakan dengan berkesan," katanya.

Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula semalam diadakan antara lain bertujuan memberi maklumat mengenai bidang pertanian di Kolej Vokasional Pertanian dan laluan kerjaya serta peluang pembelajaran peringkat tertinggi.


BERNAMA ONLINE

Monday, 11 November 2019

GURU, MURID DIAJAR URUS TEKANAN EMOSI




Aminuddin ditemui media selepas merasmikan Majlis Perasmian Seminar Profesionalisme Keguruan Dalam Konteks Maqasid Syariah Peringkat Negeri Sembilan 2019, di Auditorium D'Sury, Seremban
SEREMBAN: Program Meningkatkan Kesedaran Kesejahteraan Psikologi Guru yang pertama kali diadakan di negeri ini, mampu membantu mengurus tekanan emosi guru, kakitangan dan murid sekolah.
Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata bermula Ogos lalu pada setiap bulan Guru Besar dan Pengetua sekolah akan menyampaikan modul yang dikeluarkan Sektor Kaunseling dan Psikologi kepada warga sekolah.
Katanya, antara tajuk yang disampaikan mengikut bulan yang ditetapkan adalah pengurusan tekanan, kesihatan mental, pengurusan kemarahan, kebimbangan dan kemurungan.
“Kita yakin usaha yang dilakukan di semua peringkat sekolah ini dapat menjadi satu pendekatan seperti yang kerajaan negeri harapkan.
“Tujuan utama kita adalah untuk memastikan sejak di Tahun Satu, murid sudah didedahkan dengan penerapan nilai murni termasuk nilai pengurusan tekanan yang baik sekali gus mampu menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
“Jika bermula dari peringkat bawah dengan pendekatan holistik, kita yakin satu hari tahap pendidikan kita sama standard dengan negara maju lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Profesionalisme Keguruan Dalam Konteks Maqasid Syariah Peringkat Negeri Sembilan di Dewan D’Sury di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pkahruddin berkata, tujuan program sedemikian dilaksanakan bukan kerana guru di negeri ini bermasalah sebaliknya mahu menjadikan murid lebih cemerlang dari segi akademik dan sahsiah diri.
Sementara itu, Aminuddin berkata, jika guru gagal mengurus kesejahteraan diri dan tidak pasti tahap kesejahteraan psikologi masing-masing, sudah pasti murid akan terkena tempias.
“Kesejahteraan psikologi guru perlu menjadi satu aspek yang tidak boleh terlepas pandang daripada peneraju pendidikan sama ada pada peringkat kementerian jabatan atau pejabat pendidikan daerah,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 10 November 2019

KEDAH NEGERI KEDUA JAYAKAN ECO-SCHOOLS


Mukhriz (tengah, depan) bergambar bersama wakil 36 sekolah yang menjayakan program Eco-Schools di Kedah.
ALOR SETAR - Kedah muncul negeri kedua menjayakan program Eco-Schools, inisiatif antarabangsa bawah payung UNESCO’s Global Action on Education for Sustainable Development (ESD) berasaskan pendidikan untuk kelestarian pembangunan.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, inisiatif Eco-Schools bertujuan mendidik pelajar dan warga sekolah menjaga, memelihara dan menjadi ejen dalam memastikan kelestarian alam di negeri ini.
"Inisiatif Green Growth Asia Foundation (GGAF) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah ini melibatkan 36 sekolah menengah dan rendah sebagai perintis di negeri ini.
“Mereka akan menjadi duta Kedah dalam usaha mencari penyelesaian kepada isu alam sekitar di kawasan setempat, seterusnya menyumbang kepada penyelesaian isu di peringkat global. Ini termasuk perubahan iklim serta pencemaran yang berlaku di negeri ini,” katanya ketika melancarkan program Eco-Schools di Pusat Sains Negara Wilayah Utara hari ini.
Menurutnya, isu alam sekitar dapat ditangani sekiranya rakyat memahami punca dan cara menanganinya serta tidak berserah kepada pihak berwajib semata-mata.
“Antara cara menangani isu alam sekitar adalah melalui gaya hidup yang baik. Program ini akan mendidik pelajar mengubah sikap dan 'mindset' mereka untuk mempraktikkan amalan hidup yang lebih baik.
"Jika dipraktikkan, sudah tentu akan sebati dan kekal sebagai amalan sehingga dewasa,” katanya.
Mukhriz berkata, program Eco-Schools akan dilaksanakan selama tiga tahun bermula tahun hadapan dan berakhir pada 2022.
“Selama tiga tahun ini, GGAF akan membimbing guru dan warga sekolah mengenali dan menyelesaikan isu alam sekitar. Dengan pengalaman program ini di Melaka, saya harap sekolah dapat memanfaatkan perkongsian ilmu ini,” katanya.
Mukhriz berkata, program anjuran Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) ini adalah sebahagian daripada komuniti besar Eco-Schools peringkat antarabangsa melibatkan 68 buah negara di seluruh dunia.
“Kerajaan negeri komited menjaga kelestarian alam sekitar dengan melancarkan agenda hijau serta Pelan Induk Tenaga Hijau dan Tenaga Boleh Diperbaharui, selain pengurangan pelepasan karbon, pengurangan penggunaan beg plastik, pengurangan pembakaran terbuka serta aktiviti kitar semula, yang boleh dilakukan bersama rakyat,” katanya.
Mukhriz yang juga pengerusi MBI Kedah berharap program itu menjadi landasan kepada sekolah untuk menyumbang ke arah peningkatan kualiti alam sekitar, mengurangkan pengeluaran karbon dan mencipta kesan positif kepada alam sekitar untuk tempoh jangka panjang.
SINAR HARIAN ONLINE

Wednesday, 6 November 2019

QUICK TIPS FOR SERIOUS STUDYING

Today, we are faced with a lot of distractions. It’s easy to get off track when your phone sends you notifications every other minute or you’re surrounded by friends in your dorm or residence. While maintaining a work-life balance is essential for both mental and physical health, taking dedicated time to focus on your business school studies is just as important.
When you focus, you are narrowing your concentration on one important task. Focusing expands your thinking ability, elevating your capacity for learning, problem-solving, and decision-making. Without good focus, the potential for distraction is increased, and you can become more susceptible to wasting time.
Knowing focus is important and actually focusing are two different things. Honing your focus can be difficult, especially if you are accustomed to accepting distractions.
Ready to take your study skills to the next level and become a master of focus? These quick tips can help you sharpen your focus and increase efficiency in studying during school.


Sumber : AACSB Business School

KPM CAPAI SASARAN 90 PERATUS GURU TEMPATAN DI SARAWAK - MASZLEE


KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan memaklumkan pihaknya telah mencapai sasaran Dasar 90:10 bagi merealisasikan 90 peratus guru di Sarawak adalah dalam kalangan anak tempatan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata sasaran itu dicapai apabila 34,292 jawatan guru di negeri berkenaan sudah diisi guru berasal dari negeri berkenaan.

“Data pada 5 Sept 2019 menunjukkan keperluan guru di Sarawak adalah 38,289 orang. Daripada jumlah itu, 34,292 kekosongan (90 peratus) telah diisi anak kelahiran Sarawak.

“Pihak kementerian telah mencapai sasaran Dasar 90:10 lebih awal. Kami komited untuk melaksanakan dasar pengisian jawatan guru oleh anak Sarawak ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan. 

Jelas Maszlee, permohonan pertukaran guru ke Sarawak bagi sesi Januari 2020 yang kini dalam pertimbangan kementerian adalah melibatkan 55 permohonan bagi sekolah menengah dan 333 permohonan untuk sekolah rendah.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Nancy Shukri (GPS-Batang Sadong) yang ingin tahu status terkini Dasar 90:10 dan jumlah permohonan guru untuk kembali ke Sarawak.

Mengenai pertukaran guru kelahiran Kelantan yang kini mengajar di Sarawak, Maszlee berkata kesemua permohonan pertukaran adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.

“Kementerian memberikan keutamaan kepada permohonan dengan alasan untuk mengikut pasangan selain kementerian juga mempertimbangkan kelulusan bagi kes seperti sakit kronik dan juga kes ancaman keselamatan,” katanya.

Beliau berkata antara syarat pertukaran lain yang diambil kira adalah tempoh perkhidmatan guru di Sarawak yang telah ditetapkan iaitu lima tahun bagi kawasan bandar manakala masing-masing tiga tahun bagi kawasan luar bandar dan pedalaman.

Maszlee berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) yang ingin tahu jumlah guru kelahiran Kelantan yang mengajar di Sarawak.


BERNAMA ONLINE

Tuesday, 5 November 2019

10 FAST SIMPLE TIPS TO MAKE YOU A BETTER LEARNER

10 FAST SIMPLE TIPS TO MAKE YOU A BETTER LEARNER
Sumber : James Madison High School

20 FILEM MENARIK BERKAITAN GURU DAN PENDIDIKAN

Wahh...ada 20 Filem Best Tentang Guru dan Pendidikan mesti layan- Cikgu Hailmi

Artikel ini adalah perkongsian daripada Cikgu Norhailimi Abdul Mutalib (Guru cemerlang SMK Jerlun Kedah) .Filem menarik khas untuk guru ini wajib ditonton kerana majoriti filem ini berkaitan dengan kisah guru dan pendidikan di sekolah. Selain itu, jalan ceritanya juga mampu memberi inspirasi dan meninggalkan kesan yang mendalam. 20 filem berkenaan termasuklah::

1. Teacher's Diary (Thailand)

Filem mengenai kisah seorang guru lelaki yang baru ditugaskan untuk berkhidmat di sebuah sekolah jauh di pedalaman. Penuh keboringan, satu-satunya peneman guru ini adalah sebuah diari tinggalan seorang cikgu perempuan yang juga pernah bertugas di sekolah ini.
Teacher's Diary Thailand

2. To Sir With Love (English)

Mengisahkan seorang guru yang berdepan dengan remaja sukar dikawal di sekolah baharunya. Menjadi guru di sekolah terbuang seperti itu, guru tersebut berhadapan dengan banyak kesukaran. Berjayakah beliau mendidik anak-anak nakal tersebut?
To Sir With Love

3. Laskar Pelangi (Indonesia)

Filem ini diadaptasi daripada sebuah novel yang cukup meruntun jiwa pendidik. Mengisahkan perjuangan 10 murid di sekolah kawasan pedalaman yang jauh dari kota, dengan dua orang guru yang sangat menginspirasikan. Saya recommend cerita ini untuk ditonton! Lagu 'soundtrack' dia pun semua sangat seronok.
Laskar Pelangi

4. Freedom Writers (English)

Filem ini diangkat daripada sebuah kisah benar, mengenai seorang guru muda bernama Erin Gruwell. Berhadapan dengan kumpulan pelajar yang bermasalah, motivasi beliau berjaya memberi inspirasi kepada muridnya untuk bertoleransi sesama mereka, dan melanjutkan pelajaran.
Freedom Writers

5. Dead Poet Society (English)

Filem ini dilakonkan oleh pelakon hebat, Robin Williams dengan penuh gaya sekali. Menjadi guru Sastera, bukan lah halangan untuk beliau menggunakan pendekatan yang cukup dekat dengan pelajar beliau yang semuanya lelaki.
Image result for dead poets society" 
Dead Poet Society

6. Taare Zameen Par (Hindi)

Filem lakonan Aamir Khan ini rasanya cukup dekat dengan guru Malaysia. Mengisahkan kisah seorang guru, yang berdepan dengan pelajar yang 'bermasalah', sehinggalah guru tersebut mengenalpasti punca sebenar masalah pelajar tersebut. Guru Pendidikan Khas sesuai sangat tengok.
Taare Zameen Par

7. Adiwiraku (Malaysia)

Mengisahkan mengenai cikgu muda, Cheryl Ann Fernando dengan cabarannya di sebuah sekolah kampung di Kedah. Cabaran dan kejayaan anak-anak di SMK Pinang Tunggal ini menjuarai pertandingan Choral Speaking digarap dengan baik dan penuh penghayatan. Filem adaptasi kisah benar dari Malaysia ini juga memenangi Anugerah Filem Terbaik 2017.
Adiwira ku

8. 3 Idiots (Hindi)

Ini satu lagi cerita hebat lakonan Aamir Khan. Mengisahkan persahabatan 3 orang sekawan yang digelar 'Si Bodoh' kerana cara berfikir mereka yang berbeza.
3 Idiots

9. Aishah : Biarkan Kami Bersaudara (Indonesia)

Filem dengan tema keagamaan ini mengisahkan seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah jauh dari desanya, di komuniti yang jauh berbeza darinya. Menjadi guru atas wasiat bapanya, dapatkah Aishah menunaikan janji kepada bapanya?
Aisyah Biarkan Kami Bersaudara

10. Great Teacher Onizuka (Jepun)

Great Teacher Onizuka atau lebih dikenali sebagai GTO ini memang sudah popular menerusi siri manga nya. Kisah cikgu dengan niat pelik, tapi akhirnya menjadi guru yang lucu dan juga berjaya memberi inspirasi kepada anak muridnya.
Great Teacher ONIZUKA

11. Raatchasi (Hindi)

Filem ini hadiah kepada semua warga pendidik di seluruh dunia. Geetha Rani adalah watak pengetua adiwira yang sangat hebat. Beliau membuktikan kepada kita bahawa perubahan yang besar itu bukanlah mustahil. Benar-benar memberi inspirasi dan terima kasih kepada penulis cerita ini yang memaparkan realistik dunia pendidikan di sekolah.
Raatchasi

12. Chalk and Duster (Hindi)

Filem ini adalah lakonan hebat Juhi Chawla dan Shabana Azmi mengisahkan kisah dua orang guru yang menyentuh perasaan. Kesungguhan dan minat mereka terhadap kerjaya mereka mendorong mereka untuk buat yang terbaik. Dugaan datang apabila, pentadbiran mengganggu urusan mereka.
Chalk and Duster

13. Dangerous Mind (English)

Filem lakonan Michelle Pfeiffer ini mengisahkan seorang Marine yang menjadi guru di sebuah sekolah gangster. Tengok bagaimana 'cool' cikgu perempuan ini mengawal anak-anak muridnya yang ganas lagi nakal. Cikgu kat sekolah di bandar, sila tonton untuk ambil inspirasi.
Dangerous Minds

14. Beyond the Blackboard (English)

Filem TV ini adalah kisah perjuangan guru muda yang berdepan dengan ketakutan dan prejudis terhadap kanak-kanak homeless / gelandangan, sebelum beliau sendiri yang menjadi inspirasi kepada anak-anak tersebut untuk membuat perbezaan.
Beyond The Blackboard

15. The Ron Clark Story (English)

Filem ini merupakan adaptasi kisah benar Ron Clark, guru di kampung yang ditukar ke sebuah sekolah dengan cabaran terbesar, disiplin paling teruk. Apa yang beliau buat dan mampukah beliau mengatasi masalah tersebut?
The Ron Clark Story

16. Suck Me Shakespeer (German)

Kisah lucu mengenai seorang pencuri yang terpaksa menjadi guru kerana terperangkap di sebuah sekolah
Suck Me Shakespeer

17. Lean on Me (English)

Filem mengena perjuangan seorang pengetua sekolah yang berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan sekolah nya berada dalam keadaan yang terbaik. Lakonan hebat oleh Morgan Freeman.
Lean on Me

18. Black (Hindi)

Filem lakonan hebat Amitabh Bachan dan Rani Mukherjee ini mengisahkan kisah seorang gadis buta dan pekak, dan hubungannya dengan guru yang kemudiannya menghidap sakit Alzheimer.
Black

19. Blindside (English)

Kisah sedih mengenai perjuangan seorang anak homeless dan trauma yang kemudiannya dibela oleh seorang wanita yang sangat penyayang. Perjuangan mereka sehingga anak homeless tersebut menempa kejayaan sehingga menjadi pemain American Football. Lakonan hebat Sandra Bullock dan Quinton Aaron.
Blindside

20. The Glove (Korea)

Filem Korea ini sangat menyentuh perasaan. Filem ini mengisahkan bagaimana sekumpulan pelajar pekak dan bisu yang struggle untuk berlatih dan menyertai pertandingan besbol untuk daerah mereka. Sekalipun penuh dengan kekurangan, semangat mereka akhirnya menyentuh hati jurulatih mereka yang pada mulanya langsung melihat sebelah mata.
The Glove
SUMBER : GPSBESTARI & CIKGU HAILMI

Monday, 4 November 2019

PENDIDIKAN SIVIK PULIHKAN MENTALITI KELAS KETIGA

Baru-baru ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang tidak peduli untuk menjaga kebersihan tandas awam.
Ketika menjadi Perdana Menteri keempat, beliau sendiri melihat betapa kotornya persekitaran Kuala Lumpur ketika melawat bangunan Dayabumi, yang ketika itu menjadi mercu tanda ibu kota negara. Selepas itu terus diarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan.
Nampaknya dari dulu hingga kini, isu kebersihan masih seperti wabak penyakit yang tidak dapat dipulihkan. Adakah ini bermakna sebahagian rakyat kita masih mempunyai mentaliti kelas ketiga?
Seperti biasa apabila ada isu sebegini, jari akan dituding kepada Kementerian Pendidikan selaku the custodian atau ‘penjaga’ pendidikan negara. Ayat seperti “kat sekolah cikgu tak ajar?” atau “sekolah buat apa?” akan sering berlegar, terutama di media sosial, seolah-olah mendidik semata-mata tugas guru.
Hakikatnya, seorang murid hanya menghabiskan masa 27 peratus di sekolah, manakala baki 73 peratus lagi bersama keluarga, rakan dan dalam komuniti. Wajarkah tugas mendidik dan memupuk nilai serta akhlak diletakkan kepada sekolah sahaja?
Pemupukan nilai sememangnya menjadi teras pendidikan negara, selain daripada memastikan pengetahuan dan kemahiran murid dibangunkan. Sejak Laporan Razak 1956 hinggalah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-202, Kementerian Pendidikan sentiasa memastikan kurikulum yang dilaksana, diperkasa dengan penerapan aspirasi murid iaitu etika dan kerohanian bagi pembentukan akhlak dan sahsiah murid.
Generasi pascamerdeka tentu masih ingat Tatarakyat dan Pendidikan Sivik yang pernah menjadi subjek di sekolah satu masa dahulu. Antara kandungannya, termasuk menghormati rakan berbilang bangsa, adab sopan, mengenali budaya kumpulan etnik berbeza serta cerita tentang perjuangan tokoh untuk mencapai kemerdekaan.
Buku teks subjek ini dipersembahkan dalam bentuk penceritaan yang mudah difahami dan sehingga kini, ramai yang masih ingat nama-nama seperti Ah Kow, Ali atau Mutu yang sering digunakan dalam buku teks dahulu.
Peredaran zaman dan kemajuan teknologi menuntut kurikulum ketika itu disemak semula dan penekanan diberikan kepada sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Penumpuan kepada STEM tidak bermakna pemupukan nilai dikesampingkan, malah nilai dan pembentukan akhlak menjadi elemen merentas kurikulum yang perlu diterapkan dalam setiap subjek yang diajar.
Penerapan nilai murni perlu diberi penekanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dilaksanakan supaya murid sedar kepentingan nilai ini dan mengamalkannya. Ia merangkumi aspek kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan, yang akan menjadi amalan dalam kehidupan harian.
Kini, mengambil kira perkembangan semasa dan keperluan masa akan datang, Kementerian Pendidikan mengambil inisiatif menyusun semula kandungan Pendidikan Sivik bagi melahirkan warganegara yang berakhlak mulia bagi menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan global. Kali ini, fokus diberikan kepada literasi atau pengetahuan sivik dan amali sivik.
Pendidikan sivik dilaksanakan secara holistik dan bersepadu melalui pelbagai aktiviti dalam dan luar bilik darjah, termasuk semasa perhimpunan, kokurikulum dan pelbagai program sekolah.
Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) bersama-sama Bahagian Pendidikan Islam (BPI) serta Bahagian Sukan, Kesenian dan Kokurikulum (BSKK) dipertanggungjawabkan untuk menyediakan Manual Kesedaran Sivik dan Amalan Nilai Murni bagi dilaksanakan pada peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah.
Pendekatan baharu untuk meningkatkan kesedaran sivik dan amalan nilai murni ini berupaya memulihkan mentaliti ‘kelas ketiga’ dalam kalangan murid yang bakal menjadi anggota masyarakat satu hari nanti.
Kalau dahulu, Pendidikan Sivik amat bertumpu kepada pengajaran di bilik darjah, kali ini ia diterapkan secara eksplisit dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah.
Sebagai contoh untuk amali sivik bagi nilai teras sivik kasih sayang, antara aktiviti boleh dijalankan termasuk menyediakan skrip lakonan dan simulasi mengenai mangsa buli, ataupun mengadakan program rakan strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pendekatan bersepadu dengan meningkatkan pembabitan komuniti, agensi kerajaan dan swasta sebagaimana dianjurkan dalam Anjakan 9 PPPM, akan dapat membantu mendidik jiwa serta memupuk etika dan jati diri murid yang dizahirkan melalui amalan mereka serta diperkukuh melalui jalinan dan bantuan pihak berkepentingan.
Namun, kurikulum dirancang rapi dan pelaksanaan di dalam bilik darjah yang mantap masih belum dapat menjamin murid akan mengamalkan nilai diterapkan di sekolah, jika tidak diberi pengukuhan dalam keluarga dan masyarakat.
Tugas mendidik anak memerlukan usaha bersepadu semua pihak. Kalau di kampung, penghulu, ketua agama, sekolah, malah makcik yang menjual di warung juga memainkan peranan mendidik setiap individu.
Hanya dengan cara ini mentaliti kelas ketiga dapat dipulihkan, barulah Malaysia boleh berbangga dengan fasiliti dan mentaliti kelas pertama.
Oleh Dr Hayati IsmailPenulis adalah Pengarah Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
BERITA HARIAN ONLINE

8 COMMON GRAMMAR MISTAKES IN ENGLISH!

"What's the different"? "Today morning"? "I enjoyed"? Improve your grammar by correcting the common mistakes in these English sentences. A good review for all students, especially at intermediate and advanced levels. Also check our full resource of 100 Common Grammar Mistakes



Sumber : Rebecca (engVid)

GUNA CARA KREATIF AJAR MURID BERENANG


MURID Program Pendidikan Khas (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, Sandakan menyertai latihan akuatik asas menggunakan kanvas.
SANDAKAN: Tiada kemudahan dan tidak mampu membawa murid ke kolam renang mendorong guru Program Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, di sini menggunakan kanvas yang dibentang menjadi tikar untuk memberi latihan asas renang kepada murid.
Ia sepatutnya dilaksanakan dua kali setahun untuk memberi pendedahan kepada murid orang kelainan upaya (OKU), namun tidak mampu diadakan di kolam renang kerana memerlukan bantuan jurulatih berlesen, selain atas faktor keselamatan murid terbabit.
Guru, Fazri Hassan, 26, berkata latihan pertama diadakan awal tahun ini di Taman Air, Indah Jaya, di sini, namun berdepan isu kekurangan sumber kewangan untuk meneruskan sesi latihan kedua.
“Hasil perbincangan dengan semua guru, kami guna kanvas untuk mengajar latihan asas itu, malah kami turut membeli kolam kecil mudah alih untuk memberi murid memberi sedikit rasa di dalam air. Jika diikutkan, banyak prosedur perlu dipatuhi untuk mengajar topik itu, selain memerlukan perbelanjaan besar.
“Justeru, kami memutuskan supaya pengajaran itu dilakukan di sekolah mengikut kemampuan kerana yang lebih penting ialah murid mendapat pendedahan,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
SK Gas memiliki 20 murid istimewa berusia antara lapan hingga 12 tahun, dengan kebanyakannya menghidap masalah pembelajaran, autisme, cerebral palsy dan hiperaktif.
Baru-baru ini, video murid berenang di atas kanvas yang dimuat naik oleh Fazri di laman sosial menarik perhatian orang ramai yang memberi komen positif terhadap usaha guru berkenaan.
Melalui aktiviti itu, Fazri bersama guru lain membentangkan dua kanvas untuk mengajar murid beberapa teknik berenang, sambil ada guru menyiram air kepada murid.
“Biarpun serba kekurangan tetapi murid berasa seronok. Ibu bapa mereka dapat menerima idea itu kerana ia membantu program pemulihan dan terapi untuk pergerakan fizikal. Ini turut membantu perkembangan kanak-kanak OKU secara menyeluruh dapat menerima idea berkenaan,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE