Sunday, 8 September 2019

KAEDAH PENGAJARAN SECARA RAKAMAN VIDEO DIJANGKA MULA 2020 - MASZLEE


Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tengah) bergambar bersama penerima sijil MBOR ketika majlis penutup Merdeka Special Charity Run Orang Kurang Upaya (OKU) paling ramai di Laman Xtreme Park, Pasir Gudang
PASIR GUDANG: Kementerian Pendidikan menjangkakan kaedah pengajaran baharu secara rakaman video oleh guru terpilih dapat dimulakan pada tahun hadapan.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata beberapa platform sedang dibangunkan untuk merealisasikan aspirasi kaedah pengajaran baharu itu.
Katanya, Kementerian Pendidikan juga sudah membentang kaedah pengajaran secara rakaman video itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa bulan lalu.
“Ini pendekatan baharu dan sudah dibentang pada Tun Mahathir beberapa bulan lalu, ini hala tuju kita (kementerian) pada masa hadapan iaitu meningkatkan konsep e-learning.
“Kita juga ingin pastikan guru berbakat dan terbaik ini bukan sahaja mengajar di kelas mereka semata-mata, tetapi dikongsikan satu Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Merdeka Special Charity Run dan mencipta rekod Malaysia Book Of Records (MBOR) Orang Kurang Upaya (OKU) paling ramai dalam program larian di Laman Extreme Park, di sini.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tengah) diiringi YDP PIBG SKMM 2, Shahrizal Abdul Manap bergambar bersama kanak-kanak kurang upaya ketika majlis penutup Merdeka Special Charity Run Orang Kurang Upaya (OKU) paling ramai di Laman Xtreme Park, Pasir Gudang.

Dr Maszlee berkata, pihaknya cuba memastikan kaedah pembelajaran baharu itu dapat dimulakan pada tahun hadapan dan akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri sendiri.
Semalam, Dr Mahathir berkata, kaedah pengajaran secara rakaman video oleh guru terpilih akan diperkenalkan di sekolah tidak lama lagi bagi memudah dan mempertingkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
Perdana Menteri dipetik berkata, kaedah itu akan dikongsikan dengan sekolah lain untuk memberi manfaat kepada pelajar dan guru di sekolah masing-masing.
Dalam perkembangan lain, Dr Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan akan menunggu laporan daripada Jabatan Pendidikan negeri Sarawak berhubung situasi terkini jerebu yang berlaku sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai sesi persekolahan.
BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 4 September 2019

KEMAHIRAN MELAKAR, KUNCI KBAT

fvs-1

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Kemahiran melakar atau Freehand Visualisation Skills (FVS) adalah kunci kepada keupayaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

RUZAIMI MAT RANI
Dr. Ruzaimi
Pengasas FVS, Dr. Ruzaimi Mat Rani berkata, kegagalan menguasai dengan baik kemahiran tersebut akan menjejaskan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Katanya, kemahiran berkenaan dapat membantu guru-guru dan pelajar-pelajar menzahirkan idea-idea komplek dengan lebih baik dan efektif.
"Masih ramai guru dan pelajar tidak mengetahui dan tidak menguasai kemahiran ini dengan baik," katanya di sini baru-baru ini.
Sehubungan itu satu bengkel membabitkan 110 orang Guru Bimbingan Kaunseling daripada kawasan wilayah Bangsar telah terpilih menyertai Bengkel Mengasah Kreativiti dan Inovasi melalui FVS dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Wilayah Bangsar Pudu, RHB Bank, Drawzania dan Kolej Antarabangsa YPC.
Ia merupakan destinasi keempat siri jelajah Malaysia dalam membudayakan FVS kepada guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah dan pusat pengajian tinggi di Malaysia.
Menurut Ruzaimi, program yang diadakan selama tiga jam sudah mencukupi sebagai program pengenalan kepada guru-guru Kaunseling untuk memahami keperluan FVS kepada proses menguasai KBAT.
"Setelah program ini, guru-guru ini akan dapat berlatih menguasai FVS ini menggunakan platfom www.drawzania.com. Platfom ini adalah solusi kepada FVS di mana orang ramai dapat berlatih menguasai FVS menggunakan demo video yang disedikan di situ," katanya.
Bengkel berkenaan memberi peluang kepada guru-guru untuk memahami dengan lebih mendalami tentang FVS serta cara mengaplikasikannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Bengkel yang terbahagi kepada tiga modul penting telah diformulasi oleh Dr.Ruzaimi Mat Rani iaitu asas FVS, teknik FVS dan aplikasi FVS.
UTUSAN MALAYSIA ONLINE

JANGAN BERI TEKANAN KEPADA CALON UPSR - MASZLEE


MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik beramah mesra dengan calon UPSR di SK Putrajaya Presint 8(1).

PUTRAJAYA: Ibu bapa dan guru diingatkan tidak memberi tekanan kepada anak serta murid mereka yang sedang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata lawatannya pada hari pertama peperiksaan itu berlangsung, pagi ini, mendapati kebanyakan ibu bapa dilihat dalam keadaan stres dan secara tidak langsung memberi tekanan terhadap anak.
“Saya melihat tadi, golongan ibu yang banyak cemas dan stres. Saya berharap ibu dan guru tidak terlalu stres dan menekan anak-anak.
“Apa yang penting ialah memastikan mereka membaca, rajin dan berusaha. Selepas berusaha, banyakkan berdoa.
“Jika ibu bapa dan guru stres, ia juga memberi tekanan kepada anak. Cara ini tidak bagus untuk pembesaran dan perkembangan minda mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(1), di sini, hari ini.
Seramai 154 calon mendaftar untuk mengambil UPSR di sekolah berkenaan.
Dalam pada itu, Maszlee turut mengingatkan ibu bapa supaya menyediakan sarapan untuk anak masing-masing sebelum menghantar mereka ke sekolah.
“Sediakan sarapan bagi mengelakkan perut anak kosong yang boleh mengganggu mereka menjawab peperiksaan,” katanya.
Ditanya mengenai perjalanan hari pertama UPSR di sekolah itu pula, Maszlee berkata, keadaan didapati sangat teratur.
“Perjalanan nampak kemas dan saya tahu sekolah ini bukanlah kali pertama menguruskan peperiksaan seumpama. Saya yakin anak-anak terbabit akan menduduki ujian mereka dengan tenang,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 445,641 calon mendaftar untuk menduduki UPSR di 8,076 pusat peperiksaan seluruh negara.
BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 3 September 2019

SITI ZAINON SASTERAWAN NEGARA KE-14


PROF Dr Siti Zainon Ismail

PUTRAJAYA: Novelis, Prof Dr Siti Zainon Ismail dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pemilihan Siti Zainon berdasarkan kepada sumbangan beliau melalui karya dan pemikiran serta sumbangan terhadap pengembangan sastera.
“Selain itu, impak dalam penyebaran ilmu, kepemimpinan dalam persatuan sastera pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penghargaan dan pengiktirafan yang sudah diterima.
“Penghargaan dan penghormatan negara yang akan diberikan oleh kerajaan kepada Siti Zainon adalah Warkah Penghormatan Negara dan wang tunai sebanyak RM60,000.
“Selain itu, beliau akan menerima penerbitan sebanyak 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebar luas ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.
“Beliau juga akan menerima kemudahan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan kegiatan mencipta karya sastera dan penerbitan karya, penterjemahan karya yang sesuai dalam bahasa asing, selain elaun sara hidup sebanyak RM5,000 sebulan,” katanya pada sidang media selepas pengumuman penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 di sini, hari ini.
Anugerah Sastera Negara diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan memberikan sumbangan cemerlang secara berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.
Maszlee berkata Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 21 September ini di Kuala Lumpur.
Siti Zainon, 69, ialah anak kelahiran Gombak, Kuala Lumpur dan pernah menghasilkan karya novel (tiga); kumpulan cerpen (10); kumpulan puisi (25); antologi cerpen (tujuh) dan antologi puisi (lima).
Selain itu, Siti Zainon turut menghasilkan 18 kajian ilmiah (buku); esei kajian dalam buku - bab (21) dan esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi serta majalah-katalog (21).
Siti Zainon juga pernah menerima pengiktirafan dalam negara dan antarabangsa, termasuk SEA Write Award (1989) dan Tokoh Anugerah Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) - Anugerah Tokoh Seni Budaya 2015.
Dalam pada itu, Maszlee berkata pemilihan Siti Zainon sebagai penerima anugerah itu berdasarkan pandangan dan nasihat daripada panel penilaian pemilihan, termasuk daripada sasterawan negara yang terdahulu.
“Pemilihan beliau adalah berdasarkan pandangan kolektif profesional dan tidak melihat kepada gender atau bangsa,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

MASZLEE PUJI FILEM 'RAATCHASI'


MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika sidang media mengenai penganugerahan Prof Dr Siti Zainon Ismail sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-14 di kementeriannya
KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menyifatkan filem Tamil bertajuk ‘Raatchasi’ menggambarkan dasar dan perubahan yang sudah dibuat untuk dilaksanakan dalam pendidikan negara.
Beliau berkata, filem berkenaan menterjemahkan aspirasinya seperti inisiatif Program Sarapan Percuma (PSP) yang turut mahu melihat golongan guru dapat duduk dan makan bersama pelajar.
Katanya, filem itu mempunyai garis cerita yang luar biasa dan watak yang sempurna dimainkan oleh pelakon utama, Jyothika.
“Berbeza rasanya menonton sebagai Menteri Pendidikan. Setiap babak sentiasa saya refleksikan dengan keadaan di negara kita.
“Geetha Rani adalah watak pengetua adiwira yang sangat hebat. Beliau membuktikan kepada kita bahawa perubahan yang besar itu bukanlah mustahil.
“Banyak sekali dasar dan perubahan yang kita sedang gubal untuk dilaksanakan telah berjaya digambarkan dalam filem ini,” katanya menerusi muat naik di laman Facebook, Twitter dan Instagram miliknya, semalam.
Filem Raatchasi yang diarahkan oleh S Gowthamraj menggambarkan pelakon utama, Jyothika menghadapi cabaran menjadi Guru Besar dengan disiplin kuat yang ingin memperbaiki keadaan di sekolah usang dikendalikan oleh kerajaan.
Beliau berkata, filem itu turut menyentuh mengenai kegagalan pelajar di mana watak Geetha berjaya mendapatkan pihak terbabit dalam menyelesaikan masalah kegagalan pelajar termasuk polis.
“Ini yang sedang kita usahakan. Kita nak pastikan ‘enforcement’ itu berlaku di semua penjuru agar tak ada lagi kanak-kanak yang tercicir.
“Bukan itu sahaja. Geetha juga berjumpa dengan semua ibu bapa pelajar. Tubuhkan semacam persatuan ibu bapa dan komuniti (PIBK) untuk pastikan ibu bapa ini terbabit aktif dengan pendidikan anak-anak mereka,” katanya.
Beliau berkata, antara hasrat terbesarnya adalah menjadikan pendidikan visi kolektif semua pihak.
“Ini kerana saya yakin, pendidikan harus berupaya menjadi objektif komuniti setempat, malah pendidikan lah yang akan meningkatkan taraf hidup mereka.
“Semua pendidik, ibu bapa, murid dan sesiapa sahaja, saya sarankan untuk tonton filem ini segera,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE