Tuesday, 7 January 2020

'REFORMASI PENDIDIKAN PULIHKAN MARTABAT PENDIDIKAN NEGARA'

Pisahkan sektor pendidikan tinggi daripada KPM dan wujudkan semula Kementerian Pendidikan Tinggi.
KUALA LUMPUR: Pisahkan sektor pendidikan tinggi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan wujudkan semula Kementerian Pendidikan Tinggi.
Itu antara syor Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi (PENDAPAT) bagi menjayakan agenda pendidikan negara.
Pengerusinya, Prof Datuk Dr Norzaini Azman, berkata martabat dan status pendidikan tinggi negara di rantau ASEAN dan dunia boleh dipulihkan jika semua cadangan dan reformasi dalam pendidikan tinggi dilaksanakan.
Selain itu, PENDAPAT berharap KPM yang bakal diterajui menteri baharu mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Tinggi yang dapat memastikan tadbir urus institusi pendidikan tinggi (IPT) lebih baik tanpa unsur memporak perandakan kecemerlangan akademik dan universiti.
“PENDAPAT mengambil maklum peletakan jawatan Dr Maszlee Malik selaku Menteri Pendidikan dan percaya peletakan jawatan itu tidak seharusnya mengganggu pelaksanaan agenda pendidikan tinggi negara ke tahap lebih baik,” katanya dalam kenyataan.
Norzaini berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berfungsi melihat soal dasar dan amalan pendidikan tinggi negara, PENDAPAT mencadangkan beberapa dasar utama diberikan tumpuan dan keutamaan seperti pemerkasaan tadbir urus universiti tempatan, kecemerlangan dan kewibawaan akademik serta kebebasan akademik.
Beliau berkata, usaha menambah baik tadbir urus selari dengan hasrat kementerian menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tahun ini.
Katanya, PENDAPAT juga menggesa KPM dan menteri baharu mengumumkan dapatan Kajian Dasar Pendidikan Negara bagi menambah baik dasar pendidikan tinggi khususnya.
“Ini bertepatan dengan penekanan mengenai pentingnya apa-apa dasar dibuat melalui pembuktian dan kajian empirikal. KPM khususnya perlu membudayakan perumusan dasar berasaskan pembuktian atau ‘evidence-based policy’,” katanya.
Norzaini berkata, pihaknya berharap agenda pendidikan tinggi dapat diperkasakan dengan pelantikan menteri baharu bagi memacu kejayaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
BERITA HARIAN ONLINE

Monday, 6 January 2020

KE MANA PENDIDIKAN TINGGI PASCA MASZLEE?

Dr Maszlee Malik.
Ketika menyiapkan tulisan ini, masih ramai warga Malaysia yang membicarakan soal peletakan jawatan Dr Maszlee Malik. Ada yang bersimpati dan sebahagian juga menyokong tindakan beliau.
Pelantikan beliau ke jawatan Menteri Pendidikan, iaitu menteri kanan dalam jangka masa pembabitan politik yang amat singkat (dua bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14), boleh dianggap sebagai satu perkara di luar kebiasaan di Malaysia.
Menerajui sebuah kementerian besar seperti Kementerian Pendidikan, bermakna banyak boleh dilakukan oleh Maszlee. Guru, pensyarah, sekolah dan universiti semua di bawah pentadbiran beliau yang memerlukan perhatian istimewa.
Oleh kerana itu, meskipun dalam tempoh singkat, iaitu 20 bulan, beberapa pencapaian dicapai oleh Maszlee ,meskipun tidak dinafikan, ada usaha yang beliau lakukan adalah kesinambungan daripada inisiatif lalu dengan penjenamaan semula.
Kini, peletakan jawatan itu membuka persoalan baharu, siapakah yang bakal menggantikan beliau? Semakin ramai yang mula menebak dan muncul beberapa nama. Antaranya, bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau lebih dikenali sebagai Tok Pa dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang kini Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Saya tidak berminat untuk terheret sama dalam menentukan siapakah calon menggantikan Maszlee, meskipun mempunyai pilihan tertentu, termasuk calon bukan ahli politik. Itu kuasa dan hak mutlak Perdana Menteri. Berilah ruang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad memilih siapa yang paling layak.
Namun, apa yang lebih utama ialah, bagaimana agenda pendidikan khususnya pendidikan tinggi disemarakkan lagi dengan memberi tumpuan isu pokok atau dasar utama. Ketika Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) diperkenalkan pada 2007 pada era Tok Pa, pelan ini menjadi kitab dan rujukan utama menentukan hala tuju dan kecemerlangan pendidikan tinggi.
Ia dilanjutkan pada era kepemimpinan menteri selepasnya, iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dengan pemerkasaan PSPTN melalui beberapa inisiatif baharu. PSPTN (meskipun belum tamat tempoh pelaksanaan) digantikan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) atau PPPM PT 2015-2025 bagi menghadapi landskap pendidikan tinggi global yang semakin kompleks.
Menteri Pendidikan ketika itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Pelaksanaan PPPM PT sangat bebas dengan keyakinan bahawa universiti diberikan autonomi dan kepercayaan untuk menjayakannya.
Tidak ada lagi pelaporan dan pasukan khas memantau pencapaian universiti seperti PSPTN. Pada era Maszlee, landskap pendidikan tinggi banyak mengalami perubahan, seiring dengan kerajaan baharu. Apabila beliau mengumumkan untuk membuat kajian semula Dasar Pendidikan Negara (termasuk pendidikan tinggi), ramai yang teruja.
Penulis bersama rakan dalam Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT), turut diundang menyampaikan buah fikiran dan cadangan menambah baik dasar pendidikan tinggi negara.
Selepas laporan kajian dasar itu diserahkan kepada Maszlee pada Mei 2019, ia belum lagi diumumkan kepada rakyat Malaysia. Kita masih belum mengetahui apakah dapatan baharu dalam kajian itu. Jika Maszlee masih kekal, platform yang paling sesuai mengumumkannya adalah Amanat Tahun Baharu 2020.
Namun, malang, beliau berundur lebih awal. Mungkin kita tidak memerlukan sebarang pelan baharu mengenai pendidikan tinggi setakat ini, kerana PPPM PT masih berjalan. Namun, dapatan kajian dasar pendidikan itu boleh memperkukuh dasar dan amalan pendidikan tinggi untuk kebaikan masa akan datang.
Lebih-lebih lagi, kita amat mengalu-alukan polisi berasaskan pembuktian (evident based policy) sebagai teras governan yang lebih berkesan, bukan dasar secara tiba-tiba atau adhoc. Pendidikan Tinggi pasca Maszlee turut meninggalkan persoalan, iaitu ke arah mana usaha memperkasa governan dan tadbir urus universiti.
Jika mengikut perancangan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan digantikan dengan sebuah akta baharu yang lebih progresif pada 2020. Ini seharusnya menjadi keutamaan menteri baharu untuk meneruskannya.
Selain itu, keperluan mewujudkan sebuah suruhanjaya pendidikan tinggi perlu dilihat secara lebih serius bagi memantapkan tadbir urus dan governan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tanpa banyak campur tangan politik.
Pada masa sama, soal wibawa pendidikan tinggi perlu terus diligatkan dengan memberi tumpuan kepada soal kecemerlangan berasaskan integriti. Kecemerlangan juga perlu didefinisikan semula dengan meraikan kepelbagaian input dan pencapaian, bukan melihat dalam jalur yang sempit.
Slogan pendidikan untuk semua menjadi mantera pendidikan tinggi sekian lama. Ini bermakna, impak pendidikan perlu sampai kepada masyarakat. Gagasan ‘Universiti Untuk Masyarakat’ perlu menjadi agenda utama dan bukan lagi diletakkan sebagai jauh ke belakang sebagai misi ketiga universiti.
Paling penting, langkah ke hadapan pendidikan tinggi tidak akan sempurna selagi ia diletakkan sekali dalam Kementerian Pendidikan. Pendidikan Tinggi perlu ‘rumah sendiri’ untuk menawarkan sebuah kehidupan yang lebih bermakna dan sejahtera.
Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan bekas Setiausaha Akhbar, Menteri Pengajian Tinggi.
BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 5 January 2020

KREATIVITI GURU HIASI SEKOLAH DENGAN MURAL 3D


JITRA: Mural tiga dimensi (3D) yang menghiasi Sekolah Kebangsaan (SK) Pida Tiga, Tunjang, di sini, mendapat pujian dan semakin menjadi perhatian ramai selepas tular dalam laman sosial, baru-baru ini.
Sentuhan hasil kreativiti gurunya, Ruslan Abu Bakar, 53, berjaya menampilkan lukisan menarik bertemakan alam semula jadi pada tangga sekolah itu, dinding bahagian depan dan di dalam bilik darjah, setakat ini.
Ruslan yang mengajar subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni berkata, setiap karya mural itu lazimnya siap sepenuh dalam tempoh antara satu hingga dua minggu.
“Biasanya selepas tamat waktu persekolahan, saya akan melukis selama sejam. Namun sekiranya pada masa cuti, lukisan itu boleh disiapkan dalam tempoh dua atau tiga hari.
“Setakat ini, lukisan pada tangga sekolah, dinding bahagian depan dan di dalam kelas yang bertemakan alam semula jadi, sudah siap.
“Ramai yang suka melihatnya, terutama mural air terjun dan Gunung Keriang kerana lukisan itu kelihatan hidup,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Sentuhan hasil kreativiti Ruslan berjaya menampilkan lukisan menarik bertemakan alam semula jadi pada tangga sekolah.

Ruslan menunjukkan mural dalam kelas kepada murid SK Pida Tiga, Tunjang
Malah, Ruslan memaklumkan, beliau juga pernah menghasilkan mural di lebih 50 sekolah sekitar Pahang, Johor dan Kedah, selain di Makam Mahsuri, Langkawi, serta Masjid Bandar Kulai Jaya, Johor.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata, setiap karyanya memiliki keunikan tersendiri, malah beliau tidak pernah menggunakan lukisan lain untuk dijadikan panduan lakaran.
“Saya mula melukis ketika mengajar di SK Bukit Ridan, Muadzam Shah, Pahang, pada 1990-an dan terus aktif hingga hari ini.
“Melalui lukisan, saya juga dapat melepaskan tekanan selepas bekerja dan membantu memberi ketenangan kepada diri,” katanya.
Ruslan berkata, mural berkenaan turut mendapat pujian ibu bapa dan berdasarkan maklum balas positif, beliau kini bersedia untuk kongsikan ilmu pengetahuan mengenai seni lukis itu dengan murid yang berminat.
“Selain itu, saya bercadang melaksanakan projek mega mural terbesar di tapak perhimpunan sekolah. Bagaimanapun, cadangan itu belum dikemukakan kerana sekolah masih belum memiliki peruntukan dana bagi tujuan berkenaan.
“Impian saya ialah memperbanyakkan mural di dalam semua kelas, bilik guru, dewan dan kantin sekolah,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Pida Tiga, Rofitah Hashim, 56, berkata beliau menyambut baik inisiatif Ruslan melalui program keceriaan yang dilaksanakan bagi mempertingkat keindahan sekolah.
“Kita akan meneruskan program ini berdasarkan kos yang terbabit,” katanya.
Ruslan menyiapkan mural pada tangga SK Pida Tiga, Tunjang
BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 4 January 2020

TUGAS MENTERI PENDIDIKAN BAHARU


Tidak kira siapa bakal menggantikan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan selepas ini, kita rasa apa yang lebih penting ialah operasi di kementerian itu berjalan lancar, diketuai Ketua Setiausaha, pegawai tertinggi dan keseluruhan kakitangan.
Sekian lama, dasar pendidikan negara sering dianggap berubah setiap kali berlaku perubahan menterinya kerana orang baharu membawa pelbagai idea yang dianggap lebih segar. Begitu pun, setiap dasar baru yang diperkenalkan perlu dibincang dengan lebih teliti bersama pegawai kanan kementerian dan mana-mana dasar yang dirasakan lemah, perlu ditambah baik.
Apa pun idea atau pendekatan baharu, ia perlu mengikuti Falsafah dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, sekali gus mengambil kira kepentingan pelajar, guru, ibu bapa serta masyarakat keseluruhannya. Ini kerana sebarang perubahan pasti memberi kesan kepada sekitar 5 juta murid dan lebih 400,000 guru, belum termasuk kakitangan akademik dan bukan akademik di universiti awam (UA).
Kita meyakini menteri baharu akan mengambil ‘tempoh bertenang’, meneliti dan menambah baik pelaksanaan dasar sedia ada, berbincang dengan pegawai kanan serta pemegang taruh dalam semua sektor sebelum meneruskan agenda terpenting yang tidak pernah berubah sejak dulu, iaitu mendidik anak bangsa demi kepentingan negara.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika sidang media mengumumkan peletakan jawatanya sebagai Menteri Pendidikan pada sidang media khas yang diadakan di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas.
Tegur dahulu jika tidak betul
Apa berlaku di Kementerian Pendidikan seolah-olah menjelaskan kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu, Datuk Seri Mohd Zuki Ali yang meminta penjawat awam bersedia berhadapan segala kemungkinan luar jangka.
Permintaan Mohd Zuki supaya penjawat awam mengikut ikrar perkhidmatan awam dan Rukun Negara itu, menuntut mereka berkhidmat dengan jujur, penuh integriti dan tidak berat sebelah serta bersikap non-partisan.
Ia memerlukan penjawat awam termasuk Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan berani menegur menteri atau timbalan menteri sekiranya tidak mengikut peraturan atau prosedur termasuk tidak bersesuaian semangat Perlembagaan Persekutuan.
Menteri boleh datang dan pergi, sebaliknya penjawat awam akan kekal melaksanakan amanah seperti yang dijanjikan ketika mengangkat sumpah jawatan hingga bersara.
BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 2 January 2020

LEGASI DR MASZLEE PERLU DITERUSKAN - NUTP

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock (kanan)
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mempertimbangkan dan meneruskan usaha Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, meningkatkan taraf pendidikan negara.
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, berkata guru di negara ini masih memerlukan penyelesaian dalam isu berkaitan, antaranya beban kerja guru yang tidak relevan, kemelut pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta golongan kelainan upaya (OKU).
“Merujuk kenyataan yang diumumkan Menteri Pendidikan mengenai peletakan jawatannya, NUTP amat dukacita dengan keputusan itu dan pada masa sama, mengucapkan terima kasih atas komitmen beliau semasa menerajui Kementerian Pendidikan.
“NUTP melihat kesungguhan beliau sebagai akademia untuk memperbaiki dan menambah baik sistem pendidikan negara, malah Kementerian Pendidikan sanggup menjadikan NUTP sebagai rakan strategik dan bukan seteru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Maszlee, dalam satu sidang media khas di Putrajaya petang tadi, mengumumkan beliau mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan, berkuat kuasa esok, selepas mendapat nasihat Dr Mahathir pada pertemuan hari ini.
Harry Tan menjelaskan, sepanjang Maszlee menerajui Kementerian Pendidikan , pelbagai usaha dilaksanakan seperti membaik pulih sekolah daif, mengurangkan rasuah di kementerian dan menyediakan jaringan internet yang cepat untuk kegunaan guru.
“NUTP berharap Perdana Menteri dapat mempertimbangkan serta mengambil kira semua perkara supaya dapat menjaga institusi pendidikan negara,” katanya.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan, dalam satu kenyataan, berkata legasi Maszlee sebagai Menteri Pendidikan tidak akan dilupakan.
“Rakan saya Dr Maszlee Malik, baru saja mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia.
“Tanggungjawab besar itu adalah suatu amanah yang amat mencabar untuk sesiapa jua yang memegangnya, kami di PTPTN mengucapkan selamat maju jaya dan sesungguhnya ia bukan pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan baharu.
“Harapan PTPTN adalah supaya Maszlee akan terus menyokong usaha PTPTN menggalakkan penabungan dalam kalangan masyarakat, sekali gus memastikan ‘Pendidikan Untuk Semua’ seperti yang beliau usaha selama ini,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

MASZLEE LETAK JAWATAN MENTERI PENDIDIKAN


PUTRAJAYA: Dr Maszlee Malik mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan, berkuat kuasa esok.
Maszlee berkata beliau mengambil keputusan itu selepas mendapat nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada pertemuan hari ini.
"Saya dengan taat setia dan reda walaupun berat, dengan nasihat ayahanda Perdana Menteri, saya Maszlee Malik memulangkan semula jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa pada 3 Januari 2020 (esok).
"Keputusan ini dibuat selepas saya dilihat bukan melalui pencapaian. Kementerian Pendidikan sering jadi perhatian terutama media bukannya melalui pencapaian kita, apa yang berlaku selama 20 bulan ini yang tidak dicapai pada tahun (kepemimpinan) sebelum ini.
"Saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepemimpinan terutama membabitkan isu tulisan Jawi, internet sekolah dan sarapan percuma, dan saya percaya keputusan ini bukan pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan baharu," katanya pada sidang media khas di ruang legar kementeriannya di sini, sebentar tadi.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Mohd Gazali Abas, dan pengurusan tertinggi kementerian itu.
Dr Maszlee Malik mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada sidang media khas di Kementerian Pendidikan di Putrajaya, hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas.
Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, dalam tempoh 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan dengan pelbagai pencapaian, malangnya ia tidak dijadikan tajuk utama tetapi tajuk yang sensasi lebih mewarnai media massa.
Beliau berkata, banyak isu sensitif dan sengaja diperbesarkan lebih menjadi pilihan utama sehingga menjadikan dirinya menteri yang menimbulkan banyak krisis dalam pendidikan.
"Bukan mudah untuk seorang yang tiada latar belakang politik dan seorang daripada aliran akademik diberikan peranan mengemudi kementerian sebesar ini, yang mana jika kita lihat lebih dihujani isu politik berbanding isu pendidikan semasa.
"Malah pada hari pertama dilantik, saya sudah jangka akan banyak kontroversi akan muncul dalam tempoh peralihan kepemimpinan negara yang kini, begitu banyak ruang kebebasan dan ruang untuk semua pihak utara, bawa dan melobi kepentingan dan agenda mereka yang ingin dibawa dalam sistem pendidikan negara," katanya.
Ketika ditanya mengenai siapakah penggantinya, Maszlee berkata beliau berharap ia memberi sinar baharu kepada Malaysia dan tahun 2020 amatlah bermakna untuk negara.
Mengenai punca peletakan jawatannya pula, Maszlee menegaskan dirinya percaya dengan pandangan jauh dan ketajaman minda untuk memimpin negara ini.
"Saya dengan taat setia kepada Perdana Menteri dan parti yakin, apa jua keputusan yang dibuat dan dinasihatkan adalah untuk negara dan kebaikan semua," katanya.
Sebelum mengumumkan keputusannya itu, Maszlee terdahulu memaklumkan pencapaian Kementerian Pendidikan sejak menerajui kementerian itu pada Mei 2018.

Antaranya bacaan semula Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), pemerkasaan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan dasar inklusif untuk Murid Berkeperluan Khas, warga B40, anak tiada dokumen dan dasar sifar cicir yang memberi makna baharu kepada ratusan ribu murid di seluruh negara.
Dr Maszlee Malik melambai tangan kepada jurugambar selepas sidang media khas di Kementerian Pendidikan di Putrajaya.
Beliau berkata, sejak 2018, kementerian itu bersikap telus dengan segala inisiatif dan usaha reformasi pendidikan, selain menjadi kementerian pertama yang membentangkan laporan 100 hari Pakatan Harapan, diikuti kad laporan prestasi setahun (Jun 2018 - Jun 2019) dan kad laporan untuk 2019.
"Kita juga mahu meletakkan semula peningkatan kualiti sebagai asas utama pendidikan. Kita harus faham kualiti pendidikan tidak boleh diperbaharui semalaman dan terdapat banyak isu sistemik yang kompleks.
"Salah satu daripadanya adalah rasuah. Umum mengetahui, banyak pihak yang mendapat kontrak melalui kabel tertentu sebelum ini dan kementerian bekerja keras untuk membanteras amalan ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Kementerian Pendidikan di sini sebentar tadi.
BERITA HARIAN ONLINE

DENGAR PESANAN PAKCIK NI...

Maszlee bersama murid SK Setiawangsa ketika lawatan hari pertama sesi persekolahan 2020
“PAKCIK nak pesan satu benda: banyakkan baca buku. Setiap hari kena baca buku,” demikian pesanan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Dr Maszlee memberi pesanan itu kepada 467 murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa, Kuala Lumpur dan ibu bapa yang hadir sempena lawatannya ke sekolah berkenaaan, hari ini.
Lawatan selama 90 minit bermula 7 pagi itu diadakan bagi beramah mesra dengan murid SK Setiawangsa khasnya murid Tahun Satu sempena sesi persekolahan yang bermula hari ini.

Dalam ucapannya, Dr Maszlee memberitahu amalan membaca buku perlu diterapkan dalam kalangan murid untuk masa depan generasi akan datang dan negara yang lebih baik.
Justeru, beliau mahu ibu bapa menggalakkan anak masing-masing untuk mengamalkan budaya membaca.
“Pakcik dulu duduk dengan opah. Setiap hari opah tanya dah (sudah) baca buku ke belum.
“Harap ibu bapa sekalian, jangan lupa tanya khabar anak dah (sudah) baca buku atau belum. Galakkan anak membaca,” katanya yang turut meluangkan masa beramah mesra dengan 11 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keramat Wangsa selepas selesai lawatan di SK Setiawangsa.
Dalam pada itu, Dr Maszlee turut berpesan kepada murid tahun satu supaya mendengar kata guru ketika di sekolah.
“Dekat sekolah dengar cakap cikgu, rumah dengar cakap ibu dan ayah.
“Belajar betul-betul. Waktu main (sukan), main betul-betul.
“Nak dapatkan yang terbaik, buat lebih,” katanya.
Sementara itu, seorang bapa murid Tahun Satu, Mohd Akhair Abdul Rahman, 37, bersetuju dengan saranan Dr Maszlee untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan murid.
“Saya setuju dengan saranan beliau mengenai kepentingan budaya membaca kerana ia jelas sekali menambah pengetahuan kita,” katanya yang bekerja sebagai eksekutif di syarikat swasta.
Manakala, Siti Zuraidah Daud, 34 , turut menyambut baik saranan Dr Maszlee kerana menyedari amalan membaca perlu dipupuk di peringkat awal lagi.
“Bagus saranan beliau, ada betulnya. Malah, saya sendiri selalu ingatkan anak-anak supaya membaca buku sebelum tidur, ” katanya.

HARIAN METRO ONLINE