Dr Maszlee Malik.
Ketika menyiapkan tulisan ini, masih ramai warga Malaysia yang membicarakan soal peletakan jawatan Dr Maszlee Malik. Ada yang bersimpati dan sebahagian juga menyokong tindakan beliau.
Pelantikan beliau ke jawatan Menteri Pendidikan, iaitu menteri kanan dalam jangka masa pembabitan politik yang amat singkat (dua bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14), boleh dianggap sebagai satu perkara di luar kebiasaan di Malaysia.
Menerajui sebuah kementerian besar seperti Kementerian Pendidikan, bermakna banyak boleh dilakukan oleh Maszlee. Guru, pensyarah, sekolah dan universiti semua di bawah pentadbiran beliau yang memerlukan perhatian istimewa.
Oleh kerana itu, meskipun dalam tempoh singkat, iaitu 20 bulan, beberapa pencapaian dicapai oleh Maszlee ,meskipun tidak dinafikan, ada usaha yang beliau lakukan adalah kesinambungan daripada inisiatif lalu dengan penjenamaan semula.
Kini, peletakan jawatan itu membuka persoalan baharu, siapakah yang bakal menggantikan beliau? Semakin ramai yang mula menebak dan muncul beberapa nama. Antaranya, bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau lebih dikenali sebagai Tok Pa dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang kini Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Saya tidak berminat untuk terheret sama dalam menentukan siapakah calon menggantikan Maszlee, meskipun mempunyai pilihan tertentu, termasuk calon bukan ahli politik. Itu kuasa dan hak mutlak Perdana Menteri. Berilah ruang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad memilih siapa yang paling layak.
Namun, apa yang lebih utama ialah, bagaimana agenda pendidikan khususnya pendidikan tinggi disemarakkan lagi dengan memberi tumpuan isu pokok atau dasar utama. Ketika Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) diperkenalkan pada 2007 pada era Tok Pa, pelan ini menjadi kitab dan rujukan utama menentukan hala tuju dan kecemerlangan pendidikan tinggi.
Ia dilanjutkan pada era kepemimpinan menteri selepasnya, iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dengan pemerkasaan PSPTN melalui beberapa inisiatif baharu. PSPTN (meskipun belum tamat tempoh pelaksanaan) digantikan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) atau PPPM PT 2015-2025 bagi menghadapi landskap pendidikan tinggi global yang semakin kompleks.
Menteri Pendidikan ketika itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Pelaksanaan PPPM PT sangat bebas dengan keyakinan bahawa universiti diberikan autonomi dan kepercayaan untuk menjayakannya.
Tidak ada lagi pelaporan dan pasukan khas memantau pencapaian universiti seperti PSPTN. Pada era Maszlee, landskap pendidikan tinggi banyak mengalami perubahan, seiring dengan kerajaan baharu. Apabila beliau mengumumkan untuk membuat kajian semula Dasar Pendidikan Negara (termasuk pendidikan tinggi), ramai yang teruja.
Penulis bersama rakan dalam Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT), turut diundang menyampaikan buah fikiran dan cadangan menambah baik dasar pendidikan tinggi negara.
Selepas laporan kajian dasar itu diserahkan kepada Maszlee pada Mei 2019, ia belum lagi diumumkan kepada rakyat Malaysia. Kita masih belum mengetahui apakah dapatan baharu dalam kajian itu. Jika Maszlee masih kekal, platform yang paling sesuai mengumumkannya adalah Amanat Tahun Baharu 2020.
Namun, malang, beliau berundur lebih awal. Mungkin kita tidak memerlukan sebarang pelan baharu mengenai pendidikan tinggi setakat ini, kerana PPPM PT masih berjalan. Namun, dapatan kajian dasar pendidikan itu boleh memperkukuh dasar dan amalan pendidikan tinggi untuk kebaikan masa akan datang.
Lebih-lebih lagi, kita amat mengalu-alukan polisi berasaskan pembuktian (evident based policy) sebagai teras governan yang lebih berkesan, bukan dasar secara tiba-tiba atau adhoc. Pendidikan Tinggi pasca Maszlee turut meninggalkan persoalan, iaitu ke arah mana usaha memperkasa governan dan tadbir urus universiti.
Jika mengikut perancangan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan digantikan dengan sebuah akta baharu yang lebih progresif pada 2020. Ini seharusnya menjadi keutamaan menteri baharu untuk meneruskannya.
Selain itu, keperluan mewujudkan sebuah suruhanjaya pendidikan tinggi perlu dilihat secara lebih serius bagi memantapkan tadbir urus dan governan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tanpa banyak campur tangan politik.
Pada masa sama, soal wibawa pendidikan tinggi perlu terus diligatkan dengan memberi tumpuan kepada soal kecemerlangan berasaskan integriti. Kecemerlangan juga perlu didefinisikan semula dengan meraikan kepelbagaian input dan pencapaian, bukan melihat dalam jalur yang sempit.
Slogan pendidikan untuk semua menjadi mantera pendidikan tinggi sekian lama. Ini bermakna, impak pendidikan perlu sampai kepada masyarakat. Gagasan ‘Universiti Untuk Masyarakat’ perlu menjadi agenda utama dan bukan lagi diletakkan sebagai jauh ke belakang sebagai misi ketiga universiti.
Paling penting, langkah ke hadapan pendidikan tinggi tidak akan sempurna selagi ia diletakkan sekali dalam Kementerian Pendidikan. Pendidikan Tinggi perlu ‘rumah sendiri’ untuk menawarkan sebuah kehidupan yang lebih bermakna dan sejahtera.
Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan bekas Setiausaha Akhbar, Menteri Pengajian Tinggi.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment