Friday, 17 January 2020

PROGRAM PSP UNTUK GOLONGAN SASAR ELAK PEMBAZIRAN

KUALA LUMPUR: Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) menyifatkan Program Sarapan Pagi (PSP) fasa pertama 2020 bermula Isnin ini bakal memberi impak positif dengan bantuan diberikan kepada pelajar keluarga berpendapatan rendah (B40).
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) perlu melakukan pemantauan secara dekat dengan meminta pegawai ke lapangan dalam melaksanakan program itu bagi mengelak ketirisan kuasa berlaku terutama dalam pemberian tender bagi mengelak anak-anak B40 menjadi mangsa.
“KPM juga perlu memantau dengan berterusan supaya ia mengikut perancangan ditetapkan dan sekolah itu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak pembaziran,” katanya di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam mengumumkan PSP yang diperkenalkan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan diteruskan, namun disasarkan kepada murid daripada keluarga kurang mampu saja.
Beliau berkata, adalah tidak adil untuk menyediakan bantuan itu kepada anak golongan berada dan penerima manfaat program itu akan ditambah dari masa ke masa.
KPM sebelum ini menyatakan PSP akan mula dilaksanakan di 100 sekolah rendah di seluruh negara membabitkan 37,000 murid dan 1,600 guru yang bertugas setiap hari dengan kos pelaksanaan dianggarkan RM22 juta.
Menurut KPM, pelaksanaan PSP fasa pertama akan menggunakan menu berkonsepkan Grab ‘n’ Go iaitu minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwich, buah-buahan atau telur rebus.
Pemilihan sekolah bagi fasa pertama dibuat berdasarkan kepada sekolah yang mempunyai peratus murid golongan B40 yang tertinggi dan turut mengambil kira semua jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.
Mohd Azizee berkata, pihaknya turut mendukung usaha KPM dalam menzahirkan PSP kerana ia satu usaha membantu pelajar mendapat pendidikan yang baik melalui penyediaan makanan terbaik dan berkualiti.
“iGuru melihat program ini satu inisiatif yang baik untuk memastikan semua murid daripada kelompok B40 mendapat pemakanan yang sihat dan seimbang bagi pertumbuhan fizikal dan mental.
“Pemakanan yang sihat dan seimbang menjamin proses pembelajaran murid, sekali gus membantu aspek kecemerlangan pendidikan mereka,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan, berkata cadangan Perdana Menteri itu akan memberi manfaat dan mengurangkan masalah pembaziran dalam menguruskan dana pendidikan.
“Tidak salah jika sebarang program yang hendak dilaksanakan atau diteruskan dikaji semula demi keberkesanannya, sama seperti PSP, bantuan persekolahan dan pemberian baucar buku misalnya, tidak semestinya perlu diagihkan kepada semua pelajar.
“Pemberian itu sebenarnya bergantung kepada taraf kehidupan seseorang. Jadi, memang sepatutnya segala pemberian atau sumbangan dihadkan kepada mereka yang memerlukan, walaupun dalam keadaan mewah atau sebaliknya, kita perlu berpada-pada dan tidak membazir,” katanya.
Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim pula mengakui langkah kerajaan mengehadkan program itu kepada golongan sasar adalah tindakan yang betul, namun kerajaan perlu mengambil kira mekanisme kawalan perbelanjaan dan kemungkinan pembaziran makanan.
BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment