Thursday 16 January 2020

HABIBAH DILANTIK SEBAGAI KETUA PENGARAH PELAJARAN BAHARU

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Kurikulum) Kementerian Pendidikan, Dr Habibah Abdul Rahim dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu, menggantikan Datuk Dr Amin Senin.
KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Kurikulum) Kementerian Pendidikan, Dr Habibah Abdul Rahim dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu, menggantikan Datuk Dr Amin Senin yang bersara wajib pada 21 Disember 2019.
Pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran ke-17 itu yang berkuat kuasa pada 10 Januari lalu menyaksikan Habibah, 58, sebagai wanita kedua menggalas jawatan berkenaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan memaklumkan, Habibah memulakan perkhidmatan dalam dunia pendidikan pada 1986 sebagai guru di beberapa sekolah di Selangor dan Kedah sebelum menyambung perkhidmatan di pelbagai organisasi di Kementerian Pendidikan.
Selain Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Kurikulum), jawatan lain pernah disandangnya adalah Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Pengarah Eksekutif Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) dan Pensyarah Kanan di Institut Aminuddin Baki (IAB).
“Beliau berkelulusan ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam bidang biologi dari University of Salford, United Kingdom pada 1984 sebelum meneruskan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang pendidikan di University of Bristol, United Kingdom pada 1993,” kata kenyataan itu.
Habibah memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang pendidikan dari Stanford University, Amerika Syarikat pada 2001.
Menurut kenyataan berkenaan, berbekalkan kepakaran, pengalaman dan pencapaian yang cemerlang, Kementerian Pendidikan yakin Habibah mampu untuk terus meningkatkan lagi prestasi pendidikan negara selaras hasrat yang diaspirasikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Kementerian itu turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Amin kerana khidmat bakti dalam bidang pendidikan semasa beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Pelajaran.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment