Wednesday, 1 January 2020

HANYA LIMA MURID TAHUN SATU DI SK DUSUN

HANYA lima murid Tahun Satu yang mendaftar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun, Hulu Terengganu, pada hari pertama persekolahan hari ini.
KUALA BERANG: Saban tahun, bilangan murid Tahun Satu yang mendaftar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun di sini, sememangnya kecil dan ia kelihatan semakin berkurangan tahun ini dengan hanya lima murid.
Guru Besar SK Dusun, Mohd Soffi Othman, berkata tahun lalu pihaknya mendaftarkan 10 murid Tahun Satu, namun bilangannya berkurangan separuh bagi sesi 2020.
Beliau berkata, murid Tahun Satu yang mendaftar di sekolah itu hari ini adalah anak penduduk Kampung Dusun dan Kampung Pueh.
“Keseluruhannya SK Dusun mempunyai 65 murid, termasuk lima murid Tahun Satu.
“Selain itu, sekolah ini menempatkan sembilan murid Tahun Dua, Tahun Tiga (16), Tahun Empat (15), Tahun Lima (sembilan) dan 11 murid Tahun Enam,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, situasi itu bukan luar biasa berikutan sekolah itu dikategorikan Sekolah Kurang Murid (SKM).
Katanya, faktor penghijrahan ibu bapa ke kawasan bandar untuk bekerja menyebabkan sekolah di kawasan kampung termasuk SK Dusun semakin berkurangan murid.
“Bagaimanapun, ia memberi kelebihan kerana guru kerana boleh memberi tumpuan kepada murid untuk pembelajaran dan pengajaran yang lebih berfokus dan berkesan, sekali gus melahirkan murid cemerlang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Salim Ab Ghani, berkata seramai 225,565 murid di 503 sekolah di negeri ini mendaftar bagi sesi persekolahan tahun ini.
Jumlah itu membabitkan 128,609 murid sekolah rendah dan 96,956 pelajar sekolah menengah, dengan 21,273 murid Tahun Satu dan 18,178 pelajar Tingkatan Satu.
“Jumlah murid Tahun Satu yang mendaftar menurun 1.5 peratus, berbanding seramai 21,595 murid Tahun Satu yang mendaftar tahun lalu,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment