Friday 17 January 2020

BELUM PERLU UBAH DASAR DI KEMENTERIAN PENDIDIKAN - PM

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) menegaskan tidak akan mengubah dasar sedia ada
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tidak akan mengubah dasar sedia ada atau membuat lantikan baharu bagi beberapa jawatan penting dalam Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.
Perdana Menteri berkata, ia termasuk keputusan mengenai pemakaian kasut hitam di sekolah yang diperkenalkan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, sebelum ini.
Dr Mahathir yang memangku jawatan Menteri Pendidikan menjelaskan, tindakan itu dianggap bertepatan kerana perlu meneliti pelbagai perkara berbangkit dalam kementerian berkenaan.
“Saya sudah mendengar taklimat panjang lebar semalam (daripada pihak Kementerian Pendidikan). Saya sedikit keliru sebab terlalu banyak fakta diberikan, jadi saya sedang mengkajinya.
“Tetapi satu perkara yang saya sudah putuskan ialah kamu boleh pakai kasut (berwarna) coklat, hitam, putih, kelabu... apa-apa kasut pun boleh,” katanya secara berseloroh pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di sini, hari ini.
Kelmarin, Kementerian Pendidikan dilapor sedang mendapatkan maklum balas sekolah berhubung pelaksanaan pemakaian kasut dan stoking hitam yang dimaklumkan menerusi pekeliling bertarikh 14 Januari lalu.
Surat pekeliling itu ditandatangani Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Datuk Mohd Jamil Mohamed dan tular di media sosial.
Pemakaian kasut dan stoking hitam dilaksanakan secara beransur-ansur bermula sesi persekolahan 2019 hingga 2021 berdasarkan pekeliling ikhtisas KPM Bilangan 10 tahun 2018.
Sebelum ini, Maszlee mahu semua murid dan pelajar sekolah rendah dan menengah memakai kasut hitam mulai 2019 susulan keluhan daripada ibu bapa mengenai kebersihan kasut putih dipakai anak mereka.
Langkah itu berupaya membantu menceriakan pelajar terutama dalam menjalankan aktiviti luar bilik darjah.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment