Thursday, 23 January 2020

NUTP SYOR PERANAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN TIDAK PERLU DIPECAHKAN

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan perlu kekal sebagai sebuah kementerian yang melaksanakan urusan pendidikan rendah dan tinggi, sekali gus tidak memerlukan kewujudan semula Kementerian Pengajian Tinggi seperti dicadangkan sesetengah pihak.
Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan perlu melantik dua timbalan menteri, masing-masing bagi pendidikan rendah dan tinggi bagi memastikan dasar serta program bagi kedua-dua peringkat pendidikan itu dilaksanakan secara khusus dan berkesan.
Cadangan itu disuarakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) melalui Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock.
“Bagi Kementerian Pendidikan, kita mencadangkan supaya ia diterajui satu menteri tetapi dengan dua timbalan menteri.
“Hala tuju pendidikan sesebuah negara perlu sehaluan dan pendidikan adalah satu kerja berpasukan,” katanya kepada BH, hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pemangku Menteri Pendidikan, berkata beliau akan mengambil kira pandangan kemungkinan memecahkan Kementerian Pendidikan dengan mewujudkan Kementerian Pengajian Tinggi, seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
Harry juga percaya Dr Mahathir akan mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum membuat keputusan mengenai perkara itu.
“Bagaimanapun, kami merayu kepada semua pihak supaya jangan menjadikan pendidikan sebagai bahan politik demi anak bangsa kita,” katanya.
Sementara itu, Harry memaklumkan, pihaknya sudah menghantar surat untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Dr Mahathir bagi membincangkan isu pendidikan negara.
“Kami menggariskan 18 perkara yang perlu diberi perhatian sejak beliau dilaporkan menerajui Kementerian Pendidikan, antaranya beban kerja perkeranian yang tidak relevan dan masalah berbangkit di kolej vokasional,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment