Tuesday 14 January 2020

DASAR PENDIDIKAN YANG DIKRITIK AKAN DIKAJI SEMULA - TUN M

Dr Mahathir menjawab soalan ketika menjadi panel khas pada Forum Integriti Bank Rakyat 2020 di Menara Bank Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula dasar Kementerian Pendidikan terutama yang mendapat kritikan pelbagai pihak, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah mempunyai perancangan dan idea untuk menambah baik sistem pendidikan negara.
“Sekarang ini saya sudah ada beberapa idea mengenai apa yang perlu dilakukan untuk baiki sistem pendidikan.
“Kita dapati banyak perkara perlu kita kaji semula sama ada ianya baik atau tidak. Kita dapati orang ramai biasanya buat teguran. Kita ambil kira teguran mereka sama ada kita perlu buat perubahan atau pun tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi panel khas pada Forum Integriti Bank Rakyat 2020 di Menara Bank Rakyat di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Dr Mahathir yang memangku jawatan Menteri Pendidikan berkata, beliau memerlukan sedikit masa untuk meneliti setiap penambahbaikan yang akan dilakukan selepas ini.
“Saya baru jadi pemangku beberapa hari saja dan dalam proses mendapatkan taklimat mengenai peranan Menteri Pendidikan dan berbincang dengan beberapa kawan,” katanya.
Beliau berkata, matlamat pendidikan mesti jelas iaitu melahirkan masyarakat yang boleh berdikari dan bukan hanya menanti bantuan kerajaan.
“Tujuan kita ialah untuk mendidik anak-anak supaya apabila mereka membesar, dapat hidup sempurna, boleh cari kerja, cari makan dan boleh menjadi orang yang produktif dan bukan menjadi orang yang hanya menanti dapat bantuan,” katanya.
Ditanya cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta kerajaan mempertimbang untuk memasukkan Influenza A ke dalam senarai jenis penyakit berjangkit diberikan kemudahan cuti kuarantin, Dr Mahathir sedia meneliti cadangan itu.
“Saya akan fikirkan,” katanya.
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, dalam satu kenyataan sebelum ini menyatakan, berdasarkan situasi terkini penularan Influenza A dalam negara, cuti kuarantin perlu diberi kepada guru dan pelajar yang dijangkiti virus terbabit.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment