Saturday, 11 January 2020

6 MURID MENANG ANUGERAH PERTANDINGAN PENDIDIKAN ROBOTIK DUNIA 2019

Dr Mohamad Rafie Malek (tengah) bersama pemenang kategori inovasi.
SEREMBAN: Enam murid mengharumkan nama negara apabila memenangi dua anugerah terbaik pada Pertandingan Pendidikan Robotik Dunia 2019 (WARC 2019), di Shanghai, China.
Raza Harruz Zaqwan Rahim, 12; Choy Jum Lam, 12; Low Han Wei, 10, memenangi Anugerah Kategori Inovasi Terbaik, manakala Yoong Jia Jie, 13; Law Jun Jie, 12 dan Low Han Jun, 12, memenangi Anugerah Kategori Persembahan Terbaik.
Mereka mewakili beberapa sekolah di daerah ini dan bernaung di bawah Kelab Ibubapa MyFirst Robotic (MFRC) di sini.
Kemenangan pada pertandingan yang diadakan pada 14 dan 15 Disember 2019 itu membolehkan mereka membawa pulang sijil, pingat dan trofi kemenangan.
Pengurus MFRC, Tan Guat Choon, berkata pihaknya menghantar 17 peserta dalam pertandingan yang disertai lebih 5,000 peserta dari 50 buah negara antaranya United Kingdom, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun, Kanada dan Australia selain China selaku tuan rumah.
Katanya, pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu ‘team show event’ dan `brick contest’.
“Pasukan kami berdepan cabaran sengit terutama dari peserta United Kingdom dan China, namun hasil kesungguhan dan latihan selama lebih tiga bulan membuat persiapan, akhirnya mereka berjaya memenangi dua anugerah.
“Kejayaan ini juga hasil sokongan dan kerjasama mantap daripada ibu bapa murid terbabit serta ilmu dan kemahiran diperoleh berjaya digunakan sepenuhnya pada pertandingan itu,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis taklimat dan meraikan kejayaan mereka di Kelab MFRC di Seremban 2, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr Mohamad Rafie Malek.
Tan Guat berkata, ini bukan kejayaan pertama kali diraih kumpulan MFRC sebaliknya pernah memenangi anugerah beberapa kategori lain sejak penyertaan pertama pertandingan itu bermula 2016.
“Kami juga kerap menghantar wakil ke beberapa pertandingan robotik di peringkat antarabangsa lain termasuk di Indonesia, Russia, Qatar, Korea, India dan Hong Kong,” katanya.
Sementara itu, Dr Mohamad Rafie menyifatkan kejayaan itu amat membanggakan dan juga berjaya mengharumkan nama Negeri sembilan.
Beliau berkata, usaha yang dibuat MFRC amatlah baik dalam memberi galakan kepada murid meminati kemahiran teknologi robotik.
“Ini selaras dengan usaha kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan yang fokus membantu pelajar menceburi bidang teknologi robotik seiring dengan era teknologi baharu masa depan,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment