NGO berharap PM mampu melaksanakan reformasi dan memperkasa agenda pendidikan negara secara drastik bagi mendepani era digital serta cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
KUALA LUMPUR: Dua badan bukan kerajaan (NGO) dalam bidang pendidikan, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-GURU) dan Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) berharap Tun Dr Mahathir Mohamad yang memangku jawatan Menteri Pendidikan mampu melaksanakan reformasi dan memperkasa agenda pendidikan negara secara drastik bagi mendepani era digital serta cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Perdana Menteri juga disaran mewujudkan sekolah satu aliran, selari dengan semangat terkandung dalam dokumen pendidikan negara, Penyata Razak 1956.
Presiden i-GURU, Mohd Azizee Hasan, berkata pihaknya turut berharap Dr Mahathir mempertahankan dasar pendidikan negara seperti termaktub dalam Perlembagaan terutama berkaitan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), pengekalan tulisan Jawi, memartabatkan Bahasa Melayu dan mengarus perdanakan pendidikan Islam dalam sistem pendidikan.
“i-GURU berharap usaha reformasi ini mesti mendahulukan kepentingan pendidikan mengatasi kepentingan politik, termasuk mempertimbangkan cadangan mewujudkan sekolah satu aliran bagi membina satu bangsa bersatu padu selaras semangat Penyata Razak 1956,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu bersetuju Dr Mahathir memangku sementara jawatan Menteri Pendidikan, berkuat kuasa 3 Januari lalu iaitu selepas Dr Maszlee Malik, meletakkan jawatannya atas nasihat Perdana Menteri dalam satu pertemuan sehari sebelum itu.
Sementara itu, Presiden PAUiTM, Datuk Mohd Zaini Hassan berkata, di bawah Dr Mahathir, Kementerian Pendidikan harus dikendalikan dengan berkesan, strategik dan berhemah bagi memastikan dasar pendidikan kebangsaan dipatuhi dan diperkasakan.
Katanya, PAUiTM tidak mahu melihat dasar pendidikan negara diperkotak-katikkan mengikut ‘dasar peribadi’ setiap menteri yang menerajuinya.
“PAUiTM juga menyokong cadangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) supaya agensi pendidikan negara diletak di bawah satu Suruhanjaya Parlimen bagi memastikan setiap dasarnya tidak diubah dan diganggu-gugat mengikut acuan peribadi semasa.
“Kita berharap sistem persekolahan negara disatukan menjadi satu sistem kebangsaan tunggal bagi anak Malaysia. Jika sistem tunggal itu tidak dapat dilaksanakan, kami mencadangkan diperkenalkan semula gagasan Sekolah Wawasan,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment