Tuesday, 31 December 2019

PSP: SEMUA PIHAK DISARAN IKUTI PANDUAN MAKANAN SELAMAT WHO

DATUK Dr Khalid Ibrahim
SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hari ini menyarankan semua pihak terbabit dengan Program Sarapan Pagi (PSP), sentiasa mengikuti panduan makanan selamat yang digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pengarahnya, Datuk Dr Khalid Ibrahim, berkata panduan berkenaan adalah menjaga kebersihan, mengasingkan makanan mentah daripada makanan yang sudah dimasak, masak dengan cara yang betul, simpan makanan pada suhu selamat dan gunakan air serta bahan mentah yang selamat.
“Makanan yang diberikan di dalam PSP ini perlu dipastikan bersih dan selamat. Keselamatan makanan semasa pembekalan, penyediaan dan penyimpanan makanan perlu diberi perhatian serius untuk mengelakkan berlakunya penyakit bawaan makanan, terutamanya keracunan makanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dr Khalid juga menggesa pelajar dan guru mengamalkan ‘Lihat’, ‘Hidu’ dan ‘Rasa’ sebelum menikmati makanan yang diberikan di PSP berkenaan kerana amalan itu sekurang-kurangnya menjadi salah satu benteng diri daripada mengalami keracunan makanan.
Dalam kenyataan sama, Dr Khalid berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan program yang mementingkan gaya hidup sihat dan merangsang tumbesaran, sekali gus menjadikan program itu amat bermanfaat kepada pelajar.
Kementerian Pendidikan, dalam satu kenyataannya sebelum ini mengumumkan PSP fasa satu akan bermula pada 20 Januari ini di 100 buah sekolah rendah seluruh negara, membabitkan 37,000 murid dan 1,600 guru yang bertugas setiap hari, dengan kos pelaksanaan dianggarkan RM22 juta.
PSP di sekolah rendah adalah inisiatif terbaru kementerian untuk menyediakan makanan berkhasiat mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang, bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran mereka.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment