Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menetapkan matlamat utama pendidikan ke arah melahirkan individu yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani berasaskan pegangan teguh dan kepercayaan kepada Tuhan.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, menjelang abad yang baharu, rakyat Malaysia perlu menjadi warganegara yang berminda kelas pertama, teguh jati diri, matang dalam menyimpulkan pandangan serta dinamik dalam mencorak pemikiran.
“Pihak Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pelbagai inisiatif ke arah melahirkan generasi yang cemerlang dan terdidik dengan adab terpuji.
“Penerapan nilai dan adab perlu menjadi tunjang kepada kemenjadian pembentukan diri seseorang murid secara holistik selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Kini, proses 3M (Menulis, Membaca dan Mengira) dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) pada mana-mana peringkat perlu ditambah dengan M yang keempat iaitu Manusiawi,” katanya.
Menurut beliau, sekolah bukan lagi tempat persaingan tetapi tempat pembelajaran nilai kemanusiaan.
“Nilai teras yang harus kita raikan seperti menyebarkan kasih sayang, diterapkan dalam suasana hormat menghormati dan bertanggungjawab pula membuahkan
hidup aman dan gembira.
“Seiring kemajuan berteraskan revolusi industri 4.0, nilai manusiawi juga seharusnya menjadi tunjang utama,” katanya.
Beliau berkata, jika soal nilai dan manusiawi tidak difikirkan pada zaman teknologi ini dikhuatiri lahirnya manusia yang bukan sahaja gagal menginsankan
teknologi, sebaliknya mereka pula ditukarkan menjadi seolah-olah jentera berautomasi.
Kata Maszlee, atas dasar tanggungjawab, pihak kementerian telah menyediakan Manual Kesedaran Sivik dan Amalan Nilai Murni bagi kegunaan murid sekolah rendah dan menengah.
“Ia merupakan suatu panduan melaksanakan aktiviti bimbingan ke arah merekayasa amalan nilai murni dalam kalangan murid.
“Saya berharap manual ini digunakan secara maksimum bagi memupuk kesedaran, ke arah membina kefahaman sehingga ke peringkat nilai tersebut menjadi amalan dan dibudayakan dalam kehidupan harian.
“Semoga usaha murni ini memberikan impak kepada kemenjadian murid yang bukan sahaja cemerlang inteleknya malah terbilang sahsiahnya,” kata Maszlee.
KPM telah menyediakan Manual Kesedaran Sivik dan Amalan Nilai Murni bagi sekolah rendah dan menengah untuk panduan pihak sekolah mengikut bulan disepanjang tahun.
Nilai teras yang diterapkan adalah kasih sayang, hormat menghormati, bertanggungjawab dan kegembiraan.
Sumber : GPS Bestari
No comments:
Post a Comment