Tuesday 3 December 2019

PISA 2018: MEMBACA BUKAN LAGI HOBI PELAJAR


PUTRAJAYA: Laporan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2018 yang menaksir 6,111 pelajar berusia 15 tahun dari 191 sekolah di Malaysia, menunjukkan aktiviti membaca sebagai hobi tidak lagi digemari.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata pentaksiran PISA 2018 yang mewakili 388,638 pelajar berumur 15 tahun di negara ini, mendapati mereka hanya membaca apabila terpaksa atau untuk tujuan tertentu dan bukan sebagai minat.

Justeru, beliau berkata, perkara itu perlu diberi perhatian bagi memupuk minat membaca.

Katanya, peratusan bahan dibaca oleh pelajar berusia 15 tahun di Malaysia juga menunjukkan pengurangan signifikan antara PISA 2018 dengan PISA 2009, iaitu ketika literasi bacaan menjadi domain utama.

Beliau berkata, tiga jenis bahan bacaan yang masih diminati ialah buku fiksyen, bukan fiksyen dan komik.

“Graf menunjukkan perbezaan sikap membaca antara pelajar lelaki dengan pelajar perempuan dalam PISA 2018, yang mana 77 peratus pelajar lelaki dan 58 peratus perempuan hanya membaca untuk mendapatkan maklumat diperlukan.

“Selain itu, 52 peratus pelajar lelaki dan 73 peratus perempuan memberi respons membaca adalah hobi digemari.

“Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) melaporkan pengurangan dalam penggunaan bahan bercetak boleh dikaitkan dengan era digital, iaitu akses kepada ruang bual, pembacaan rencana dalam laman berita atau laman web yang menyediakan bahan bacaan dengan mudah.

“Peratusan murid Malaysia yang menyatakan mereka kerap melakukan pencarian maklumat dalam talian adalah tinggi, malah hampir menyamai peratusan purata OECD,” katanya pada sidang media Pencapaian Malaysia dalam PISA 2018, di sini, hari ini.

Amin menjelaskan, PISA diperkenalkan sejak 2000 dan ditadbir setiap tiga tahun yang mana dalam setiap pusingan, satu domain wajib menjadi domain utama.

Bagi PISA 2018 dan PISA 2009, domain utama ialah Literasi Bacaan, sekali gus menyebabkan PISA 2018 dibandingkan dengan PISA 2009.

Katanya, Malaysia kini berada di kedudukan satu per tiga pertengahan dalam kedudukan negara yang menyertai PISA 2018, serta menunjukkan pencapaian lebih baik dalam ketiga-tiga domain literasi, iaitu bacaan, matematik dan saintifik, berbanding negara ASEAN lain kecuali Singapura.

Secara keseluruhan, beliau berkata, pencapaian Malaysia meningkat secara signifikan dalam ketiga-tiga domain literasi, dan ada peningkatan dalam bilangan murid berpencapaian tinggi serta penurunan bilangan murid berpencapaian rendah.

“Pencapaian Malaysia berdasarkan skor purata juga menunjukkan Malaysia semakin menghampiri purata OECD.

“Malaysia mencapai skor purata 415 mata dalam literasi bacaan PISA 2018, manakala 440 skor bagi literasi matematik dan 438 skor untuk literasi saintifik,” katanya.


BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment