Monday 16 December 2019

2,250 GRADUAN PISMP LULUS TEMU DUGA SPP

TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.
KUALA LUMPUR: Seramai 2,250 graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) keluaran Institut Pendidikan Guru (IPG) lulus temu duga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan ditempatkan di sekolah pada 4 November lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata bagi graduan pendidikan keluaran universiti awam pula, seramai 5,594 orang dipanggil temu duga pada September hingga Oktober lalu untuk mengisi kekosongan pelbagai opsyen di Kementerian Pendidikan.
Katanya keputusan dijangka diketahui bulan ini dan lantikan bagi yang berjaya akan bermula pada Januari depan.
“Pengambilan guru adalah berdasarkan kepada bilangan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran di sekolah di bawah pentadbiran kementerian. Urusan pengambilan guru dilaksanakan oleh SPP selaku Pihak Berkuasa Melantik.
“Graduan universiti awam yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan akan dipanggil untuk ditemu duga oleh SPP berdasarkan bilangan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Suresh Singh Rashpal Singh yang ingin tahu jumlah bilangan graduan daripada bidang perguruan yang belum ditempatkan di sekolah setakat November 2019.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment