Saturday 14 December 2019

TERAP BUDAYA ITQAN, SEMANGAT NAGA DAN KUDA DALAM KERJA HARIAN

Maszlee pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Ibu Pejabat NUTP di Kuala Lumpur, hari ini.
KUALA LUMPUR: Golongan pendidik dan kesatuan guru diingatkan supaya menerapkan budaya ‘itqan’ dan semangat naga serta kuda dalam kerja seharian.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata itqan dalam bahasa Arab bermaksud bersungguh-sungguh dan semangat naga dan kuda menjadi pegangan masyarakat Tionghua sambil berharap jika ia disemai dan dipraktikkan, kerja yang dilakukan seefisyen mungkin bagi mendapatkan hasil terbaik.
Beliau berkata, dua budaya itu adalah harapan kepada guru dan semua kesatuan yang menjadi keluarga besar Kementerian Pendidikan dengan matlamat Malaysia dapat dibangunkan sekali gus bangkit mengaum semula sebagai harimau Asia.
“Saya sentiasa berkongsi dua budaya. Baru-baru ini pada Hari Integriti, saya kongsikan perlunya kita menyemai dalam jiwa budaya itqan. Itqan dalam bahasa Arab tetapi konsepnya begitu holistik bermaksud buat sesuatu kerja dengan cemerlang dan bersungguh-sungguh serta memastikan kita memberikan daya semaksimum mungkin.
“Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad mengatakan bahawa Allah sukakan pada seseorang yang melakukan kerja secara itqan iaitu bersungguh-sungguh, bertungkus lumus, berbudaya cemerlang dan memberikan tahap maksimum daripada pekerjaannya. Ini boleh difahami.
“Saya juga selalu sebutkan kepada rakan-rakan berbangsa Tionghua dengan semangat naga dan kuda iaitu kita buat sesuatu tidak boleh buat secara remeh temeh, secara lewa mahupun secara cincai. Justeru, kita kena buat sesuatu secara bersungguh-sungguh dengan sepenuh jiwa dan raga. Kalau buat, pastikan itu yang terbaik,” katanya.
Maszlee (tengah) pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Ibu Pejabat NUTP di Kuala Lumpur, hari ini.

Maszlee melawat pejabat baharu NUTP.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Bangunan Baharu Ibu Pejabat Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), di sini, hari ini.
Yang turut hadir Presiden NUTP, Aminuddin Awang.
Dalam ucapannya, Maszlee sempat berkongsi cerita bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengingatkan semua menteri Kabinet supaya bekerja kuat dan rajin seperti orang Jepun.
Katanya, Mahathir memberitahu jika menteri tidak boleh laksanakan tanggungjawab dan amanah sebaik mungkin, individu itu patut rasa malu.
“Pernah Tun (Dr Mahathir) bergurau dengan kami menteri Kabinet. Beliau kata beliau nak kami bekerja seperti orang Jepun. Kalau tak boleh laksanakan sebaik mungkin beliau akan malu.
“Demikian harapan saya kepada guru kepada semua kesatuan yang ada bersama-sama kita di mana pun kita berada dan apa pun peranan kita. Yang penting kita bekerja sebagai satu keluarga besar untuk bangunkan Malaysia menjadi harimau Asia yang mengaum di pentas dunia,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan pelaksanaan program sarapan percuma untuk murid sekolah rendah mulai tahun depan, ketika ditemui media, Maszlee tidak mahu mengulas perkara berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata pengumuman lanjut berkenaan program sarapan percuma akan dibuat dalam sidang media akan datang.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment