Tuesday, 17 December 2019

SASARAN IBU BAPA BIARLAH REALISTIK, ELAK PELAJAR TERTEKAN


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Pembelajaran di sekolah seharusnya menjadi sesuatu yang menggembirakan dan memberi semangat kepada pelajar.

Bagaimanapun, banyak kejadian pelajar mengalami tekanan emosi ekoran masalah di sekolah selain ibu bapa yang terlalu mengharapkan anak mereka cemerlang dalam pelajaran.

Insiden pelajar mengalami tekanan dalam pelajaran sehingga melakukan perbuatan mencederakan diri sendiri perlu dipandang serius pelbagai pihak dan langkah pencegahan awal amat penting.

Dalam kejadian pada 23 Ogos lepas, seorang pelajar berusia 13 tahun ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai menggantung diri di dalam bilik air rumahnya di flat Jalan Paya Terubong, Taman Sri Relau, Georgetown, Pulau Pinang, mendakwa akibat tertekan dengan lambakan kerja sekolah.

Hasil siasatan polis mendapati remaja berkenaan dikatakan kurang berminat untuk belajar selain prestasi pelajarannya yang agak lemah termasuk sering merungut kepada ibu bapanya mengenai kerja sekolah yang terlalu banyak.

Mengulas isu tersebut, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata sekolah sepatutnya menjadi tempat yang gembira untuk pelajar menimba ilmu selain memupuk kasih sayang.

“Tetapi bila sampai tahap dapat tekanan, itu tidak sepatutnya berlaku,” kata beliau.

Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya Dr Norsafatul Aznin A. Razak berkata kecemerlangan seseorang individu bukanlah dinilai dari segi intelektual semata-mata sebaliknya secara holistik termasuk sahsiah dan kesihatan psikologi anak-anak.

"Tekanan dalam perihal pelajaran perlu pada tahap yang bersesuaian dan tidak melampaui batas bagi meningkatkan motivasi mereka seterusnya mencabar diri sendiri bagi mencapai kejayaan cemerlang dalam semua bidang.

"Kecenderungan ibu bapa yang inginkan anak mereka lebih cemerlang berbanding orang lain hingga meletakkan kayu pengukur yang tidak realistik dan sukar dicapai juga menyebabkan anak-anak berasa tertekan.

"Ada juga ibu bapa yang berpendapat kehebatan mereka dan guru dalam mendidik anak-anak diukur menerusi tahap kecemerlangan yang akhirnya mereka secara berterusan menekan anak-anak dalam pelajaran," katanya.

Ibu Bapa Tetapkan Matlamat Realistik
  
Dr Norsafatul berkata ibu bapa hendaklah menetapkan matlamat yang realisitik dan boleh dicapai berdasarkan kemampuan kerana setiap manusia memiliki keupayaan pembelajaran yang berbeza-beza.

Beliau berkata usaha mewujudkan peraturan seperti waktu belajar, waktu beriadah dan waktu rehat yang boleh diikuti boleh mendorong anak mereka berusaha meningkatkan kecemerlangan dalam pelajaran tanpa tekanan.

Menyifatkan guru berperanan dalam pembentuk personaliti dalam kalangan pelajar, Dr Norsafatul mencadangkan guru untuk bijak mengatur strategi dalam memastikan pelajar berasa seronok dan bersemangat dalam proses pembelajaran di sekolah.

Malah, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika bertitah di Majlis Apresiasi Pendidikan Kali ke-16 Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Azizah di Indera Mahkota pada 17 Nov lepas, menyarankan ibu bapa dan guru agar tidak menekan anak-anak mereka secara keterlaluan dalam perihal pelajaran kerana dibimbangi boleh memberi kesan psikologi kepada anak berkenaan.

Titah baginda, perkara itu dibimbangi akan menyebabkan anak itu mengalami tekanan atau kemurungan (depresi) sehingga membawa kepada kejadian lebih buruk.

“Ini kerana anak-anak hanya melalui zaman kanak-kanak sekali dan ada masanya perlu diberikan masa untuk bermain dan menikmati masa gembira dengan pengawasan daripada ibu bapa dan dibantu oleh guru,” titah baginda.

Orientasi Pembelajaran Meliputi Nilai Kemanusiaan

Dalam pada itu, Pakar Psikoterapi dan Kaunseling Access Counselling Services, Dr Meriam Omar Din berkata orientasi pembelajaran perlu diubah demi perkembangan yang seimbang meliputi nilai kemanusiaan, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif serta kemahiran interpersonal bukan hanya penekanan kepada kejayaan akademik semata-mata.

"Penting juga dalam sesebuah keluarga mewujudkan suasana mesra dan kasih sayang antara adik-beradik supaya ia menjadi motivasi anak-anak untuk meningkatkan pencapaian mereka dalam pelajaran kerana didikan awal adalah bermula dari rumah," katanya.

Pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Dr Saedah Siraj berkata kerjasama erat antara ibu bapa dan guru amat penting bagi memastikan keseimbangan kecemerlangan akademik dan sahsiah anak-anak.

"Tidak memaksa anak-anak dalam sebarang situasi terutamanya melibatkan pelajaran bukanlah bererti memberi sepenuh kebebasan kepada mereka sebaliknya mendidik secara berhemah supaya mereka lebih terbuka dan bersedia mengikut arahan ibu bapa dan guru.

"Guru juga perlu memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk memahami sesuatu mata pelajaran mengikut kemampuan mereka dengan bimbingan sewajarnya selain membuat pemantauan perkembangan pelajaran setiap pelajar," katanya.

Elak Kaedah Autoriti Pada Anak-Anak

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata anak-anak harus diberi penjelasan mengenai setiap tindakan yang diambil oleh ibu bapa terhadap mereka.

"Kaedah autoriti atau 'tiger mother' iaitu ibu bapa memberi arahan yang tegas kepada anak mereka supaya mencapai sasaran tertentu yang diinginkan terutama dalam perihal pelajaran adakala membawa keburukan.

"Ibu bapa boleh bertindak tegas untuk mendidik, tetapi perlu mengikut keadaan. Mereka perlu membimbing anak-anak melalui pergaulan yang membina serta memberi keyakinan dan peluang untuk turut terlibat membuat keputusan dalam pelbagai perkara,” katanya.

Aktiviti bersama anggota keluarga seperti makan, beriadah dan melakukan kerja-kerja rumah secara bersama juga mampu mewujudkan suasana mesra dalam keluarga seterusnya memudahkan anak-anak mengikut setiap arahan diberi ibu bapa," katanya.


BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment