Gambar hiasan
PRIHATIN keselamatan kanak-kanak, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil inisiatif menghasilkan video khas yang menekankan kesedaran mengenai sentuhan terhadap golongan itu.
Berjudul ‘My Body Is Mine’, video bergenre animasi berdurasi 1 minit 16 saat itu sesuai bagi tontonan kanak-kanak, sekali gus mendidik dan memberi kesedaran kepada mereka.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, video itu menekankan kesedaran mengenai sentuhan terhadap kanak-kanak yang sangat sesuai untuk tadika, prasekolah, murid darjah satu, dua dan tiga.
“Ini kerana konsep mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat memang diajar dalam kurikulum prasekolah dan tahap satu di sekolah rendah, iaitu darjah satu sampai darjah tiga,” katanya ketika melancarkan video berkenaan di Kidzania di Petaling Jaya, hari ini.
Menurutnya, video berkenaan bertepatan dengan inisiatif KPM yang memperkenalkan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) dalam kurikulum Pendidikan Kesihatan.
Video itu boleh dimuat turun di dua platform iaitu di laman web rasmi KPM, www.moe.gov.my dan TV Pendidikan Malaysia di eduwebtv.moe.edu.my, mulai hari ini.
Sementara itu, Teo diminta mengulas dakwaan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dikatakan tidak dilibatkan dalam keputusan sama ada mahu mengadakan pengajaran tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) atau sebaliknya.
Menurutnya, LPS turut memainkan peranan penting dalam urusan pentadbiran di SJK dan memandang serius sebarang pandangan yang diberikan membabitkan pendidikan.
Namun katanya, kementerian mengutamakan pendapat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid sekolah berkenaan sebelum memutuskan sebarang keputusan berkenaan perkara itu.
“Kita akan biarkan PIBG buat keputusan kerana ia berkenaan pembelajaran anak-anak.
“Ibu bapa adalah penjaga kanak-kanak, jadi anda perlu dapatkan persetujuan mereka untuk berbuat apa-apa,” katanya.
HARIAN METRO ONLINE
No comments:
Post a Comment