Gambar hiasan
PUTRAJAYA, 27 Dis (Bernama) -- Program
Sarapan Pagi (PSP) fasa pertama akan mula dilaksanakan pada 20 Jan 2020 di 100
sekolah rendah di seluruh negara, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurut KPM ia melibatkan seramai 37,000
murid dan 1,600 guru yang bertugas setiap hari dengan kos pelaksanaan
dianggarkan RM22 juta.
"Waktu pelaksanaan PSP adalah antara
pukul 7 hingga 8.30 pagi bagi persekolahan sesi pagi dan 1 hingga 4 petang bagi
persekolahan sesi petang mengikut ketetapan pengurusan sekolah," katanya
dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut KPM, pelaksanaan PSP fasa pertama
akan menggunakan menu berkonsepkan Grab ‘n’ Go yang terdiri minuman produk
tenusu atau minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek
bijirin, kuih, sandwich, buah-buahan atau telur rebus.
Pemilihan sekolah bagi fasa pertama dibuat
berdasarkan kepada sekolah yang mempunyai peratus murid golongan B40 yang
tertinggi dan turut mengambil kira semua jenis sekolah iaitu sekolah
kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.
KPM berkata pemilihan sekolah juga
berdasarkan jumlah bilangan sekolah yang melaksanakan Rancangan Makanan
Tambahan (RMT) dalam setiap negeri yang meliputi semua lokasi iaitu bandar,
luar bandar dan pedalaman.
"Pelaksanaan ini juga turut mengambil
kira pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang memperuntukkan seorang pegawai
sains pemakanan bagi setiap daerah untuk memberi khidmat nasihat kepada sekolah
berkaitan menu PSP.
"Bagaimanapun, kebenaran daripada ibu
bapa diperlukan bagi mendapatkan persetujuan dan maklumat penting kesihatan
murid seperti alahan kepada makanan tertentu supaya menu alternatif dapat
disediakan," katanya.
KPM juga merancang supaya program itu
diperluaskan kepada semua 7,776 sekolah rendah dan dapat memberi manfaat kepada
kira-kira 2.7 juta murid di seluruh negara.
Bagaimanapun, katanya ia bergantung kepada
peruntukan yang diterima dan kesediaan pihak kantin dan sekolah.
Menurut KPM, pemantauan secara berterusan
akan dilaksanakan dengan kerjasama KKM supaya makanan yang dibekalkan adalah
berkualiti bagi mencapai impak yang disasarkan.
"Kajian keberkesanan program akan
dilaksanakan dan akan dibentangkan untuk tujuan penambahbaikan program dari
semasa ke semasa," katanya.
KPM berkata PSP di sekolah rendah merupakan
inisiatif terbaru untuk menyediakan makanan yang berkhasiat mengikut nilai
kalori dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan
pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran
mereka.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment