Tuesday 17 December 2019

PROJEK NAIKTARAF EMPAT SEKOLAH DAIF DI SARAWAK MENDAHULUI JADUAL


KUCHING: Projek menaiktaraf, termasuk pembinaan semula empat sekolah daif di Sarawak berjalan lancar, malah mendahului jadual kerja ditetapkan.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata selain Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, tiga lagi sekolah berkenaan ialah SK Ulu Entabai, SK Nanga Antaroh dan SK Ulu Yong yang sebahagian besarnya terletak di kawasan pedalaman serta luar bandar negeri ini.
“SK Bandar Bintangor kini mencapai 33 peratus siap berbanding 17 peratus mengikut jadual asal. SK Ulu Entabai pula memasuki fasa kerja 18 peratus siap,” katanya melalui entri terbaru akaun Facebook miliknya hari ini.
Bagi SK Nanga Antaroh di Kapit, beliau menjelaskan walaupun pembinaannya baharu bermula, kemajuannya lebih cepat dua peratus berbanding jadual asal.
“Di SK Ulu Yong pula, juga di Kapit, projek itu masih berada dalam fasa awal, namun cepat satu peratus daripada fasa kemajuan yang sepatutnya,” katanya.
Maszlee berkata, perkembangan positif itu jelas memperlihatkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Pendidikan dalam mengutamakan keperluan rakyat, terutama membabitkan penyediaan fasiliti pendidikan.
“Kita sentiasa memantau kemajuan setiap projek dilaksanakan, termasuk mengemas kini maklumat berkaitan dan berkongsinya dengan seluruh rakyat.
“Kesemua projek itu adalah baki 10 peratus daripada jumlah keseluruhan projek sekolah daif di Sarawak,” katanya.
Kementerian Pendidikan sebelum ini memberikan keutamaan kepada usaha membaikpulih dan menaiktaraf sekolah daif di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak, dengan inisiatif itu dilaksanakan secara konsisten.
Malah, kementerian berkenaan mensasarkan sifar sekolah daif supaya semua guru dan murid memperoleh akses kepada bukan sekadar pendidikan berkualiti tetapi infrastruktur sekolah yang menampung pembelajaran yang kondusif.
Keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah daif yang diisytiharkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan menekankan aspek pemantauan di dalam kementerian bagi keberhasilan sesuatu pelaksanaan projek.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan sebanyak RM783 juta untuk baik pulih sekolah daif di seluruh negara melalui Belanjawan 2020 untuk menyelesaikan masalah sekolah daif.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment