Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan sudah melakukan 53 perubahan penting dilaksanakan sepanjang tahun ini dengan memberi tumpuan terhadap lima fokus utama yang membawa perubahan besar dalam sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata perubahan itu selaras visi kementerian ke arah mencapai matlamat ‘pendidikan untuk semua’.
Katanya, tahun ini adalah permulaan kepada semua perubahan, selain menyasarkan penetapan asas yang kukuh bagi memastikan sistem pendidikan tanah air yang inklusif dan berkualiti tinggi.
“Saya akur di luar sana masih banyak tuntutan dan harapan pelbagai pihak terutama daripada pemegang taruh berkaitan bidang pendidikan.
“Namun, kita perlu akui setiap perubahan perlu dilakukan mengikut strategi, berperingkat dan bertahap. Masih banyak yang perlu kita lakukan dan ini hanya permulaan,” katanya pada sesi taklimat pencapaian Kementerian Pendidikan Tahun 2019, di sini, hari ini.
Maszlee berkata, fokus kementerian termasuk mengembalikan cinta dalam pendidikan yang memberi tumpuan kepada empat kelompok teras dalam sistem membabitkan orang kurang upaya (OKU) yang juga Murid Berkeperluan Khas (MBK), kumpulan B40, murid dan guru.
Katanya, secara purata sekurang-kurangnya dua kelas untuk pelajar OKU ditambah setiap hari di seluruh negara, menjadikan keseluruhannya kini sebanyak 10,200 kelas, meningkat 526 kelas berbanding 9,674 kelas pada tahun lalu.
“Bilangan murid OKU mendaftar masuk sekolah juga meningkat sangat mendadak dengan pertambahan 4,821 MBK berbanding 2018, menjadikan jumlah keseluruhan 88,419 orang,” katanya.
Kualiti pengajaran dan pembelajaran turut menjadi fokus kementerian yang membabitkan lima teras perubahan sudah berjaya disempurnakan termasuk reformasi sistem, reformasi digital, peningkatan pencapaian, sekolah daif dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Katanya, selepas penggabungan Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi, antara aspirasi terpenting sedang diusahakan kementerian adalah melihat kesinambungan rapi antara kedua sektor terbabit dengan memberi fokus kepada autonomi dan akauntabiliti.
Fokus mengembalikan universiti kepada tujuan hakikinya dalam menyelesaikan masalah masyarakat menjadi tumpuan bagi sektor pengajian tinggi menerusi peruntukan khas sebanyak RM455 juta dalam bentuk Geran Penyelidikan.
Kementerian turut memberi tumpuan terhadap usaha ke arah menjadikan Malaysia Negara Membaca menjelang 2030 dengan memberi fokus kepada aspirasi berkenaan.
“Bagi tahun ini saja, kita memulakan insentif RM5,000 secara bulanan kepada semua Sasterawan Negara yang masih hidup bagi menghargai sumbangan mereka, selain 3,703 program berkaitan kegiatan membaca di seluruh negara dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerajunya,” katanya.
Selain itu, kementerian turut memberi fokus kepada manifesto, terutama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan memberi inisiatif kepada peminjam cemerlang dalam kalangan B40 dan M40 sama ada melupus pinjaman atau memberi diskaun bagi pembayaran balik.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment