Wednesday, 4 December 2019

GURU ROBOTIK TERIMA ANUGERAH MENTOR DI CHINA


GURU Pendidikan Agama Sekolah Kebangsaan Seri Terentang, Mazlan Muhamad Yusof meraih Anugerah Mentor di World Championship MakeX Robotics Competition 2019 di Guangzhou, China baru-baru ini.
PEKAN: Anugerah Mentor yang dimenangi pada World Championship MakeX Robotics Competition 2019 di Guangzhou, China, minggu lalu adalah pengiktirafan tertinggi yang membanggakan bagi seorang guru.
Tanpa pendedahan khusus dalam bidang robotik tidak menjadi penghalang kepada Mazlan Muhamad Yusof, 38, untuk meneroka bidang yang masih dianggap baharu di negara ini.
Mazlan berkata, selepas hanya dua tahun terbabit dalam bidang robotik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dia tidak menyangka berpeluang menerima anugerah mentor di peringkat dunia.
“Saya menganggap terlalu awal untuk menerima anugerah berkenaan yang hanya layak diterima individu berpengalaman luas dalam bidang robotik selain mencipta banyak kejayaan di pentas antarabangsa.
“Bagaimanapun itu mungkin rezeki saya tahun ini, dengan menyediakan biodata peribadi dan video pendek selama dua minit mengenai usaha saya mengajar murid sekolah luar bandar menghasilkan robot sehingga kejayaan dapat diraih.
“Penganjur mungkin melihat kesungguhan dan minat saya dalam bidang robotik walaupun tanpa pendidikan khas dalam bidang berkenaan,” katanya, di sini hari ini.
Mazlan berkata, lebih 300 pasukan membabitkan 60 negara bersaing pada World Championship MakeX Robotics Competition namun empat guru pembimbing saja layak bersaing di peringkat akhir untuk merebut anugerah mentor bagi meraih hadiah wang tunai disediakan penganjur.
Beliau yang juga guru pendidikan agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Terentang, di sini berkata, mula terbabit dalam bidang robotik dua tahun lalu hanya sebagai hobi selepas melihat beberapa rakan berjaya menghasilkan robot untuk mengisi masa lapang.
Katanya, bermula dari situ dia nekad mencuba dengan membeli dua set robotik berharga RM7,000 buatan China untuk kegunaan peribadi, selain tunjuk ajar rakan dia juga banyak mendapat panduan melalui internet.
Mazlan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda bahasa Arab dan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat, berkata anugerah mentor yang dimenangi menjadi pembakar semangat untuk dia terus memajukan lagi bidang robotik di peringkat sekolah.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment