Monday 16 December 2019

IBU BAPA, GURU PERLU TINGKATKAN PERANAN PUPUK BUDAYA MEMBACA



KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Ibu bapa dan guru disaran meningkatkan peranan mereka dalam usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata budaya membaca kalangan golongan muda, termasuk kanak-kanak, dapat dipupuk melalui pendedahan bahan bacaan yang relevan dan ilmiah kepada mereka.

"Guru-guru di sekolah pula boleh memainkan peranan dengan mengingatkan para pelajar supaya kerap membaca buku, majalah atau surat khabar…dengan membaca akhbar ia dapat meningkatkan penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar.

"Sekarang memang semua benda dalam talian tetapi berita yang terkandung dalam akhbar adalah sahih, berbanding di media sosial ada yang tidak betul dan berita sensasi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata demikian bagi mengulas saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menasihati rakyat Malaysia supaya membaca akhbar setiap hari bagi memelihara minda agar sentiasa aktif.

Dalam ruangan Perdana Menteri yang disiarkan oleh akhbar New Sunday Times semalam bertajuk Here's my recipe for staying healthy (Ini resipi saya kekal sihat), Tun Dr Mahathir menyebut bahawa apabila bercakap atau memberi ucapan, memori kata-kata, frasa dan pilihan perkataan akan mudah keluar dari minda hasil daripada kerap membaca.

Sekiranya seseorang itu tidak membaca atau kurang membaca, perkataan tidak akan mampu keluar secara spontan apabila bercakap atau memberi ucapan, kata Dr Mahathir.

Lee yang juga Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan berkata beliau berharap nasihat Dr Mahathir itu dapat diterima dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian masyarakat kini.

Menyentuh mengenai kemerosotan yang dialami syarikat-syarikat akhbar kini, beliau mencadangkan Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan Negara dan agensi kerajaan yang berkaitan tampil ke hadapan menyokong akhbar tempatan dengan mempromosikannya.

"Ia sebagai survival akhbar dan wartawan, akhbar masih relevan untuk dibeli dan dibaca oleh masyarakat umum," jelasnya.



BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment