Wednesday, 5 February 2020

TOLAK PPSMI JIKA KPM TIDAK SEDIA

Presiden KONGRES, Anuar Hussien.
JERANTUT: Kongres Guru Dalam Perkhidmatan Malaysia (KONGRES) meminta pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) 2.0 tidak dilaksanakan jika Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak bersedia sepenuhnya.
Presidennya, Anuar Hussien, berkata melaksanakan PPSMI dalam keadaan terburu-buru akan hanya meruntuhkan keseluruhan sistem pendidikan.
Katanya, KPM perlu menyediakan tenaga pengajar yang secukupnya serta mahir untuk subjek berkaitan terlebih dahulu selain dalam masa sama, perlu meneliti kesediaan guru sedia ada serta buku teks yang sesuai.
“Tempoh persediaan itu mengambil masa kerana setiap sudut perlu diperhalusi, jika tidak ia hanya akan menimbulkan masalah kemudian hari seperti beberapa program yang dilaksanakan KPM sebelum ini.
“Jangan jadikan guru dan murid bahan uji kaji, dan kekerapan perubahan yang berlaku secara mendadak akan memberi kesan jangka panjang yang negatif.
“Kita bimbang sekiranya berlaku kegagalan pelaksanaan itu nanti, guru dijadikan kambing hitam dan dipersalahkan,” katanya.
Anuar berkata, bukan semua guru bahasa Inggeris boleh mengajar sains dan matematik begitu juga sebaliknya malah ketika ini berlaku guru mengajar subjek yang bukan kemahiran mereka.
Beliau yang juga Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), berkata perlaksanaan PPSMI sebelum ini gagal berdasarkan kaji selidik yang dilakukan.
“Kajian itu mendedahkan kegagalan PPSMI berikutan ketidakupayaan pelajar menguasai bahasa Inggeris dan bukan disebabkan mereka tidak tahu subjek matematik dan sains.
“Kesilapan ini tidak harus diulang dan sewajarnya baiki kurikulum subjek bahasa Inggeris bukan menyentuh sains dan matematik,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

Monday, 3 February 2020

KEMASUKAN KE INSTITUT PENDIDIKAN GURU 2020

Maklumat lanjut mengenai Syarat Umum, Syarat Akademik dan Syarat Bidang Pengkhususan boleh di dapati di http://bit.ly/pismpIPG atau http://bit.ly/pismp2020


Sumber : Facebook rasmi Institut Pendidikan Guru KPM
KEMASUKAN KE INSTITUT PENDIDIKAN GURU 2020

ULANGI KESILAPAN JIKA KEMBALI AJAR SAINS DAN MATEMATIK GUNA BAHASA INGGERIS

Gambar fail, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A Aziz Deraman .
KOTA BHARU: Kerajaan bakal mengulangi kesilapan lama, seandainya pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam kalangan murid dan pelajar di negara ini, kembali dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris.
Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A Aziz Deraman, berkata pelaksanaan kali pertama dahulu sudah membuktikan kesan negatif dengan kemerosotan pencapaian pelajar bagi menguasai kedua subjek penting itu.
Beliau berkata, Bahasa Melayu yang sekian lama digunakan sudah lengkap bagi tujuan penyampaian ilmu di semua peringkat dengan istilah serta padanan yang mencukupi.
“Tahap penguasaan Bahasa Melayu pun masih rendah dalam kalangan sebahagian pelajar terutama di luar bandar, apatah lagi tahap pencapaian Bahasa Inggeris mereka.
“Ilmu sepatutnya disampaikan dalam bahasa kebangsaan tetapi tentulah dengan tidak menolak kepentingan bahasa komunikasi antarabangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
A Aziz berkata, kerajaan perlu mengambil kira pandangan pakar pendidikan, sarjana, ilmuwan dan bahasawan apabila mahu membuat keputusan penting itu dalam bidang pendidikan.
Katanya, pemikiran kolektif perlu ada dan perlu mengelak keputusan yang semata-mata mahukan penguasaan bahasa Inggeris yang tidak didasarkan kepada aspek pedagogi atau sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang betul.
“Para ilmuwan dan pakar pendidikan digesa untuk memandu kerajaan dalam membina sistem dan dasar pendidikan yang komprehensif dan menuju kemajuan masa hadapan yang lebih cemerlang.
“Dalam senario masa kini, kita lebih perlu melihat semula seluruh kurikulum pendidikan kebangsaan demi mencapai matlamat perpaduan bangsa Malaysia yang kian retak dan jati diri negara yang semakin luntur,” katanya.
Mengulas lanjut, A Aziz berkata, strategi, kaedah serta pendekatan yang betul dan benar mesti dicari dengan merujuk kepada pelbagai pengalaman dalam pembangunan negara dan pembinaan bangsa bersandarkan pengalaman pelbagai negara maju yang lain.
Bagaimanapun katanya, hal itu tidak bermakna rakyat Malaysia tidak perlu mempelajari atau menguasai beberapa bahasa utama dunia misalnya bahasa Inggeris, malah bahasa lain juga memang penting dikuasai sebagai wahana komunikasi.
“Penarikan balik dasar sebelum ini oleh kerajaan sendiri sudah cukup memberikan pedoman yang berfaedah dan kita tidak mahu pisang berbuah dua kali,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 2 February 2020

PPSMI BELUM MUKTAMAD, MASIH DALAM PERBINCANGAN AWAL - TPM

KLANG: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah untuk melaksanakan penggunaan bahasa Inggeris bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah belum lagi dimuktamadkan.
“Perbincangan untuk pelaksanaan semula Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) masih di peringkat awal. Belum ada keputusan,” kata Timbalan Perdana Menteri selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Persatuan Hokkien Klang di sini, hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri yang juga pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah bagi menggalakkan penggunaan bahasa antarabangsa itu.
Pengumuman itu dibuat menerusi sebuah rakaman video ringkas mesyuarat dengan pengurusan Kementerian Pendidikan sebelum dimuat naik dalam Twitter@chedetoffocial, kelmarin.

Dr Wan Azizah (empat, kiri) mencanting lukisan pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Persatuan Hokkien Klang 2020 di Dewan Persatuan Hokkien Klang, hari ini. Turut hadir Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia, Tan Sri Lim Hock San (lima, kanan) dan Presiden Persatuan Hokkien Klang, Soo Hak Min (tiga, kiri)

KEMENTERIAN PELAJARAN ADAKAN PERBINCANGAN LANJUT ISU PELAKSANAAN SEMULA PPSMI

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat diiringi Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (kiri) menerima majalah sekolah ' The Kijang SIC 1975 ' yang menunjukkan gambar beliau semasa di Tingkatan Lima sekolah tersebut daripada Pengetua Maktab Sultan Ismail (SIC), Rosdi Mat selepas melancarkan 'Dari Bilik Bicara Ke Bilik Darjah (MYC2C)' di Maktab Sultan Ismail (SIC), Kota Bharu
KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung pelaksanaan semula Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata setakat ini pihaknya belum berkesempatan lagi untuk berbincang secara terperinci mengenai cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri yang juga Pemangku Menteri Pelajaran.
“Ketika mesyuarat bersama (pentadbiran) yang diadakan di kementerian bersama Dr Mahathir, beliau ada berkongsi pandangan dan visi untuk menggunakan Bahasa Inggeris bagi mata pelajaran matematik dan sains.
“Kami tidak ada peluang lagi untuk berbincang secara terperinci mengenai pelaksanaannya,” katanya ketika sidang media di Maktab Sultan Ismail, di sini hari ini.
Beliau ditemui di sini selepas menghadiri majlis pelancaran Program ‘Dari Bilik Bicara ke Bilik Darjah (MYC2C) yang dirasmikan oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.
Beliau diminta mengulas mengenai pengumuman dibuat Perdana Menteri bahawa bahasa Inggeris akan digunakan semula dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah bagi menggalakkan penggunaan bahasa antarabangsa itu.
Pengumuman itu dibuat menerusi sebuah rakaman video ringkas mesyuarat sebelum dimuat naik dalam Twitter @chedetoffocial, kelmarin.
Nie Ching berkata, ketika ini penggunaan bahasa Inggeris untuk matematik dan sains hanya bagi Program Dwibahasa (DLP) dan ketika ini ia digunakan oleh 2,000 sekolah di seluruh negara.
“Kita akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai (cadangan) pelaksanaan PPSMI bersama Tun bila beliau ada masa nanti,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 1 February 2020

LAKSANAKAN 'PPSMI 2.0' SECARA HATI-HATI, TANGANI KELEMAHAN DASAR LAMA


KUALA LUMPUR: Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu dilaksanakan selaras dengan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar namun ia harus dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan kegagalan dasar seumpama pada 2003.
Pengerusi Keilmuan Nasional, Zambri Mohd Isa, berkata pelaksanaan PPSMI kali kedua atau PPSMI 2.0 ini perlu ditambah baik, sekali gus tidak boleh mengulangi kesilapan dasar seumpama itu dengan meneliti semula faktor kegagalannya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak Kementerian Pendidikan perlu mengumpul semula maklumat berdasarkan kajian daripada pelaksanaan PPSMI terdahulu dan selesaikan masalah utama yang menyebabkan kegagalannya sama ada ia berpunca daripada kekurangan guru, alat bantu mengajar atau aspek kurikulumnya.
“Apabila mendengar kenyataan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri) untuk kembalikan semula PPSMI ia tidak mengejutkan kerana kita tahu dari dulu lagi bahawa Dr Mahathir memperjuangkannya.
“Di zaman ini, kita melihat ada banyaknya PPSMI diperkenalkan semula namun ia harus dikaji dan dibuat secara berhati-hati selain tidak terburu-buru dan yang paling penting tidak ulang kesilapan dulu kerana kita tidak mahu kegagalan PPSMI 1.0 berulang kembali, ” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.
Semalam, Dr Mahathir yang juga pemangku Menteri Pendidikan mengumumkan bahawa bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah bagi menggalakkan penggunaan bahasa antarabangsa itu.
Pada masa sama, Zambri berkata, PPSMI perlu dilaksanakan dengan matlamat untuk merealisasikan pendemokrasian pendidikan di mana pelajar di luar bandar turut mendapat ilmu dan pemahaman yang sama seperti golongan itu di kawasan bandar.
Beliau berkata, pengenalan terhadap PPSMI juga perlu dilakukan seawal di peringkat pra-sekolah supaya pelajar boleh memupuk minat di peringkat awal lagi, sekali gus tidak terkejut dengan perubahan drastik ‘peralihan’ bahasa.
“Di peringkat pra sekolah lagi perlu terapkan PPSMI...kita harus akur bahawa zaman ini kemahiran bahasa Inggeris sangat penting untuk menguasai ilmu. Malah jika kita lihat di China sendiripun, banyak anak kecil sudah diajar dengan bahasa ini, begitu juga di negara di rantau Asean, ” katanya.
Sementara itu, seorang guru yang enggan dikenali berkata, beliau menyokong pelaksanaan semula PPSMI kerana ia baik untuk pelajar itu dalam memenuhi cabaran pada masa depan.
“Secara peribadi, dari dulu saya menyokong PPSMI kerana banyak kesan positif untuk jangka panjang, ” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

LEBIH BERKESAN GUNA BAHASA KEBANGSAAN - iGURU

iGuru berkata, pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik melalui bahasa kebangsaan terbukti lebih berkesan berbanding penggunaan bahasa Inggeris.
KUALA LUMPUR: Hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memperkenalkan semula bahasa Inggeris dalam pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dikhuatiri menyebabkan murid terutama luar bandar kurang berminat dengan dua mata pelajaran terbabit.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee bin Hasan, berkata pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik melalui bahasa kebangsaan terbukti lebih berkesan berbanding penggunaan bahasa Inggeris.
“iGuru menyokong usaha mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah sebagai persediaan menghadapi dunia pasaran kerjaya tetapi menyangkal faktor pengangguran disebabkan ketidakupayaan penguasaan bahasa berkenaan.
“Langkah Kementerian Pendidikan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003-2012 merosakkan masa depan hampir 3 juta murid terutama anak Melayu luar bandar dan usaha meramaikan nisbah penguasaan bidang sains dan matematik tidak mencapai nisbah 60:40,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Azizee berkata, kegagalan PPSMI terbukti dalam ujian antarabangsa iaitu Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) apabila menjunam hampir 100 mata di bawah purata dunia pada 2007 dan 2011.
Bagi Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), katanya, pencapaian Malaysia turut merosot.
“IGuru menggesa Perdana Menteri mengambil kira kegagalan PPSMI dan mencari langkah terbaik untuk memastikan murid menguasai bahasa Inggeris dengan pendekatan yang lebih berkesan dan produktif.
“Menjadikan sains dan matematik sebagai sasaran bukan jalan penyelesaian terbaik tetapi menyiapkan murid yang mempunyai kompetensi penguasaan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris adalah jalan membina laluan kerjaya masa depan selaras dengan apa yang termaktub di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE