Tuesday 1 October 2019

GURU 'DIPAKSA RELA' JADI WARDEN ASRAMA

PRESIDEN Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang.

KUALA LUMPUR: Masih terdapat guru ‘dipaksa rela’ menjadi warden sekolah berasrama penuh (SBP) oleh pengetua hingga membebankan tugas hakiki mengajar.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata tindakan itu akan menambah skop kerja dan juga menjadikan tanggungjawab seorang pendidik itu tidak berkesan.
“Saya percaya tiada guru yang sukarela untuk menjadi warden. Mereka ini ‘dipaksa’ untuk menjadi warden, hanya sesetengah sekolah membuat sistem penggiliran, memandangkan ramai guru menolak untuk menjadi warden. Maksudnya pada tahun ini guru ini, tahun berikutnya diganti dengan guru lain.
“Berdasarkan situasi ini, saya sarankan kepada kerajaan sekali lagi agar diwujudkan warden bukan dalam kalangan guru. Kita pernah mencadangkan agar diwujudkan warden sepenuh masa, tetapi cadangan itu ditolak oleh Kementerian Pendidikan,” katanya di sini hari ini.
Aminuddin berkata, warden memainkan peranan penting di SBP kerana guru yang diamanahkan sebagai warden mempunyai dua tugas yang perlu dilakukan sepanjang hari sehingga waktu malam dan tetap bertugas pada hari minggu.
Beliau berkata, ini jelas menunjukkan warden sangat terbeban dan risiko yang ditanggung itu membuktikan bidang tugas mereka lebih mencabar dan ditambah dengan tanggungjawab hakiki di sekolah menyebabkan mereka tidak mampu menumpukan perhatian kepada tugas sebagai warden.
“Dalam hal ini, bagi memastikan mereka ini dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan, kita amat mengharapkan agar kajian dibuat secara khusus oleh Kementerian Pendidikan bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim, berkata masalah buli masih berleluasa di sekolah, terutamanya di SBP.
Katanya, pentadbir sekolah masih tidak dapat mengawalnya dengan baik dan pihak SBP disarankan mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) masing-masing agar isu buli dalam kalangan pelajar dapat dibendung.
“Kes buli perlu diambil serius. Ia bukan perkara remeh kerana perkara itu boleh memalukan pihak sekolah. Perkara ini tidak patut bertolak ansur atau ambil mudah,” katanya.
Media tempatan sebelum ini melaporkan keputusan penghakiman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang memutuskan tuntutan RM616,634.20 kepada seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) yang menjadi mangsa buli, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz memerintahkan lima pembuli yang juga bekas pelajar sekolah itu selaku defendan pertama hingga lima yang kini berusia 21 tahun, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sulaiman Ngarif (defendan keenam); bekas Pengetua SESMA, Meriam Jusoh (defendan ketujuh); Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan (defendan kelapan) dan Kerajaan Malaysia (defendan kesembilan) membayar tuntutan itu.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment