Friday 11 October 2019

PENDIDIKAN TERIMA PERUNTUKAN TERTINGGI


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan terus menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2020 membabitkan RM64.1 bilion, peningkatan sebanyak RM3.9 bilion berbanding RM60.2 bilion pada belanjawan tahun ini.
Peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk melabur dalam bidang pendidikan demi masa depan anak bangsa Malaysia.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM735 juta diperuntukkan untuk tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah di seluruh negara bagi memastikan sekolah sedia ada dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar.
Sekolah Kebangsaan (SK) menerima peruntukan RM300 juta manakala RM50 juta masing-masing untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Tahfiz.
Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Persendirian dan Sekolah Pondok berdaftar pula masing-masing menerima RM25 juta manakala Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) membabitkan dana RM20 juta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) RM15 juta.
Kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada usaha membaik pulih sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM783 juta pada tahun depan, terutamanya di Sabah dan Sarawak, selain membina beberapa sekolah baharu di Langkawi, Kulai, Hulu Langat, Putrajaya, Pasir Gudang, Tumpat, Marang dan Johor Bahru.
Bagi sekolah kebangsaan, peruntukan sebanyak RM23 juta turut disediakan untuk memastikan sekolah mempunyai kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU), selaras dengan dasar penolakan sifar yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan di mana tiada kanak-kanak OKU dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka.
Kerajaan terus memberikan fokus utama kepada dasar pembangunan modal insan dengan mengarus perdana Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan meningkatkan peruntukan daripada RM5.7 bilion pada tahun ini kepada RM5.9 bilion pada tahun depan.
Bagi menggalakkan pembelajaran dewasa, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperluaskan skop pengeluaran bagi tujuan membiayai pendidikan pada peringkat sijil khususnya bagi program yang diakreditasikan selari dengan aspirasi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) negara.
Kerajaan juga akan menyediakan geran peruntukan sebanyak RM20 juta yang akan dipadankan dengan peruntukan geran padanan di mana RM20 juta akan disediakan oleh Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) untuk menggalakkan golongan dewasa yang bekerja menduduki peperiksaan pensijilan profesional dalam bidang kursus berkaitan Industri 4.0.
Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion untuk institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan RM2 bilion bagi membiayai pinjaman yang bakal memanfaatkan 50,000 pelajar serta memperuntukkan RM192 juta untuk program pensijilan profesional di bawah Yayasan Peneraju.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment