Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, pihak-pihak yang tiada kaitan juga tidak perlu cepat melatah atau mengeluarkan kenyataan menghentam tanpa mengetahui kedudukan sebenar.
Ujar beliau yang juga Naib Pengerusi DAP negeri, keadaan itu sebaliknya boleh menjejaskan keharmonian dalam keadaan iklim politik negara yang beteraskan semangat perpaduan masyarakat majmuk.
“Secara peribadi saya tidak mellihat ia sebagai tidak menghormati bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan, cuma janganlah pula kita cepat melatah atau melemparkan pelbagai tuduhan.
“Walaupun memanglah menjadi kecenderungan ahli politik mencari isu-isu sedemikian, tetapi janganlah keterlaluan kerana perlu juga mengambil kira terutama dalam keadaan politik sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas hadir pada Majlis Apresiasi Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Lahat 2019 di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.
Majlis yang turut dihadiri pengetuanya, Salleh Yusuff bertujuan meraikan seramai 78 calon Sijil Pelajaran Malaysia sekolah itu sebagai suntikan motivasi menjelang peperiksaan.
Kelmarin, Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan amaran terhadap sebuah sekolah di sini yang didapati menggunakan bahasa Cina sepenuhnya ketika kursus Pendidikan Seni Visual (PSV) telah diberikan peringatan tegas kerana melanggar Peraturan-Peraturan Pendidikan.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata, pihaknya mengambil maklum isu yang tular di media sosial itu dan sedang mempertimbang mengambil tindakan tatatertib jika perlu.
Katanya, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 telah menetapkan mata pelajaran Pendidikan Seni adalah dalam bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu bagi mematuhi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Ketika ditanya mengenai isu kain rentang bagi program sebuah sekolah di Ayer Tawar, Manjung yang tidak menggunakan bahasa Melayu, kata Aziz, teguran juga sepatutnya dibuat kepada pihak pengurusan sekolah dan tidak perlu dikaitkan dengan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming.
Katanya, Kor Ming yang juga Timbalan Yang DiPertuan Dewan Rakyat hanya memuat naik gambar tersebut pada laman Twitter beliau kerana hadir ke majlis berkenaan sebagai tetamu dan almumni.
“Isu ini juga sengaja dibesar-besarkan sedangkan Kor Ming sendiri merupakan seorang ahli politik yang sangat fasih berbahasa Melayu di dalam Dewan,” ujarnya.
UTUSAN MALAYSIA ONLINE