KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Bekas
menteri perdagangan antarabangsa dan industri Tan Sri Rafidah Aziz berkata
sistem pendidikan di negara ini mestilah seiring dengan Revolusi Industri 4.0
(IR 4.0), ketika Malaysia sedang menuju ke arah era itu.
Beliau berkata negara tidak boleh memiliki
sistem pendidikan yang terlalu 'mundur'.
"Apabila kita bercakap mengenai IR4.0,
kita tidak boleh mempunyai sistem pendidikan yang masih di era 2.0, jadi jika
ia 4.0, maka (pendidikan) harus seiring dengan 4.0 Ini yangh menjadi
keprihatinan kita sekarang.
"Saya tidak bimbang mengenai anak-anak
saya, saya lebih bimbang terhadap cucu-cucu saya, tetapi masalahnya adalah
kebimbangan ini seharusnya menjadi kebimbangan nasional dan bukan hanya
kebimbangan di kalangan ibu bapa," katanya semasa berbicara pada siri
perbincangan Help University mengenai isu-isu nasional - masa depan Malaysia -
program di sini, hari ini.
Rafidah berkata bahawa IR4.0 adalah
penerapan teknologi maklumat dan komunikasi kepada industri apabila internet of
things (IoT) menjadi pemacu utama.
Dalam pada itu, Rafidah menyeru agar rakyat
Malaysia memberi tumpuan lebih kepada martabat negara berdasarkan kecekapan
anak-anak tanpa mengira bangsa kerana setiap kanak-kanak mempunyai keperluan
yang sama untuk mengurangkan keperluan IR 4.0.
"Apabila mereka memasuki sektor swasta
misalnya, atau apabila mereka berada dalam perkhidmatan awam, jika perkhidmatan
awam tidak dapat memenuhi permintaan 4.0, bagaimana kita hendak bercakap dengan
mereka menggunakan komputer ... aplikasi industri 4.0 tetapi perkhidmatan awam
masih 2.0, " kata beliau.
Sementara itu, Naib Canselor dan Presiden
HELP University, Datuk Profesor Dr Paul Chan berkata HELP University mahu
memainkan peranan yang bermakna dan menyumbang idea yang membina untuk membantu
kerajaan dan negara.
"Kami mahu mempromosikan perkongsian
dan wacana jenis ini kerana ia adalah platform yang efektif untuk pelajar
universiti dan orang ramai, kerana mereka mewakili kuasa yang akan membentuk
negara kita dan mentransformasi ekonomi," katanya.
Siri perbincangan itu adalah sebahagian
daripada rancangan Help University untuk mewujudkan satu platform untuk
penceramah, pensyarah, pelajar dan juga orang awam untuk berkongsi kebimbangan,
idea dan visi mereka untuk Malaysia yang lebih baik.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment