Tuesday 8 October 2019

PENTING ADAKAN PROMOSI KESIHATAN DI INSTITUSI PENDIDIKAN


Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (kanan) bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (kiri) pada forum yang diadakan sempena Simposium ‘Health Promotion in Learning Institution’ (HePiLI) Peringkat Kebangsaan 2019 hari ini.
KUALA LUMPUR: Peningkatan kes merokok, penyalahgunaan dadah dan masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar, mencabar sistem kesihatan serta pendidikan negara, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.
Beliau berkata, dua tinjauan, iaitu Global School Based Student Health Survey 2012 dan Adolescent Health Survey 2017, mendapati prevalen perokok semasa dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun, meningkat daripada 11.5 kepada 13.8 peratus.
“Prevalen remaja yang pernah berniat membunuh diri juga meningkat daripada 7.9 kepada 10 peratus, manakala prevalen pengambilan dadah semasa meningkat daripada 1.5 kepada 3.4 peratus, selain masalah obesiti dan penggunaan vape.
“Disebabkan angka ini, adalah penting untuk mengadakan promosi kesihatan di institusi pendidikan kerana pelajar ialah ‘capture audience’ yang terbaik dalam menyampaikan maklumat kesihatan, iaitu mereka menerima maklumat dan disampaikan kepada rakan sebaya serta ibu bapa,” katanya pada satu sesi forum antara kementeriannya dengan Kementerian Pendidikan (KPM), di sini, hari ini.
Contohnya, beliau berkata, Program Tunas Doktor Muda bagi 2018 mencapai 85 peratus pelaksanaan dan ia bukti keberhasilan aktiviti pendidikan serta promosi kesihatan dalam kalangan kanak-kanak prasekolah.
Forum itu diadakan sempena Simposium ‘Health Promotion in Learning Institution’ (HePiLI) Peringkat Kebangsaan 2019 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, bertemakan ‘Memperkukuh Komuniti Institusi Pendidikan Ke Arah Cara Hidup Sihat’ dan dihadiri lebih 500 peserta membabitkan guru serta ahli kesihatan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, pada forum sama pula berkata kementeriannya turut menitikberatkan aspek kesihatan mental dalam kalangan pelajar dan sedang berusaha meningkatkan nisbah seorang guru kaunseling bagi 250 pelajar sekolah rendah dan menengah.
Beliau berkata, KPM juga sudah memulakan projek rintis Program Ekspresi Anak Remaja Lestari (PEARL) untuk membantu pelajar berisiko tinggi dalam masalah kesihatan mental.
“Kita berharap dengan (kejayaan) projek rintis ini, ia akan diperluas ke semua sekolah supaya kita boleh bekerjasama dengan kepakaran sedia ada untuk membantu golongan yang memerlukan perhatian lebih,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Lee berkata, kementerian masih mengkaji pengawalseliaan isu penggunaan rokok elektronik atau vape menerusi jawatankuasa khusus yang ditubuhkan pada Jun lalu.
Ketika ditanya sama ada kerajaan akan melarang penggunaan vape di dalam negara, beliau secara ringkas berkata: KKM mengadakan sebuah jawatankuasa khas bagi soal vape dan rokok, serta dalam perancangan untuk mewujudkan satu rang undang-undang khas bagi mengawal vape dan rokok.
KKM juga mengenal pasti iklan promosi vape dalam laman sosial yang menyasarkan golongan remaja sekolah, dan dalam usaha menyekat talian berkenaan.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment