Thursday, 6 August 2020

CADANG PERKENAL SUBJEK KEUSAHAWANAN DUI SEKOLAH

Halimah (dua kanan) menyampaikan hadiah kepada peserta kategori bawah 12 tahun, Muhammad Mukhriz Mahadzir sambil diperhatikan Lian Ker (kiri), Wan Suraya (kanan) dan Khairul Anwar (dua kiri) ketika majlis penghargaan Kelab Rukun Negara Sekretariat Rukun Negara dan penyampaian hadiah pertandingan video kreatif perpaduan di Kuala Lumpur. - Foto Hairul Anuar Rahim
Halimah (dua kanan) menyampaikan hadiah kepada peserta kategori bawah 12 tahun, Muhammad Mukhriz Mahadzir sambil diperhatikan Lian Ker (kiri), Wan Suraya (kanan) dan Khairul Anwar (dua kiri) ketika majlis penghargaan Kelab Rukun Negara Sekretariat Rukun Negara dan penyampaian hadiah pertandingan video kreatif perpaduan di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menimbang kemungkinan mewujudkan semula subjek berkisar kepada amalan Rukun Negara dalam sistem pendidikan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, kewujudan subjek berkenaan akan diperhalusi satu jawatankuasa teknikal, dianggotai Ketua Setiausaha (KSU) daripada empat kementerian.

Beliau berkata, ia akan disusun berkisar kepada subjek Tatarakyat yang pernah diwujudkan dalam sistem pendidikan negara satu ketika dahulu.
"Sempena sambutan 50 tahun Rukun Negara, kementerian menubuhkan jawatankuasa teknikal, yang turut dianggotai KSU mewakili tiga kementerian lain iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan.
"Kita akan lihat kembali kemungkinan meletakkan amalan Rukun Negara sebagai antara subjek, khususnya di peringkat awal persekolahan, sekolah rendah dan menengah," katanya kepada media selepas majlis penghargaan Kelab Rukun Negara (KRN) serta Sekretariat Rukun Negara (SRN).
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Ti Lian Ker, KSU Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Khairul Anwar Salleh.
Turut diadakan adalah penyampaian hadiah bagi pemenang video kreatif perpaduan.
Mengulas lanjut, Halimah berkata, kewujudan subjek terbabit adalah selaras dengan objektif kementerian yang mahu membangunkan semula penghayatan Rukun Negara di kalangan generasi muda.
"Jawatankuasa teknikal ini sudah diberi mandat untuk memperincikan perkara terbabit, melihat bagaimana kita dapat membawa semula pendidikan berkisarkan Rukun Negara ini.
"Antara lain, subjek berkenaan akan membawa pelajar menyelami prinsip sebenar Rukun Negara, Jalur Gemilang dan aspek berkaitan," katanya.
Terdahulu, Halimah menyerahkan sijil penghargaan kepada 10 wakil KRN dan SRN yang bersama menjayakan Majlis Pelancaran Sambutan 50 Tahun Rukun Negara oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 Julai lalu.
Sehingga kini terdapat 6,621 KRN seluruh negara meliputi 5,864 di sekolah rendah dan menengah kebangsaan, serta baki 757 di sekolah jenis kebangsaan manakala terdapat 172 SRN di institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.
BERITA HARIAN ONLINE

CADANG PERKENAL SUBJEK KEUSAHAWAN DI SEKOLAH

 - Foto hiasan
Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (MEDAC) akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkenalkan subjek keusahawanan di sekolah.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata walaupun agak sukar memperkenalkan subjek 'luar' di sekolah, pihaknya akan memperhalusi perkara itu dengan KPM.
"Berdasarkan pengalaman saya di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk memperkenalkan alam sekitar sebagai subjek dalam kajian di sekolah, prosesnya begitu teliti berdasarkan kajian KPM.
"Kita boleh berbincang dengan KPM bagaimana untuk melaksanakan subjek ini di sekolah dalam usaha memperkenalkan keusahawanan sebagai alternatif kepada pekerjaan pada masa depan.
"Kita belum ada dasar khusus untuk mewajibkan pendidikan keusahawanan ini, jadi saya hanya boleh menyebut saya bersedia berbincang dengan Kementerian Pendidikan berkenaan projek ini," katanya
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi MEDAC di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengenai pengoperasian koperasi di sekolah, Wan Junaidi berkata, setakat ini 2,941 koperasi beroperasi di sekolah seluruh negara.
Katanya, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) mengadakan kursus dan latihan kepada guru di sekolah bertujuan membimbing golongan itu mengenai koperasi.
"Setakat ini, sebanyak 300 guru dilatih dan sasaran ialah melatih 700 guru untuk pakar dalam bidang keusahawanan dan koperasi," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

PUSAT SUMBER SKPB GAYA KONTEMPORARI

Guru Perpustakaan dan Media Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Ba (SKPB) Nordin Ismail berada di Pusat Sumber Sekolah (PSS) SKPB Setiu yang ditransformasi dan berwajah baru. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
Guru Perpustakaan dan Media Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Ba (SKPB) Nordin Ismail berada di Pusat Sumber Sekolah (PSS) SKPB Setiu yang ditransformasi dan berwajah baru
SETIU: Seorang guru di sebuah sekolah pedalaman di sini, menggunakan kreativiti dan inspirasi dalam media sosial bagi mengubah suai Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Ba (SKPB) sehingga menjadi tular dan mendapat pujian netizen termasuk ibu bapa dan guru.
PSS SKPB yang berusia 30 tahun itu diberikan nafas baharu berkonsepkan gaya hipster dan minimalis sekali gus mewujudkan suasana lebih ceria, praktikal dan menarik.
Kejayaan Guru Perpustakaan dan Media SKPB, Nordin Ismail, yang berasal dari Gong Badak itu mengubah suai PSS sekolahnya menjadi tular di media sosial sehingga mendapat 7,000 tanda suka selain dikongsi sebanyak 3,200 kali di Facebook, baru-baru ini.
Beliau berkata, dia hanya memperuntukkan RM2,000 untuk kerja pengubahsuaian PSS SKPB itu dengan bantuan semua guru, kakitangan sekolah, pekerja swasta termasuk pengawal keselamatan sekolah.
"Peruntukan berkenaan diperoleh hasil sumbangan semua guru SKPB dan alhamdulillah dalam tempoh kurang tiga minggu pengubahsuaian dalaman PSS SKPB berjaya dilaksanakan. Semua meja, kerusi dan rak buku berusia 30 tahun itu dicat baharu dengan warna yang lebih ceria dan kontemporari bagi menimbulkan suasana yang lebih luas, menarik dan tenang kepada murid.
"Langsir dan alas meja yang biasa digunakan di PSS di sekolah sebelum ini tidak lagi digunakan. Selain mencantikkan PSS, pengubahsuaian yang dibuat juga bertujuan memberi pengalaman baharu kepada 50 murid di sekolah berkenaan," katanya ketika ditemui di PSS SKPB, di sini, hari ini.
Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Ba (SKPB) Setiu yang diubah suai dengan berkonsepkan hipster dan minimalis. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Ba (SKPB) Setiu yang diubah suai dengan berkonsepkan hipster dan minimalis
Nordin yang sudah bertugas selama 15 tahun di SKPB berkata, sebahagian besar murid di SKPB ialah anak petani dan segelintirnya kurang terdedah dengan dunia luar kerana sekolah itu berada di kawasan pedalaman.
"Bagi murid sekolah di bandar, konsep hipster dan minimalis biasa kerana banyak cafe atau kedai makan yang menggunakan konsep berkenaan. Bagaimanapun untuk murid di sekolah luar bandar, ia sesuatu yang baharu seterusnya menceriakan dan menarik minat mereka untuk ke pusat sumber," katanya.
Beliau juga berkata, murid tidak lagi dibenarkan untuk menggunakan PSS berkenaan kerana ia sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memandangkan masih dalam tempoh PKPP.
"Murid tidak masuk lagi, tetapi sebahagian mereka sudah melihat gambar terbaru sangat teruja dan tidak sabar untuk ke PSS itu.
Berbaloi meluangkan masa seharian termasuk pada Jumaat dan Sabtu menghias PSS itu apabila menerima banyak maklum balas positif daripada semua pihak.
"Semua yang dijalankan itu tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tiada sokongan semua guru termasuk Guru Besar, Ustaz Abdul Ghani Mohd Ali. Saya berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan ," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani, berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan guru yang kreatif dan inovatif dalam mendidik dan memberi khidmat di negeri itu.
"Inisiatif guru di SKPB itu perlu dijadikan contoh dan ikutan kepada semua guru untuk menarik minat murid ke sekolah dan seronok ketika belajar. Gunakan apa sahaja daya kreativiti untuk menimbulkan suasana yang ceria, menyeronokkan untuk murid ketika berada di sekolah.
"JPNT berterima kasih kepada guru di SKPB termasuk guru besar dan semua guru yang memberi inspirasi kepada perubahan itu. Kita juga berharap pengalaman guru di SKPB itu dikongsi dengan semua guru di sekolah lain seterusnya menjadi ikutan," katanya.
Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Ba (SKPB) Setiu yang diubah suai dengan berkonsepkan hipster dan minimalis. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Ba (SKPB) Setiu yang diubah suai dengan berkonsepkan hipster dan minimalis.
BERITA HARIAN ONLINE

PENDIDIKAN RUKUN NEGARA PERLU DITERAP SEAWAL PERINGKAT TADIKA


- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Pendidikan berkenaan Rukun Negara perlu diterapkan dalam kurikulum sekolah seawal peringkat tadika lagi dan hendaklah disemak semula setiap lima tahun dalam usaha mengukuhkan perpaduan rakyat.

Felow Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata situasi yang berlaku kini, Rukun Negara tidak lebih sekadar hafalan untuk murid dan pelajar sekolah selain diikrarkan hanya pada majlis tertentu sahaja.

“Sepatutnya perlu ada pendidikan terhadap kelima-lima prinsip itu untuk difahami anak bangsa, kena ada kurikulum, misalnya prinsip pertama kalau nak terapkan di tadika, perkara apa yang perlu ‘diangkat’ dan ditonjolkan kepada anak sekecil mereka.

Apabila ada kurikulum, ia harus diajar selain ada latihan dan saya pasti Rukun Negara akan terkesan pada pemikiran serta tingkah laku rakyat. Sayang ia (Rukun Negara)  sudah berusia 50 tahun, tetapi hanya pada nama sahaja.

Ia sepatutnya boleh jadi patriotik kerana ia adalah gagasan kenegaraan dan dalam hal ini sektor pendidikan memainkan peranan penting untuk mendidik anak bangsa memahami falsafah Rukun Negara itu, bukan hanya di peringkat sekolah rendah tetapi pada peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, hari ini.

Katanya di peringkat universiti pula, mahasiswa boleh membuat analisis, menilai dan mencipta sesuatu dalam memperincikan setiap prinsip itu agar mereka akan lebih mendalami dan tahu kepentingannya.

Sementara itu, Veteran Akademi Tentera Malaysia Lt Jen (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said berkata falsafah rukun negara masih relevan bukan sahaja dalam kehidupan masa lalu, tetapi pada masa kini dan akan datang.

Ini kerana katanya, kelima-lima prinsip berkenaan merupakan ideologi negara dan set kepercayaan untuk rakyat agar tidak tersasar selain mampu mengukuhkan perpaduan negara berbilang kaum di negara ini.

“Malangnya masyarakat tak nampak kebaikan prinsip Rukun Negara itu, mereka tak tahu tujuan dan maknanya, padahal ia sebenarnya untuk diri mereka dan generasi akan datang, kalau negara ini mempunyai rakyat yang mengamalkan Rukun Negara, Malaysia akan jadi negara hebat,” katanya.


BERNAMA ONLINE

Monday, 3 August 2020

E-BUKU POPULAR COVID-19 VERSI BAHASA MELAYU DILANCARKAN

E-book edisi Bahasa Melayu untuk mendidik kanak-kanak mengenai virus COVID-19 di https://www.leapedservices.com/coronavirus-book/
KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan pendidikan dan perusahaan sosial pertama di Malaysia, LeapEd, hari ini melancarkan edisi Bahasa Melayu e-buku antarabangsa yang popular, 'Coronavirus: A Book For Children About COVID-19', untuk mendidik kanak-kanak mengenai virus berkenaan.
Pengerusinya, Shahnaz Al-Sadat, berkata terjemahan e-buku 'Coronavirus: Buku Untuk Kanak-kanak' sebanyak 17 halaman itu, adalah satu usaha untuk meningkatkan kesedaran dan memupuk kefahaman dalam kalangan kanak-kanak Malaysia mengenai wabak COVID-19.
"Adalah penting untuk kanak-kanak dilengkapi dengan pengetahuan dan pemahaman yang relevan mengenai virus itu serta bagaimana mereka memainkan peranan untuk melindungi diri sendiri dan orang di sekitarnya," katanya dalam satu kenyataan.
E-buku berkenaan pada asalnya diterbitkan di United Kingdom oleh Nosy Crow dan diilustrasi oleh Axel Scheffer dan LeapEd diberi hak ekslusif untuk menterjemah bagi mengubah cara kanak-kanak belajar dan pendidik mengajar.
Pengarah Urusan Nosy Crow, Kate Wilson berkata: "E-buku ini dihasilkan dengan teliti dengan bantuan ramai pakar seperti guru, pakar psikologi kanak-kanak dan pakar dalam bidang berkaitan, kami gembira dapat menyediakan bahan rujukan berguna seperti ini."
E-buku berkenaan boleh dimuat turun secara percuma di www.leapedservices.com/coronavirus-book, serta dilengkapi panduan membaca bagi membantu ibu bapa memanfaat buku itu dengan berkesan.

BERITA HARIAN ONLINE

SESI PERSEKOLAHAN 2021 BERMULA 20 JANUARI

Sesi persekolahan tahun depan bermula pada 20 Januari 2021. - Fail NSTP
Sesi persekolahan tahun depan bermula pada 20 Januari 2021
KUALA LUMPUR: Pembukaan penggal pertama persekolahan 2021 bagi sekolah di seluruh negara ditetapkan pada Rabu, 20 Januari 2021.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin, berkata pihak kementerian menetapkan pembukaan persekolahan lebih lewat berdasarkan Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021.
"Ia bermakna cuti persekolahan bagi 2020 akan diteruskan sehingga sekolah dibuka pada 20 Januari 2021.
"Apabila kita mengumumkan cuti dipendekkan untuk 2020, kita merancang sesi persekolahan 2021 perlu dilewatkan," katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Radzi berkata, pindaan terhadap pembukaan penggal pertama persekolahan itu dilakukan susulan pandemik COVID-19.
Katanya, perancangan bukan tertumpu untuk tahun ini sahaja kerana kesan pandemik COVID-19 kepada sektor pendidikan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat.
"Seperti yang dimaklumkan pada 1 Julai lalu, KPM akan menyediakan Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan 2021 dengan mengambil kira pelbagai aspek yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.
Mohd Radzi berkata, pindaan takwim 2020 dengan memaksimumkan tempoh hari persekolahan dan mengurangkan cuti akhir tahun adalah selari dengan rancangan melewatkan permulaan persekolahan 2021 kerana Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula lewat.
Bagaimanapun, katanya, banyak proses tatacara diperlu dilalui dan dilaksanakan sebelum takwim 2021 boleh dikeluarkan.
"Apabila banyak keluhan KPM tidak mengambil kira keadaan guru, murid dan sebagainya, kita mengambil pendirian untuk menyiapkan proses tatacara itu supaya berjalan lancar dan sesi persekolahan tahun ini dapat ditamatkan dengan baik," katanya.
Beliau berkata, setiap perancangan KPM membabitkan COVID-19 memerlukan lebih setahun untuk kembali kepada normal.
"Cuti sekolah akan dinormalkan dan yang mana hilang kita akan mengatur sedikit sebanyak pada tahun akan datang, " katanya.
Katanya, antara perkara yang membimbangkan KPM ialah jika pelajar tidak dapat menguasai tahap minimum pembelajaran, sekali gus boleh menghilangkan motivasi mereka untuk terus belajar apabila memasuki sesi tahun depan.
BERITA HARIAN ONLINE

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TERUSKAN DLP

Kerajaan teruskan DLP dan benarkan sekolah yang mahu Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. - Foto hiasan
Kerajaan teruskan DLP dan benarkan sekolah yang mahu Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneruskan Program Dwibahasa (DLP) dengan memberi kebenaran kepada pihak sekolah yang memilih untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata KPM tidak berhasrat memperkenalkan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Beliau berkata, DLP diperkenalkan secara rintis pada 2016 di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) membabitkan 377 sekolah iaitu 132 sekolah rendah dan 245 sekolah menengah.
"Selepas empat tahun pelaksanaan program DLP ini, jumlah sekolah yang terbabit meningkat kepada 2,291 buah pada 2020 iaitu 739 sekolah rendah dan baki 1,552 sekolah menengah.
"Buat sementara waktu, kita menekankan program DLP dan akan teruskan. Jika ada sekolah memilih untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam DLP, kita akan benarkan, " katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Hasan Ariffin (BN-Rompin) sama ada kerajaan akan membuat kajian berhubung pelaksanaan PPSMI.
Hang Soon berkata, KPM sedang berusaha menambah baik pendidikan bahasa Inggeris bagi meningkatkan penguasaannya dalam kalangan guru dan murid untuk keperluan datang dengan melaksanakan pelbagai program pengukuhan.
Sebelum ini, wujud gesaan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis bahasa supaya kerajaan memansuhkan DLP kerana secara dasarnya ia sama seperti PPSMI.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPM merancang melaksanakan pengambilan guru pendidikan khas secara kontrak tahun depan mengikut keperluan dalam menampung jumlah Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang meningkat selepas pelaksanaan Dasar Sifar Penolakan sejak tahun lalu.
Bagi memenuhi keperluan guru pendidikan khas, katanya, KPM meneruskan pengambilan pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (PISMP) opsyen Pendidikan Khas di Institusi Pendidikan Guru (IPG).
"Tahun ini, seramai 180 pelajar PISMP opsyen Pendidikan Khas ditawarkan tempat dan bekalan guru untuk tahun 2022 hingga 2025 ialah 516 orang.
"Tidak dinafikan pelaksanaan Dasar Sifar Penolakan ini usaha yang baik dan akan dibuat secara berperingkat namun KPM berdepan pelbagai cabaran antaranya aspek penyediaan infrastruktur sekolah, sumber manusia, kepakaran guru dan pembantu pengurusan murid, " katanya.
Beliau menjawab soalan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang mahu tahu berhubung jumlah MBK, guru pendidikan khas dan rancangan untuk menambah bilangan guru pendidikan khas.
Sehingga 30 Jun lalu, Hang Soon berkata, seramai 92,755 orang MBK mendapat pendidikan iaitu 2,644 di Sekolah Pendidikan Khas (SPK), 73,656 di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan 16,455 di Program Pendidikan Inklusif (PPI).
"Bilangan keseluruhan guru pendidikan khas ialah 16,492 orang, " katanya.
BERITA HARIAN ONLINE