Saturday, 18 December 2021

SEKOLAHKU SEJAHTERA TAK BEBAN GURU

Putrajaya: Konsep Sekolahku Sejahtera bagi membenteras gejala buli yang akan diperkenalkan di sekolah tidak lama lagi, tidak akan membebankan dan mengganggu tugas hakiki guru.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pelaksanaannya tidak membabitkan kewujudan mata pelajaran baharu sebaliknya guru akan menyelitkan elemen dalam konsep Sekolahku Sejahtera itu sewaktu sesi mengajar dan aktiviti kokurikulum.

Dr Radzi pada Isnin lalu berkata, konsep Sekolahku Sejahtera bersifat penerapan nilai murni antara lain bertujuan membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Ia mempunyai 14 elemen dengan guru akan menerapkan elemen itu secara tidak langsung di dalam kelas yang dibuat secara alami.

“Konsep ini bukan suatu perkara retorik, tapi ia satu perjuangan untuk memastikan murid ada sikap nilai murni sejak dari usia muda,” kata Dr Radzi pada Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2021 di sini, semalam.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berpendirian bahawa budaya buli dalam kalangan pelajar sekolah adalah suatu isu yang perlu ditangani dengan serius supaya tidak menjadi suatu budaya atau berulang di masa hadapan.

HARIAN METRO ONLINE

SEGERA LAKSANA INISIATIF MEREMAJAKAN PENDIDIKAN

Amat mengejutkan apabila laporan media menyebut 21,316 pelajar di negara ini sudah berhenti sekolah sejak Mac 2020 hingga Julai 2021. Angka yang dilaporkan itu sangat besar hingga menimbulkan tanda tanya, apa sebenarnya yang sudah terjadi?

Adakah hal ini berpunca daripada bebanan yang perlu dihadapi pelajar di sekolah semakin tidak rasional? Misalnya jumlah subjek yang banyak untuk dipelajari dalam sehari? Atau mungkin hilang minat untuk belajar ? Mungkinkah juga ia ada kaitan dengan masalah keluarga yang memaksa pelajar bertindak berhenti sekolah?

Tidak terkecuali, ada juga yang berhenti sekolah bukan kerana kerelaan sendiri sebaliknya terpaksa membantu ibu bapa mencari duit untuk menampung kehidupan keluarga. Hal ini tentu saja berkaitan dengan penularan COVID-19 yang banyak mengubah landskap kehidupan sebahagian kita.

Semua hal di atas boleh menjadi faktor murid berhenti sekolah dan ia hendaklah diperhalusi.

Pada sisi lain, dapat dilihat segelintir ibu bapa juga seakan-akan hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap sistem pendidikan di negara ini.

Namun, kita juga tahu Kementerian Pendidikan (KPM) melakukan pelbagai langkah untuk mengatasi masalah keciciran pelajar.

Seperti dilaporkan media, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon menyebut antara yang dibuat adalah menggerakkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengesan pelajar tidak hadir ketika pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan sesi pembelajaran secara bersemuka susulan pembukaan semula sekolah.

Malah, KPM turut menyediakan perkhidmatan bimbingan dan sokongan psikososial melalui pelbagai kaedah serta mengadakan perbincangan antara pihak sekolah dan ibu bapa atau penjaga pelajar bagi mengenal pasti mengapa hal itu berlaku.

Namun, KPM perlu terus melakukan tindakan lebih menyeluruh dan bersasar bagi menarik minat pelajar untuk kembali bersekolah, namun membuat kajian lebih terperinci mengenainya sebelum jumlah yang berhenti itu semakin meningkat.

Seharusnya sistem dan dasar sesebuah kerajaan membantu membangunkan sosioekonomi rakyat dan negara, bukan membantutkan perkembangan dan kemajuannya.

Jadi, tindakan meremajakan pendidikan negara dan pelan pemulihan pendidikan perlu dilaksanakan segera. Namun, pelan itu hendaklah mampu memberi kesan munasabah lagi rasional serta tidak membebankan pendidik mahupun pelajar.

Teruslah mengajak pelajar dengan penuh hikmah dan muhibah, bukan dengan gertakan atau hukuman dalam usaha untuk menarik kembali mereka belajar di sekolah.

Hal ini penting kerana generasi muda inilah yang akan mencorakkan negara ini pada masa hadapan.

Atriza Umar,
Kuala Lumpur

BERITA HARIAN ONLINE

Friday, 17 December 2021

DidikTV KPM HARGAI JASA 1,093 GURU

Kuala Lumpur: Selepas hampir 10 bulan bersiaran, DidikTV Kementerian Pendidikan (KPM) menerbitkan hampir 3,000 episod yang mengandungi pelbagai pengisian khususnya kandungan berasaskan kurikulum dan juga kokurikulum.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Nini Yusof, berkata kejayaan DidikTV KPM tidak dapat dilaksanakan tanpa pengor- banan 1,093 guru penyampai yang terbabit dalam penerbitan kandungan berasaskan kurikulum.

“Kami juga ingin melahirkan rasa bangga dengan hampir 50 guru terbabit dalam penerbitan kandungan berasaskan kokurikulum, selain perkongsian ilmu di luar bilik darjah.

“Saya dimaklumkan ada guru yang bukan sahaja berkorban masa dan tenaga, tetapi juga wang ringgit bagi memastikan kandungan DidikTV KPM dapat memberi manfaat kepada semua pihak khususnya murid di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Terima Kasih Cikgu anjuran DidikTV KPM di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Sektor Perhubungan dan Khidmat Khas, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) KPM, Roslina Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif DidikTV NTV7, Seelan Paul.

Seramai 350 guru seluruh negara hadir memeriahkan majlis penghargaan yang julung kali diadakan.

Mewakili Pengarah BSTP KPM, Maznah Abu Bakar, Roslina dalam ucapannya, merakam jutaan terima kasih atas pengor- banan 1,093 guru yang berkorban masa, tenaga dan juga wang ringgit bagi memastikan tanggungjawab sebagai seorang guru dapat dijalankan dengan penuh dedikasi dan ikhlas.

“Pemilihan guru penyampai daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang masing-masing dan cara penyampaian guru begitu kreatif serta mudah diterima murid menjadikan DidikTV KPM mendapat sambutan yang positif.

“KPM juga ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Media Prima Berhad khususnya kru DidikTV KPM yang bertungkus lumus sepanjang 10 bulan siaran DidikTV KPM bagi memastikan setiap rancangan yang diterbitkan berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Guru Cemerlang Sains Sekolah Kebangsaan (SK) (2) Taman Selayang, G Devi, berkata pembabitannya dalam program DidikTV adalah satu pengalaman berharga selain usaha membantu anak murid menimba ilmu melalui pendidikan TV.

“Meskipun pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka tidak dapat dijalankan, DidikTV KPM menjadi platform terbaik untuk pelajar sekolah.

“Kami bukan sahaja berpeluang menjadi guru penyiaran tetapi interaksi antara dua hala bersama murid juga dijalankan melalui kelas atas talian di DidikTV KPM,” katanya.

Guru Cemerlang Prasekolah SK (Orang Asli) Sayong Pinang, Kulai, Johor, Alfian Mansor, majlis penghargaan itu bukan sahaja peluang untuk bertemu rakan seperjuangan tetapi rasa dihargai sebagai seorang daripada guru yang terbabit dalam DidikTV KPM.

“Terima kasih dan tahniah DidikTV KPM atas penganjuran majlis seperti ini. Ia memberi semangat kepada saya sebagai seorang guru untuk terus berkhidmat apatah lagi menyampaikan ilmu kepada anak bangsa terdiri daripada anak Orang Asli,” katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 16 December 2021

BANTU GURU, PENSYARAH TINGKAT KUALITI PdP

Sejak dunia dilanda pandemik COVID-19, rata-rata institusi pengajian menggunakan pelbagai kaedah teknologi bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), namun tidak semua pelajar mahupun pendidik mampu memiliki gajet.

Kini, permintaan penggunaan gajet baik komputer, tablet atau telefon pintar semakin perlu untuk setiap ahli keluarga. Namun, bagi keluarga berpendapatan rendah atau sederhana, kos ditanggung bukan sedikit, terutama jika mempunyai ahli yang ramai.

Sudah tentu boleh berkongsi, namun jika jadual penggunaan gajet sama, maka ada yang terpaksa berkorban tidak menghadiri PdP untuk membolehkan ahli keluarga lain menggunakan gajet terbabit.

Sebelum ini, kita ada mendengar bantuan kerajaan kepada pelajar sekolah melalui pemberian duit tunai RM100 seorang untuk keperluan pendidikan mereka. Namun, adakah ia mencukupi?

Ada juga langkah proaktif sesetengah pihak mengagihkan komputer riba dan tablet kepada sekolah di Malaysia. Usaha ini perlu dipertingkatkan kerana masih ada pelajar belum mendapat bantuan sepatutnya.

Dalam konteks keperluan tenaga pengajar seperti guru di sekolah dan pensyarah di institusi pengajian tinggi pula, mereka seperti diketepikan daripada menerima bantuan sama.

Benar mereka mempunyai gaji setiap bulan dan dilihat seperti mampu membeli peranti sendiri. Namun, bagi yang mempunyai ahli keluarga atau anak ramai, kedudukan kewangan mereka juga terhad.

Mungkin guru dan pensyarah sudah mempunyai komputer peribadi sendiri, namun bagi menambah baik proses PdP kebanyakan mereka harus menggunakan aplikasi yang memerlukan bayaran langganan agak tinggi.

Selain perisian percuma, PdP dalam talian memerlukan kreativiti dan inovasi lebih untuk memudahkan proses pemindahan pembelajaran berlaku lebih efektif.

Contohnya, proses pembelajaran hibrid di institusi pengajian memerlukan peranti yang mempunyai ciri-ciri canggih seperti kamera web kanta lebar supaya pelajar dapat melihat keseluruhan persekitaran kelas dan fungsi audio lebih jelas.

Peranti sebegini agak mahal dan institusi pembelajaran sendiri tidak mampu menyediakannya untuk setiap bilik kelas atau dewan kuliah.

Oleh itu, ada guru atau pensyarah terpaksa berkorban membeli alatan menggunakan wang peribadi mereka walaupun terpaksa berhutang.

Selain langganan aplikasi dalam talian, pelbagai latihan atau bengkel melalui medium sama turut membantu guru dan pensyarah untuk mahir dalam proses PdP dalam talian serta secara hibrid, namun kesediaan peranti dan aplikasi masih belum mencukupi.

Oleh itu, proses meningkatkan kemahiran mereka menjadi terhad. Malah, ada antara mereka mungkin tidak mempunyai talian internet stabil sama ada di rumah atau di institusi pengajian itu sendiri.

Antara penyelesaian jangka masa pendek adalah pemberian bayaran insentif teknologi sama ada secara sekali gus atau berperingkat kepada guru dan pensyarah.

Ini membolehkan mereka membuat pembelian peranti diperlukan serta membayar langganan servis seperti talian internet lebih stabil dan aplikasi pendidikan yang boleh memperkasakan proses PdP mereka.

Pemberian ini mungkin dilihat kecil sekarang, tetapi kesannya penting untuk membantu penggunaan teknologi tenaga pengajar supaya lebih berkembang dan berdaya saing.

Dr Safiah Omar
Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM)

BERITA HARIAN ONLINE

NUTP MINTA KEMBALIKAN KUASA GURU ROTAN PELAJAR

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) wajar mengembalikan kuasa guru untuk merotan pelajar yang melakukan kesalahan berat, seperti membuli rakan.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), menjelaskan ketika ini, hanya pengetua atau guru besar dibenarkan merotan pelajar berasaskan Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.

Setiausaha Agungnya, Wang Heng Suan, berkata NUTP pernah mencadangkan untuk mengembalikan hukuman rotan yang tidak memudaratkan pelajar atas tujuan mendisiplinkan mereka, bukan mencederakan.

“Hukuman rotan masih relevan dalam usaha mendidik pelajar kerana itu hukuman terakhir jika pelajar itu masih melakukan kesalahan berat, selain memberi amaran atau memanggil penjaga ke sekolah,” katanya di sini semalam.

Pekeliling 2003 melarang hukuman dera ke atas pelajar perempuan, manakala hukuman dera kepada pelajar lelaki yang dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau di punggung yang berlapik dengan pakaian hanya boleh dilakukan oleh guru besar atau diwakilkan kepada kakitangan lain.

Sementara itu, di Port Dickson, Kongres Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan mewujudkan jawatan khas warden di setiap asrama sekolah.

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata warden itu dapat melakukan tugas secara sepenuh masa dan lebih cekap tanpa terbabit dengan tugas lain.

“CUEPACS mengambil berat terhadap kes buli yang berlaku di institusi pendidikan dan masa sama, kami amat simpati pada warden yang bertugas kerana itu di bawah tanggungjawab mereka.

“Warden bertugas ini dilantik dalam bentuk tambahan tugas daripada guru yang sedang bertugas, sedangkan mereka sendiri tidak rela,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, ramai guru menolak untuk menjadi warden kerana tanggungjawabnya amat berat, manakala elaunnya tidak setimpal.

Di Ipoh, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Lazim, berkata Pegawai Perhubungan Sekolah boleh memantau disiplin pelajar dan membendung salah laku seperti buli.

Beliau berkata, anggota polis yang bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah mestilah dimanfaat sebaik mungkin untuk kesejahteraan pelajar dan guru.

“Itu sebab kita ada Pegawai Perhubungan Sekolah. Gunakannya untuk kesejahteraan sekolah,” katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 15 December 2021

GURU TOLAK VAKSIN PERLU HAYATI FALSAFAH PENDIDIKAN

Bukan sekali dua kita mendengar dakwaan mengenai pelbagai teori konspirasi mengenai vaksin. Malah kerana terlalu kerap diperkatakan dan disebarkan, tidak mustahil ia mampu menakutkan sebahagian anggota masyarakat.

Pengambilan vaksin menjadi sebahagian cara hidup kita hari ini selepas COVID-19 melanda dunia pada hujung 2019 bermula di Wuhan, China. Di Malaysia, kes pertama direkodkan pada 25 Januari 2020 membabitkan tiga warga asing yang melancong ke negara ini. Sejak itu, kes COVID-19 di Malaysia meningkat hingga 2,000 orang pada Mac tahun yang sama.

Hanya setahun selepas itu, dunia diperkenalkan dengan vaksin, iaitu Pfizer-BioNTech yang diluluskan pada 8 Januari 2021. Kemunculannya nyata melegakan banyak pihak susulan peningkatan kes kematian dan jangkitan mencecah jutaan orang.

Namun, bukan semua orang boleh menerima vaksin dengan hati terbuka. Terdapat sebilangan kita menerima maklumat tidak sahih dan pelbagai cerita keburukan vaksin sehingga takut untuk menerimanya. Malah, ada yang membuat kesimpulan sendiri dan tidak mempercayai kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan jabatan agama.

Antara yang menjadi perhatian adalah kelompok sekitar 2,500 orang guru. Pelbagai alasan diberikan selain ada yang berhadapan masalah kesihatan. Namun, tindakan mereka menolak vaksin menimbulkan kegusaran lebih besar kepada masyarakat kerana sekolah dan institusi pendidikan tinggi mula dibuka secara berperingkat.

Jika mereka menekankan mengenai hak asasi sebagai manusia untuk tidak dipaksa menerima vaksin, maka guru dan kakitangan sekolah yang mengambilnya juga berhak untuk mendapat hak mereka dari segi pergaulan dan persekitaran sihat.

COVID-19 bukan suatu perkara yang boleh dilihat dengan mata kasar. Justeru, kematangan dalam berfikir baik buruk sesuatu hal perlu menjadi keutamaan bagi memastikan kehidupan seperti biasa.

Tahap risiko jangkitan COVID-19 terhadap guru yang melengkapkan kedua-dua dos vaksin adalah rendah berbanding mereka yang tidak menerimanya dan ini boleh membawa satu pencapaian terbaik dalam bidang pendidikan.

Walau bagaimanapun, jika seorang guru tidak divaksin dan tugasnya diambil alih oleh orang lain, tekanan emosi dan kepenatan melampau boleh terkesan kepada si penanggung tugas. Mereka terpaksa melaksanakan pekerjaan berganda berbanding orang lain.

Guru juga adalah ‘ibu bapa kedua’ bagi pelajar, maka mereka tidak boleh pentingkan diri dalam soal pengambilan vaksin. Apatah lagi, bukankah mereka juga berikrar untuk berperanan melahirkan pelajar seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan?

Bukankah antara lirik Kami Guru Malaysia yang selalu dinyanyikan pada Hari Guru, “Kami guru Malaysia, berikrar dan berjanji, mendidik dan memimpin, putra puteri negara kita”.

Mungkin ia hanya lagu yang singkat dan ringkas, namun penuh bermakna jika mahu dihayati.

Aufa Mohd Nasir,
Perak

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 14 December 2021

KPM DISARAN TAMBAH BAIK KURIKULUM PENDIDIKAN AGAMA, MORAL - MUFTI PULAU PINANG

GEORGE TOWN,14 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) disarankan agar menambah baik kurikulum pendidikan agama dan moral di sekolah termasuk dari sudut amalan atau praktikal agar lebih berkesan dalam pembentukan sahsiah pelajar.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata kurikulum sedia ada yang digunakan di sekolah-sekolah dilihat kurang berkesan dalam pembentukan shasiah pelajar hingga gejala buli masih berlaku dalam kalangan pelajar.

"Memang isu senior membuli junior di sekolah-sekolah berasrama penuh ini muncul dari semasa ke semasa dan tidak syak lagi ini berkait rapat dengan ketandusan nilai akhlak dan kepincangan adab kesopanan dalam kalangan sebahagian pelajar.

"Sehubungan itu, semua pihak terutama KPM perlu mencari jalan penyelesaian segera dan paling penting ialah menambah baik kurikulum pendidikan agama serta moral yang digunakan di sekolah-sekolah kebangsaan dalam pembentukan sahsiah para pelajar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, tular video mengenai kejadian buli membabitkan pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar dan susulan kejadian itu Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) bertindak menamatkan pengajian 10 pelajar dikenal pasti terlibat dalam kes buli itu.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Azhar Abdul Manaf dilaporkan berkata mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata semua pihak tidak seharusnya memandang remeh kepada pendidikan agama dan moral kerana jika diselidiki secara jujur akan terbukti bahawa gejala buli adalah berpunca daripada kekeringan nilai akhlak dan adab pelajar.

Katanya, mungkin ibu bapa juga patut dipertanggungjawabkan kerana menyerahkan pendidikan moral anak-anak sepenuhnya kepada sekolah.

"Bagaimanapun, tidak wajar menuding jari kepada mana-mana pihak dalam isu buli itu kerana tanggungjawab dalam pendidikan moral atau akhlak perlu dipikul bersama oleh ibu bapa, sekolah, masyarakat dan termasuk juga pihak media," katanya.

Menurutnya, para penyelia asrama juga hendaklah dilantik daripada mereka yang berakhlak mulia dan terlatih dalam kemahiran kaunseling supaya dapat menjadi contoh serta memainkan peranan membimbing pelajar dalam menghayati nilai-nilai moral terpuji dalam kehidupan dan pergaulan.

BERNAMA ONLINE