Tuesday, 19 December 2023

USAH MELULU AMBIL MODEL PENDIDIKAN LUAR


Foto hiasan

Dunia pendidikan menyaksikan penetapan sengit pada kedudukan antarabangsa, khususnya Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) baru-baru ini. Pendidikan menjadi medan pertempuran, dengan negara bersaing untuk tempat teratas dalam ranking ini.

Walaupun ia berupaya memberikan peluang penambahbaikan, ia juga menimbulkan persoalan penting iaitu mengenai mengejar kedudukan ranking semata-mata dan pengajaran boleh diambil Malaysia dari negara lain mengharungi fenomena ini.

Pengajaran dari negara berskor tinggi prestasi cemerlang seperti Singapura dalam PISA boleh dikaitkan dengan faktor seperti pelaburan besar dalam pendidikan, penekanan kuat terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta tumpuan menarik bakat pakar teknologi sedunia seperti pengenalan visa baharu 'Tech-Pass' mereka.

Bagaimanapun, kebimbangan mengenai waktu persekolahan bertambah, tuisyen panjang, risiko dan tekanan untuk capaian pelbagai ujian menghantui ciri pembelajaran di Singapura. Peningkatan markah PISA bagi China baru-baru ini dan kehadiran universiti terkenal di sana mempamerkan peningkatan kuasa negara itu dalam dunia pendidikan.

Seperti Korea Selatan, satu lagi negara berprestasi tinggi dalam ranking PISA, mereka menekankan kerja keras, disiplin dan ujian piawai untuk melahirkan generasi pelajar mahir dalam matematik dan sains.

Bagaimanapun, kebimbangan terhadap pembelajaran hafalan, kekurangan kreativiti, tekanan kuat untuk berjaya dan tekanan ke atas pelajar, memerlukan pertimbangan teliti.

Finland, sebaliknya, membentangkan pendekatan berbeza. Walaupun mempunyai kedudukan lebih rendah untuk institusi pengajian tingginya, Finland secara konsisten berada pada kedudukan antara berprestasi tinggi dalam PISA.

Ini menunjukkan Finland mungkin melakukan sesuatu yang betul dari segi pendidikan rendah dan menengah. Sistem Finland mengutamakan ekuiti, kesejahteraan dan pembelajaran berasaskan keseronokan, membawa kepada persekitaran pembelajaran positif dan memupuk minat untuk belajar.

Walaupun dipuji kerana pendekatan holistik, pengkritik berpendapat sistem Finland terlalu santai dan mungkin tidak menyediakan pelajar dengan secukupnya untuk menghadapi tekanan pendidikan tinggi atau realiti zaman pekerjaan.

Sementara itu, desentralisasi sistem pendidikan Amerika Syarikat (AS) ke dalam pentadbiran pendidikan berasaskan daerah berautonomi menimbulkan cabaran dalam penanda aras nasional mereka.

Hakikatnya, walaupun ujian piawai dan akauntabiliti dapat dilaksanakan, kebimbangan AS mengenai guru mereka 'mengajar mengikut ujian', penyempitan kurikulum dan ekuiti untuk pelajar kurang bernasib baik terus kekal.

Bagi Thailand dan Indonesia, mendaki tangga kedudukan antarabangsa menjadi satu kemestian strategik yang membawa kepada tindak balas kerajaan pelbagai serampang. Thailand menubuhkan Jawatankuasa PISA Kebangsaan pada Oktober lalu bertujuan menambah baik keputusan mereka dalam penilaian 2025.

Indonesia, menerusi sebagai sebahagian 'Wawasan Indonesia Emas 2045', memperuntukkan bajet pendidikan memecahkan rekod sebanyak 660.8 trilion rupiah untuk 2024, melaksanakan pembaharuan sekolah dengan konsep Merdeka Belajar, pembaharuan kurikulum iaitu Kurikulum Merdeka dan melabur dalam program latihan perguruan.

Abai bakat umum tempatan

Bagaimanapun, kebimbangan kekal mengenai penjajaran usaha ini dengan keperluan dan konteks khusus mereka. Pengkritik berpendapat penekanan pada kedudukan ranking mengabaikan kepentingan memupuk bakat umum tempatan dan gagal menangani ekuiti pendidikan. Ini boleh mewujudkan sistem pendidikan dua darjat tidak setara.

Malaysia sebagai negara giat terbabit dalam pembaharuan pendidikan, tidak asing dengan fenomena ini. Namun, dasar Malaysia mengutamakan kualiti dan ekuiti pendidikan.

Ramai di antara akademik menyedari skor PISA sering gagal mencerminkan spektrum penuh kejayaan pendidikan, dengan mengabaikan faktor seperti kesejahteraan pelajar, pembangunan holistik dan inovasi.

Walaupun menyedari batasan dalam metrik PISA ini, golongan akademik masih mengiktiraf pengaruhnya dan melaksanakan pembaharuan dengan sewajarnya.

Di bawah konsep Malaysia MADANI, penggubal dasar Malaysia menyasarkan kesaksamaan melalui intervensi untuk sekolah kurang sumber, biasiswa untuk pelajar kurang bernasib baik dan program menggalakkan keterangkuman.

Pembiayaan berasaskan hasil, pelaburan teknologi dan skim baharu untuk menarik pendidik bergraduan menangani kebimbangan kualiti pembelajaran.

Pada masa sama, inisiatif seperti Rangka Kerja Kurikulum Sekolah 2027 menyasarkan pemikiran kritis, kreativiti dan penyelesaian masalah di samping pengetahuan asas kukuh menekankan dimensi moral, adab dan integriti.

Pendekatan pelbagai serampang ini bertujuan meningkatkan hasil pendidikan di seluruh Malaysia sambil mengemudi kerumitan kedudukan antarabangsa dan membina sistem pendidikan benar-benar bertaraf dunia.

Kesimpulannya, apabila ahli politik di seluruh dunia taasub dengan kedudukan ranking PISA masing-masing, golongan cendekiawan Malaysia boleh mendapat manfaat daripada pembelajaran daripada negara lain.

Bagaimanapun, ahli akademik negara mesti mengelak daripada mengutamakan perbandingan antarabangsa berbanding pendekatan berkaitan kontekstual.

Walaupun pengajaran daripada kejayaan negara lain adalah berharga, meniru model mereka secara membuta-tuli mungkin tidak begitu berkesan dalam konteks Malaysia yang unik.

Dr Syed Alwee Alsagoff
Felo, Majlis Profesor Negara

BERITA HARIAN ONLINE

KONSEP MALAYSIA MADANI TERAP NILAI KEMANUSIAAN MURID


Foto hiasan

Jika ditelusuri hari penting berlaku sepanjang 2023 yang semakin hampir melabuhkan tirainya, tema diserlahkan berkait dengan konsep Malaysia MADANI diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bermula dengan Hari Pekerja bertemakan 'Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia MADANI', Hari Guru (Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI.

Tema sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pula 'Perpaduan Teras Malaysia MADANI'. Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September menggunakan tema sama 'Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan'.

Sehubungan itu, tema dipilih untuk hari penting sepanjang tahun ini jelas menunjukkan penekanan kepada konsep MADANI sebagai teraju utama.

Antara konsep penting MADANI ialah prinsip keseimbangan dan mampan. Prinsip ini menjamin keadilan untuk semua tanpa diskriminasi, ketidakadilan atau penindasan.

Dalam prinsip keseimbangan, semua rakyat seharusnya dilayan secara adil dan sama rata. Hal ini bertujuan mewujudkan masyarakat seimbang dan mampan serta semua rakyat boleh hidup dalam kesejahteraan.

Namun, menjelang bulan terakhir 2023, dunia dikejutkan dengan perang Palestin-Israel menyebabkan puluhan ribu nyawa rakyat Gaza tidak berdosa menjadi korban.

Malaysia melalui Anwar menyatakan pendirian negara berkenaan konflik itu. Ia turut diterjemahkan dalam pelbagai aktiviti kesedaran di sekolah.

Apa yang lebih penting ialah aspek empati dan kemanusiaan ini bukan satu proses bersifat one-off tatkala konflik meragut ribuan nyawa manusia berlaku.

Selaras dengan konsep MADANI, penerapan aspek kemanusiaan adalah proses berterusan selari dengan konsep Rukun Negara kelima, Kesopanan dan Kesusilaan

Kempen nilai kemanusiaan

Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), semua potensi yang ada pada murid perlu dikembangkan secara holistik, optimum dan dilaksanakan dengan mengaitkan potensi itu antara satu sama lain.

Hal ini bertujuan melahirkan insan seimbang nilai kemanusiaan dalam diri murid.

Golongan pendidik sering diberi jolokan sebagai agen perubahan harus memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai kemanusiaan dalam diri murid sejak awal persekolahan.

Antara inisiatif dapat dilakukan adalah melalui kempen nilai kemanusiaan di sekolah yang mana sedikit sebanyak membantu membuka mata murid peri pentingnya nilai kemanusiaan dalam kehidupan.

Selain itu, guru patut menarik murid dalam aktiviti kemanusiaan dengan memberi bantuan kepada masyarakat sangat memerlukan. Dari situ akan menerbitkan sifat ihsan dan empati dalam kalangan murid.

Selain itu, guru juga hendaklah menjadi contoh teladan yang baik kepada murid bagi memupuk semangat kemanusiaan dalam diri murid, mempunyai sifat empati terhadap kesengsaraan orang lain.

Penyalahgunaan teknologi juga seharusnya ditekankan dalam kalangan murid. Sebagai contoh guru boleh mengaitkan penggunaan bom fosforus oleh Israel ketika mengebom Gaza supaya murid mengetahui bahaya penggunaan bahan kimia dalam senjata api terhadap manusia.

Pendedahan bahaya bahan dan bom kimia ini bertujuan menghidupkan jiwa kemanusiaan murid, memupuk kesedaran menjaga hubungan sesama insan walaupun berbeza prinsip dan pandangan.

Tuntasnya, Elemen Merentas Kurikulum (EMK) sudah diperkenalkan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Bermakna, elemen kemanusiaan boleh didedahkan kepada murid di sekolah dengan mengaitkan pembelajaran dengan krisis kemanusiaan berlaku di dunia.

Kesedaran awal dapat membentuk murid menjadi seorang insan dapat membezakan perkara 'baik dan buruk' bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan persekitaran mereka.

Melalui pelaksanaan EMK, generasi murid 'manusiawi' dan mempunyai nilai kemanusiaan tinggi dapat dilahirkan oleh sistem pendidikan kebangsaan seperti digariskan dalam konsep Malaysia MADANI.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 12 December 2023

KEUPAYAAN FADHLINA, KPM DITAGIH TINGKAT KUALITI PENDIDIKAN

Fadhlina Sidek

Minggu lalu negara digemparkan dengan pengumuman Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan mengenai kemerosotan hasil dan pencapaian murid sekolah menerusi laporan Program untuk Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 dikeluarkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

PISA adalah kajian pentaksiran antarabangsa mengukur pencapaian pelajar berumur 15 tahun dalam tiga domain literasi utama iaitu matematik, saintifik dan bacaan oleh OECD.

Walaupun penilaian ini sekadar melaporkan statistik pencapaian dan tidak menyusun kedudukan antara 81 negara menyertainya, dapatan antarabangsa ini penting untuk melihat realiti senario pendidikan sekolah di Malaysia sebagai rujukan bagi memperbaiki segala kelemahan.

Justeru, pencapaian Malaysia tahun itu menunjukkan penurunan ketara membabitkan skor berbeza di antara ketiga-tiga domain literasi diberikan tumpuan.

Domain utama seperti Matematik mencatatkan penurunan sebanyak 31 mata daripada 440 di dalam PISA 2018 kepada 409 (2022). Domain saintifik pula mencatatkan penurunan sebanyak 22 mata daripada 438 kepada 416, manakala tahap literasi bacaan menurun 27 mata daripada 415 kepada 388.

Ini menunjukkan skor purata bagi murid di Malaysia dilihat lebih rendah daripada skor purata ditetapkan OECD bagi ketiga-tiga tahap literasi berkenaan.

Dalam erti kata lain ini, sesuatu perlu dilakukan secara serius dan kritikal kerana hasil seperti ini jika tidak disantuni dengan kemas akan memberikan implikasi besar kepada sistem pendidikan dalam negara sekali gus mengakibatkan negara ketinggalan dari sudut dan kerangka pendidikan global.

Melihat secara perspektif, keputusan PISA 2022 adalah berdasarkan kajian dijalankan pada April-Mei 2022. Tempoh itu di bawah pentadbiran kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) yang tidak membabitkan pembabitan Kerajaan Perpaduan kerana kedudukan politik sewaktu itu sebagai parti pembangkang. Oleh sebab itu, ia tidak membabitkan kepemimpinan Menteri Pendidikan ketika ini, Fadhlina Sidek bagi menyabitkan pertanggungjawaban.

Menurut fakta kajian, pentaksiran PISA ini dilakukan setiap tiga tahun dan akibat daripada wabak dan pandemik COVID-19, proses ini terhenti seketika dan ditangguhkan kepada satu tahun baharu iaitu 2022 yang mana ini pembabitan kelima Malaysia dalam kajian PISA ini selepas 2009, 2012, 2015 dan 2018.

Walaupun keciciran pembelajaran ketika pandemik COVID-19 dilihat sebagai faktor utama mempengaruhi kemerosotan pencapaian murid sekolah Malaysia ketika itu, faktor politik negara tidak stabil disebabkan 'rampasan kuasa' tanpa melalui proses demokrasi serta keputusan 'lock down' kerajaan mengakibatkan negara menyaksikan tempoh pengurungan dalam rumah antara paling lama berbanding dengan negara lain terkesan pandemik COVID-19 ketika itu.

Petunjuk jelas kegagalan dasar

Secara tidak langsung, ini memberikan satu petunjuk jelas bahawa kegagalan dasar itu ternyata lebih mendominasi naratif semasa dan membawa kepada satu implikasi negatif kepada kualiti murid di sekolah ketika itu.

Di sepanjang tempoh penutupan itu, sekolah di Malaysia ditutup jauh lebih lama berbanding negara lain akibat perintah darurat diisytiharkan kerajaan PN ketika itu. Akibatnya proses pembelajaran menjadi lebih perlahan dan tidak mencapai objektif ditetapkan disebabkan perencanaan kuasa serta ketidakstabilan politik membawa kepada pemusatan kuasa.

Akibat daripada polemik politik kuasa ini, ia memberikan tamparan hebat, tidak hanya kepada sistem pendidikan negara tetapi kepada tenaga pengajar untuk menyesuaikan diri dengan kaedah baharu dilihat sukar untuk dilaksanakan disebabkan kualiti dan kuantiti infrastruktur internet dan gajet tidak seimbang serta kurang memberangsangkan.

Ini jelas memberikan kesan serius kepada pembawaan murid kerana mereka kehilangan nilai tradisi pendidikan dan digantikan dengan kaedah baharu dilihat tidak mesra pendidikan kerana latar belakang sosio-ekonomi serta lokasi berbeza.

Akibat ketidakstabilan politik dan kegagalan kerajaan ketika itu mewujudkan satu suasana politik kondusif, akhirnya ia memberikan kesan tidak sepatutnya terhadap prestasi murid seperti dilihat dalam pelaporan PISA 2022.

Justeru, adalah satu tanggungjawab dan beban besar untuk dipikul Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terutama sekali Fadhlina Sidek yang mengepalai Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan kelemahan kerajaan dahulu dapat diperbetulkan dan seterusnya memberikan nafas baharu kepada sistem pendidikan negara.

Jalannya adalah dengan merencanakan strategi khusus yang mampu memacu prestasi kesemua murid dalam negara ini untuk menjadikan mereka lebih berjiwa kental dalam menongkah arus ilmu tanpa perlu dibayangi ancaman politik tidak sihat dan ketidakstabilan politik.

Pembabitan beliau sebagai tonggak nombor satu dalam KPM amat ditagih bagi menyuntik dan menyemat inspirasi pendidikan nasional. Fadhlina dan pasukannya di KPM bukan sahaja dituntut untuk berkerja keras bagi merealisasikan agenda penting pendidikan negara terutamanya mengangkat kualiti pendidikan dan kemenjadian murid.

Mereka perlu mengembalikan kecemerlangan sektor pendidikan negara di peringkat antarabangsa selaras dengan falsafah MADANI yang inklusif dengan citra Malaysia rencam dan beraneka ragam.

Mujibu Abdul Muis
Pensyarah Kanan Sains Politik,
Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP),
Universiti Teknologi MARA (UiTM)

BERITA HARIAN ONLINE

MANFAAT TEKNOLOGI BAHARU TAKSIR PENCAPAIAN MURID

Foto hiasan

Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini mahu memperkenalkan tujuh domain atau teras dalam kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 bermatlamat melahirkan insan sejahtera dan mengamalkan kehidupan seimbang dalam segala aspek kehidupan. Antara domain dalam teras itu ialah fasih digital, literasi pelbagai dan pembelajaran sepanjang hayat.

Ini satu perancangan positif dalam menyediakan pendidikan ke arah Revolusi 5.0 yang mana revolusi dalam perkembangan teknologi sering dikaitkan dengan kepintaran buatan (AI), internet kebendaan (IoT) dan keupayaan teknologi untuk dijadikan platform kepada cara hidup, bekerja dan berinteraksi.

Secara umum, sistem pentaksiran mengalami beberapa perubahan selaras dengan pembangunan kurikulum bagi tujuan pembelajaran sepanjang hayat yang secara dominan memberi fokus kepada peningkatan kemahiran, pengetahuan berterusan, persediaan cabaran masa hadapan, memperkasakan diri, bersosial, pemahaman nilai dan etika serta kesihatan mental dan emosi.

Dalam usaha mengukur pencapaian pelajar melalui Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam bilik darjah pada abad ke-21, pendekatan ketara diterapkan, termasuk penilaian kemahiran khas seperti kemahiran kritis, kreativiti, pemikiran kritis, komunikasi, kolaborasi dan literasi digital.

Lebih lanjut, pendekatan pentaksiran tidak hanya menilai aspek akademik tetapi juga aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani seperti digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sehubungan itu, memanfaat teknologi sebagai alat pembelajaran, membolehkan akses kepada sumber maklumat kaya serta peluang pembelajaran dalam talian adalah pendekatan penting dalam memenuhi tujuh teras kerangka kurikulum ini.

Ini berkait rapat dengan mengukuhkan sistem pendidikan berorientasikan pembelajaran dengan pemindahan fokus daripada penilaian bersifat menghafal kepada penilaian lebih menyokong pemahaman dan aplikasi ilmu pengetahuan secara digital.

Penggunaan teknologi dalam pentaksiran perlu dimanfaatkan untuk memperbaiki proses penilaian, termasuk menggunakan platform digital, algoritma dan perisian. Ini membolehkan pentaksiran dijalankan lebih berkesan dan cekap. Di sisi lain, sistem pentaksiran ini perlu dipantau dan diperbaiki bagi memastikan kesesuaian dan perkembangan dalam pendidikan serta keperluan pelajar.

Guru perlu kompeten dengan sistem digital dan fokus kepada penilaian berterusan untuk memberi maklum balas kepada pelajar. Pada masa sama, guru juga perlu memperbaiki prestasi serta proses pembelajaran apabila pentaksiran dilaksanakan.

Dalam mendepani pendekatan pentaksiran kelas, kemahiran mengadaptasi memupuk kemahiran melalui perubahan dan teknologi serta mengambil bahagian dalam aktiviti pembelajaran relevan dengan perkembangan semasa amat diperlukan.

Kita tidak mahu pelajar ketinggalan dalam teknologi menyebabkan kesenjangan kemahiran dan pengetahuan. Ini akan menghambat inovasi, daya saing dalam peluang pekerjaan dan mempengaruhi prestasi ekonomi keseluruhan pada masa hadapan.

Berbanding pentaksiran berterusan sedia ada dalam pendidikan yang membolehkan pemantauan terhadap perkembangan pelajar dari aspek akademik, personaliti dan kemahiran dikenal pasti, masyarakat perlu faham pembelajaran bukan terhad kepada peringkat pendidikan formal, tetapi berlaku sepanjang hayat.

Ia seiring dengan terus belajar daripada pengalaman, latihan dan interaksi sepanjang kehidupan pelajar. Sehubungan itu, sokongan jitu daripada masyarakat sebagai ibu bapa atau penjaga amat diharapkan supaya domain dalam tujuh teras ini dapat dicapai dengan cemerlang.

Dr Siti Salina Mustakim
Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan,
Fakulti Pengajian Pendidikan, Bidang Pengukuran Pendidikan,
Universiti Putra Malaysia

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 2 December 2023

KERAJAAN PERLU KEKAL, TAMBAH BAIK LALUAN KENAIKAN PANGKAT GURU SECARA 'TIME-BASED'

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR : Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa kerajaan mengekalkan atau menambah baik laluan kenaikan pangkat guru secara time-based dalam Skim Saraan Baharu Perkhidmatan Awam yang bakal dilaksanakan pada 2025.

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata pihaknya juga meminta disegerakan penyelesaian beberapa isu kritikal berkaitan pengoperasian di sekolah rendah termasuk guru besar yang sudah naik ke gred DG52 (secara time-based) dibenar terus memegang jawatan itu sehingga ke gred DG54.

"Permasalahan sekarang, guru besar yang naik ke gred DG52 secara 'time-based' juga perlu mengajar seperti guru biasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Itu antara lapan permintaan dikemuka NUTP kepada kerajaan sempena Persidangan Perwakilan Tritahunan kali ke-23 NUTP yang berakhir hari ini.

Aminuddin berkata, NUTP juga mahu guru penolong di sekolah rendah gred DG48 dibenarkan memegang jawatan sebagai penolong kanan.

Beliau berkata, masalah timbul apabila guru sekolah rendah gred DG48 tidak dibenarkan memegang jawatan sebagai penolong kanan, bahkan guru penolong kanan yang dilantik sebagai penolong kanan semasa, masih di gred DG42 atau DG44.

"Sekarang kenaikan ke gred DG48 pun dibekukan pergerakan untuk bertukar daripada penolong kanan kokurikulum kepada penolong kanan hal ehwal murid, bahkan tidak dibenarkan bertukar sekolah pun," katanya yang turut meminta pelaksanaan warden asrama sekolah berasrama secara sepenuh masa dipercepat bagi mengurangkan beban tugas guru dan mengekang gejala buli di sekolah berasrama.

Sementara itu, Aminuddin berkata, NUTP juga meminta kerajaan memberikan peruntukan kepada sekolah bagi menaik taraf bilik guru, memandangkan sebelum ini peruntukan RM70,000 diberi kepada sekolah bagi menaik taraf dan penyelenggaraan tandas.

Selain itu, beliau berkata, kajian secara menyeluruh terhadap kadar elaun pentadbir di institusi pendidikan juga mesti dilaksanakan.

"Contohnya kadar elaun penolong kanan di sekolah rendah hanya RM60 saja berbanding tanggungjawab besar dipikul.

"Selain itu, pentadbir institusi pendidikan lain seperti pengarah, timbalan pengarah Institut Pendirikan Guru (IPG), kolej matrikulasi langsung tidak ada sebarang elaun.

"Kita juga menyokong pendirian Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tidak mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)," katanya turut memaklumkan penyelesaian secara segera perlu dibuat terhadap isu kekurangan guru di sekolah seluruh negara sama ada melalui pengambilan tetap atau secara kontrak (COS).

Katanya, kesedaran terhadap hal berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di institusi pendidikan juga perlu diperkasakan.

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 22 November 2023

KPM JAMIN KESELAMATAN DI SEMUA INSTITUSI PENDIDIKAN


KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius ancaman keselamatan di beberapa sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat seperti yang dilaporkan oleh media.

Kementerian itu menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan di bawah kelolaannya dan bekerjasama erat dengan polis untuk tujuan berkenaan.

Semua institusi pendidikan di bawah KPM juga diminta mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan.

“Sebarang ancaman keselamatan perlu dilaporkan segera kepada polis dan KPM. Institusi pendidikan juga perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

KPM komited memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan di bawah kelolaannya terpelihara.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata polis menerima 19 laporan mengenai ancaman bom palsu yang dihantar melalui e-mel ke beberapa sekolah swasta dan kerajaan iaitu tujuh di Selangor, Kuala Lumpur (lima), Johor (tiga), Pulau Pinang (dua) dan masing-masing satu di Perak dan Negeri Sembilan.

Hari ini, dua laporan polis diterima melibatkan sebuah sekolah antarabangsa di Kajang, Selangor dan Batu Ferringhi, Pulau Pinang.

BERNAMA ONLINE

BERI PELUANG ANAK DIDIK BERFIKIRAN KREATIF, PENDIDIKAN BERTERASKAN REALITI - TUANKU ZARA

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bertitah pada majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-25 2023

TANJUNG MALIM, 22 Nov (Bernama) -- Golongan pendidik perlu memberi peluang kepada anak didik berfikiran kreatif bagi membolehkan mereka mencabar kelaziman serta diserlahkan dengan pelbagai realiti kehidupan termasuk dipersiap dengan pendidikan berteraskan realiti kehidupan.

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim bertitah guru yang sejati mempunyai roh, semangat dan jati diri yang ikhlas dalam mendidik anak didiknya, bukan sahaja hebat dalam kaedah pengajaran malah memiliki sifat pendidik semula jadi lagi berhemah serta disanjung, dihormati selain dikasihi murid dan masyarakat.

Dalam masa sama, Tuanku Zara bertitah pendidik perlu menjadi warga yang berharga, sedia berkhidmat serta berbakti untuk negara dan masyarakat.

“Perlihatkan sifat-sifat insan berilmu yang tertib, beradab, bersopan dan berbudi bahasa dalam tutur dan perbuatan. Semaikan dan amalkan semangat kenegaraan yang tinggi dengan menumpahkan kesetiaan kepada raja dan negara,” titah Tuanku Zara pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-25 di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam sembah ucapannya berkata konvokesyen kali ini menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 7,616 graduan merangkumi 121 Ijazah Doktor Falsafah, 1,487 Ijazah Sarjana, 4,240 Ijazah Sarjana Muda, 852 diploma serta 916 graduan menerima Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.

Konvokesyen kali ini turut menganugerahkan ijazah secara anumerta kepada waris seorang pelajar pada 29 Nov.

Sempena majlis istiadat sesi pertama juga, Tuanku Zara berkenan menyampaikan watikah pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti kepada bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Ismail yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian dari Universiti Malaya, kemudiannya menyambung pengajian peringkat Sarjana di Universiti of Hull, United Kingdom dan memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada 1995 dan seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam Federalisme Fiskal pada 2004 di universiti yang sama.

Sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 36 tahun, Ismail pernah memegang beberapa portfolio penting antaranya Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan.

Yang terakhir, beliau dilantik sebagai KSN bermula Ogos 2018 sehingga Disember 2019.

Tuanku Zara turut menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja serta beberapa anugerah termasuk Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti (Kepimpinan), Pingat Emas Naib Canselor, Hadiah dan Anugerah Buku, serta beberapa anugerah daripada tokoh dan pemain industri.

Anugerah Pelajaran Diraja dianugerahkan kepada dua pelajar cemerlang iaitu Rossalini Ramzi, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian dan Khoo Shu Yin, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dengan Kepujian.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 18 November 2023

GURU BESAR TINGGAL DALAM STOR SEKOLAH LEBIH TIGA TAHUN DEMI PENDIDIKAN ANAK MURIDNYA

Imej dari tiktok @mr.george_odol


TELUPID, 18 Nov (Bernama) -- ‘Guru umpama lilin membakar diri menerangi orang lain,’ kata-kata yang amat cocok bagi mencerminkan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan George Odol, yang berkorban demi memberikan pendidikan untuk anak muridnya di kawasan pedalaman, di sini.

Masakan tidak, George sanggup tinggal di sebuah stor sekolah sejak dipindahkan ke sekolah tersebut lebih tiga tahun lalu pada pada Jun 2020, namun beliau tidak pernah kesal ke kawasan pedalaman walaupun berdepan pelbagai kesukaran, kerana mahu memberikan pendidikan terbaik untuk anak bangsanya.

George, yang akan bersara wajib pada 27 Nov ini, berkata beliau tinggal di stor berkeluasan 2.74 meter lebar dan 4.87 meter panjang, disebabkan sekolah itu dibina tanpa ada kemudahan rumah guru walaupun berada jauh di pedalaman.

“Saya juga terpaksa berkongsi dapur dan kamar mandi untuk kelas pra-sekolah. Agak sedih juga lah seorang guru besar tinggal di rumah begini sahaja, sudah tiga tahun lebih. Apa boleh buat kami guru-guru terpaksa korbankan keselesaan datang ke sekolah pedalaman untuk anak (murid) kami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perkongsian platform media sosial Tik Tok yang ditonton lebih 68,000 penonton sehingga berita ini ditulis dan perkongsian itu kini tular terutama dalam kalangan warganet di https://www.tiktok.com/@mr.george_odol/video/7301702844569128193

Telupid merupakan sebuah daerah di kawasan pedalaman Sabah dan SK Ulu Ansuan itu terletak kira-kira 230 kilometer dari Kota Kinabalu, dengan perjalanan antara lain menelusuri kaki Gunung Kinabalu serta jalan raya yang kurang baik dan jalan tanah merah.

Menceritakan tentang sekolah itu, George berkata SK Ulu Ansuan mula dibina pada 1999 dan siap pada sekitar 2000 tanpa rumah guru, malah guru yang mula-mula dihantar ke sekolah ini tinggal di rumah orang kampung dan selepas itu kelas yang telah diubah suai.

“Enam tahun selepas itu PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) membina dua rumah untuk guru tinggal, tetapi ala kadar sahaja. Penghujung perkhidmatan saya, telah diluluskan pembinaan rumah panjang tujuh pintu untuk guru tetapi saya utamakan guru luar Telupid, tidak apa saya tinggal dalam stor ini,” katanya.

Beliau yang daripada etnik Kadazandusun berkata kebanyakkan murid di kawasan pedalaman itu dari etnik yang sama, justeru ia memberikan semangat untuk dirinya meneruskan usaha mendidik anak bangsanya sendiri.

“Jika bukan kami guru (etnik) Kadazandusun datang ke sini untuk mendidik anak-anak ini di sekolah pedalaman, siapa lagi yang diharapkan. Inilah pengorbanan kami guru bertugas di kawasan pedalaman Sabah,” katanya yang menambah tidak membawa keluarganya tinggal di sekolah itu kerana isterinya juga seorang guru bertugas di SK Menanam, Telupid.

Sehingga berita ini ditulis, Bernama menghadapi kesukaran untuk menghubungi George kerana liputan telekomunikasi yang agak terhad di kawasan tersebut.

BERNAMA ONLINE

Friday, 10 November 2023

PENDIDIKAN PELABURAN MASA DEPAN, IBU BAPA PASTIKAN ANAK HADIR KE SEKOLAH

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun beramah mesra bersama murid sekolah pada Program Intervensi Kehadiran Murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Tekir di Labu, hari ini

SEREMBAN, 10 Nov (Bernama) -- Pendidikan merupakan satu pelaburan penting bagi masa depan dan ibu bapa memainkan peranan memastikan anak-anak mereka hadir serta mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran ditetapkan di sekolah, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ibu bapa khususnya di negeri ini perlu sedar sekiranya anak-anak ketinggalan dalam bidang pendidikan, impaknya turut terkesan dalam bidang sosial dan ekonomi.

Aminuddin berkata isu keciciran murid terutamanya dalam kalangan Orang Asli juga perlu mendapat perhatian semua pihak supaya mereka menerima pendidikan sama seperti pelajar lain.

“Sebenarnya kegagalan pelajar disebabkan kehadiran, mereka kurang hadir ke sekolah. Pelbagai usaha dilakukan terutamanya mengatasi masalah pelajar lemah dalam pelajaran, tetapi kalau pelajar tidak ke sekolah agak sukar kelas tambahan atau pemulihan dijalankan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program intervensi kehadiran murid Orang Asli bersama Kelloggs di Sekolah Kebangsaan Tekir, Labu, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan negeri (JPNNS) Dr Roslan Hussin, Pengarah Kilang Kellogg Asia Products Sdn Bhd Matan Raj.


Aminuddin berkata dalam usaha menggalakkan pelajar ke sekolah, kerjasama sektor swasta bagi program intervensi dapat menggalakkan kehadiran murid ke sekolah dan mengelakkan gejala ponteng.

Beliau berkata JPNNS dan NS invest (Negeri Sembilan) dicadangkan memperbanyak program intervensi kehadiran pelajar ke sekolah menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai usaha melahirkan lebih ramai masyarakat menjadi pemangkin pembangunan negeri pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Roslan berkata tahap keciciran dan ketidakhadiran pelajar di negeri ini merekodkan peratusan rendah iaitu lapan peratus berbanding di peringkat nasional dalam lingkungan 10 peratus.

“Kita mengambil tindakan yang berfokus bagi masalah keciciran ini. Namun, ada beberapa faktor yang menyebabkan mereka tidak ke sekolah antaranya terpaksa membantu keluarga, ada juga pelajar yang sudah bekerja,” katanya.

Bagi program intervensi kehadiran murid hari ini, Kellogg menyediakan bijirin sarapan pagi iaitu ‘Better Days Promise’ setiap minggu kepada 100 pelajar di sekolah berkenaan bagi tempoh setahun serta pelbagai aktiviti bagi menggalakkan pelajar ke sekolah.


BERNAMA ONLINE


Tuesday, 7 November 2023

KPM, KPT PERLU TUMPU TINGKAT MUTU PENDIDIKAN NEGARA SELARAS PENAMBAHBAIKAN FASILITI - ANWAR

Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama murid sekolah pada majlis penyerahan dan perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan bandar Baru Bangi

BANGI, 7 Nov (Bernama) -- Usaha Kerajaan Perpaduan menambah baik fasiliti pembelajaran di seluruh negara perlu diterjemahkan dengan peningkatan mutu pendidikan murid dan pelajar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memberi penumpuan kepada meningkatkan mutu pendidikan negara seawal tahun hadapan sejajar dengan penambaikan fasiliti itu.

“Tahun ini kita banyak beri perincian, penumpuan kepada keperluan murid dan pelajar selain meningkatkan fasiliti pendidikan di seluruh negara. Tandas dah elok, pembinaan sekolah baharu (menggantikan yang daif) dah siap, prasarana kemudahan semua dah cukup.

“Nak bantuan pun kita bagi, jadi (tahun hadapan) prestasi tak boleh sama macam tahun lepas (2023), kena ada peningkatan, kalau prestasi anak murid tak berubah, kita tidak mahu. Saya dah bagi tahu Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Khaled Nordin (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi) tumpuan lepas ini angkat dan tingkat mutu pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar berkata Malaysia tidak boleh maju dan membangun sekiranya mutu pendidikannya tidak meningkat.

Beliau berkata penekanan berkaitan keperluan dan kepentingan meningkatkan mutu pendidikan negara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri yang akan dipengerusikannya Jumaat ini.

Katanya ikhtiar meningkatkan mutu pendidikan negara bagaimanapun tidak hanya bersandar kepada usaha kementerian sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama dan penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Ya betul, kementerian kena fokus untuk bangunkan penguasaan anak-anak dalam bahasa, matematik, angka, sains dan komputer, tapi juga saya minta PIBG bincang bagaimana penglibatan ibu bapa ini.

“Di rumah pula kita galak ibu bapa beri perhatian kepada anak-anak mereka, setiap malam, pastikan bagaimana anak-anak ini sekurang-kurangnya setengah jam, atau satu jam mereka ulang kaji pelajaran,” katanya.

Anwar berkata guru-guru bagi setiap mata pelajaran juga perlu memperincikan cadangan baharu dalam usaha meningkatkan kefahaman murid dan pelajar dalam setiap subjek.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 28 October 2023

UPSR TAK AKAN DIKEMBALI - FADHLINA

Kementerian Pendidikan tidak akan mengembalikan UPSR. - Foto hiasan 

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), walaupun ada permintaan daripada ibu bapa yang mahu satu penanda aras pencapaian anak mereka.

Menterinya Fadhlina Sidek, berkata tumpuan ketika ini ialah Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 dalam membangunkan kurikulum baharu, bagi memastikan pendidikan masa depan yang lebih baik.

Katanya, ibu bapa boleh membantu kepada usaha kementerian dengan menyertai jelajah kurikulum baharu ini dan memberi pandangan masing-masing.

"Kita mahu libat urus yang meluas untuk (mendapatkan) input-input bagi memperkukuh sistem pendidikan negara.

"Sekarang ini kita nak beri tumpuan kepada pentaksiran holistik kepada anak-anak kita, khususnya pembangunan mereka secara keseluruhan bagi memastikan antaranya karakter boleh diperkukuh," katanya.

Fadhlina berkata demikian ketika ditanya berhubung permintaan segelintir ibu bapa yang menyuarakan UPSR dikembalikan supaya menjadi penanda aras bagi menentukan tahap pencapaian anak.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal merasmikan Pelancaran Taman Angkat Amanita Taman Pekaka, di sini, hari ini.

Ogos lalu, KPM melaksanakan Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 secara dalam talian sebagai langkah membangunkan kurikulum persekolahan yang baharu.

Pelaksanaan tindakan segera dilakukan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran dijalankan secara berkesan dengan merujuk kepada aras yang ditetapkan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran.

Kementerian itu memansuhkan UPSR pada 2021.

BERITA HARIAN ONLINE



Thursday, 26 October 2023

KEMENTERIAN PENDIDIKAN LAKSANA MINGGU SOLIDARITI PALESTIN DARI 29 OKT HINGGA 3 NOV

PUTRAJAYA, 26 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendidikan di bawah KPM bermula 29 Okt hingga 3 Nov ini bagi menyahut pendirian kerajaan untuk terus bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

KPM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan program itu akan diadakan di sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru di seluruh negara.

"Program itu bertujuan mendidik pelajar mengenai nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan. Ini termasuk sikap empati dan keprihatinan terhadap penderitaan yang dialami individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial," menurut kenyataan itu.

Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sepanjang program dan akan disesuaikan berdasarkan garis panduan sedia ada, sekolah dan kumpulan murid terlibat manakala aktiviti kerohanian seperti solat hajat dan bermunajat hanya akan melibatkan murid beragama Islam.

KPM memaklumkan pelaksanaan intervensi diperlukan untuk memberi pencerahan kepada murid berkenaan konflik antarabangsa dan krisis kemanusiaan memandangkan kemajuan teknologi media dan komunikasi pada hari ini menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai kandungan.

"Minggu Solidariti Palestin adalah kesinambungan penerapan nilai-nilai murni yang berteraskan sikap hormat-menghormati, kasih sayang, bertanggungjawab dan kegembiraan seperti yang terkandung dalam pendidikan sivik di sekolah," menurut KPM.

KPM memaklumkan menerusi penganjuran program itu, pelajar turut diberi pendedahan kepada Elemen Merentas Kurikulum (EMK) khususnya berkaitan kelestarian global.

BERNAMA ONLINE

Monday, 16 October 2023

BELANJAWAN 2024 MAMPU MENDAYA UPAYA OKU, LUASKAN AKSES PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) – Belanjawan 2024 yang dibentangkan Kerajaan Perpaduan pada Jumaat lepas dilihat berupaya mendaya upaya Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mandiri serta menyediakan akses lebih luas untuk pendidikan awal kanak-kanak.

Presiden Persatuan OKU Sentral Datuk Ras Adiba Mohd Radzi yang menyambut baik belanjawan itu berkata ini dapat dilihat melalui pelaksanaan Program Latihan MADANI merangkumi program latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada OKU dan warga emas.

“Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan insentif khas sebanyak RM1,500 sebulan selama enam bulan bagi menggaji golongan rentan seperti OKU adalah antara kelompok yang mengharungi detik-detik kesukaran dalam mendapatkan pekerjaan berkualiti dengan ‘gaji bermaruah’,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Negara (OKU) berkata usaha itu akan membantu OKU untuk mendapatkan pekerjaan setaraf dengan kelayakan diri sekali gus berupaya mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia golongan itu.

Ras Adiba berkata peningkatan kadar elaun pelatih OKU daripada RM150 kepada RM300 sebulan dengan peruntukan sebanyak RM30 juta akan memanfaatkan lebih 18,000 pelatih OKU.

Katanya penyediaan peruntukan RM30 juta untuk membekalkan peralatan sokongan pendidikan khas dan menyediakan kemudahan mesra OKU pula adalah selari dengan Pelan Tindakan OKU 2016-2023.

Menurut Ras Adiba peruntukan sebanyak RM5 juta untuk manfaat 5,000 komuniti tumpuan di 105 kolej komuniti di seluruh negara pula akan menggalakkan komuniti rentan seperti OKU, Orang Asli, ibu tunggal dan warga emas mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Sementara itu, Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Majlis ECCE) Prof Dr Mariani Md Nor berkata peruntukan untuk penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak menerusi Belanjawan 2024 menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan taraf pendidikan di peringkat prasekolah dan menggalakkan persekitaran lebih inklusif bagi memastikan akses pendidikan yang saksama terhadap semua kanak-kanak.

Beliau berkata sejumlah RM586 juta turut diperuntuk kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) tahun hadapan selain RM20 juta bagi menaik taraf premis pendidikan awal kanak-kanak KEMAS.

“Belanjawan 2024 Malaysia MADANI bukan sahaja mengutamakan kemajuan pendidikan awal kanak-kanak tetapi juga peluang untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh.

"Kami percaya peruntukan terhadap kebajikan dan pendidikan kanak-kanak amat diperlukan… kanak-kanak adalah aset masa depan dan memerlukan segala kemudahan untuk menjadi lebih dinamik dan progresif,” katanya.

BERNAMA ONLINE

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TARIK DIRI SERTAI PESTA BUKU FRANKFURT 2023

PUTRAJAYA, 16 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt (Frankfurter Buchmesse) 2023 yang dijadualkan berlangsung di Frankfurt, Jerman bulan ini.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira sikap pro-Israel serta sokongan terbuka pihak penganjur terhadap Israel.

Menurut KPM keputusan itu juga selari dengan pendirian kerajaan untuk sentiasa bersolidariti dan memberi sokongan penuh kepada Palestin.

"KPM tidak akan sesekali berkompromi terhadap keganasan Israel di Palestin. Ia jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia," menurut kenyataan itu.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Okt lepas telah mengakibatkan kehilangan ratusan nyawa kedua-dua belah pihak.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 14 October 2023

PENDIDIKAN KEKAL SEBAGAI KOMPONEN UTAMA TERIMA PERUNTUKAN TERTINGGI

Kuala Lumpur: Kerajaan menyediakan RM100 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan memperoleh peralatan baharu untuk pembelajaran aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem)

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebuah Jawatankuasa Khas Stem bakal ditubuhkan bagi meningkatkan penyertaan murid menengah atas dalam aliran Stem.

“Sebuah Jawatankuasa Khas Stem rentas kementerian akan ditubuhkan antaranya untuk menetapkan sasaran serta langkah bagi meningkatkan penyertaan bidang Stem dalam kalangan pelajar sekolah menengah,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, sebanyak 18 blok baharu pendidikan khas akan dibina dengan kos RM180 juta.

Ia membabitkan SMK Kubang Rotan, Kedah; SK Bandar Baru Perda, Pulau Pinang dan SMK Dato’ Ali Ahmad, Perlis.

“Sebanyak RM30 juta juga disediakan untuk membekalkan peralatan sokongan pendidikan khas dan menyediakan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memudahkan urusan murid dan guru di sekolah-sekolah,” katanya.

Menurutnya, RM100 juta disediakan bagi melaksanakan pendekatan holistik untuk semua pihak dalam membantu murid yang terkesan membabitkan murid yang masih tercicir dan memerlukan bimbingan lanjut akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, Penerapan Karamah Insaniah dalam kalangan murid sekolah akan diperluas untuk melaksanakan program pembentukan karakter murid yang menumpukan kepada nilai kepimpinan, sahsiah diri, adab dan integriti.

Malah bagi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang sedang dirangka turut mengambil kira cadangan dan kekhuatiran ibu bapa, warga pendidik dan industri, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara.

Pada pembentangan itu semalam, pendidikan kekal sebagai komponen utama yang menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion ringgit tahun 2023.

HARIAN METRO ONLINE

Saturday, 7 October 2023

KPM KOMITED TINGKATKAN KUALITI, KESAKSAMAAN, AKSES PENDIDIKAN UNTUK SEMUA MURID - FADHLINA

PUTRAJAYA, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited untuk meningkatkan kualiti, kesaksamaan ekuiti dan akses pendidikan bagi semua murid, kata Menterinya Fadhlina Sidek.

Beliau berkata tiada siapa akan dipinggirkan dalam arus pendidikan di negara ini selari dengan hasrat membangun Malaysia MADANI.

“Pendidikan berkualiti adalah milik semua tanpa mengira batasan kaum, agama atau politik,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Jawatankuasa Exco Pendidikan Negeri (MJEPN) KPM Bilangan 1 Tahun 2023 yang dipetik KPM dalam kenyataan semalam.

Mengenai mesyuarat itu, beliau berkata ia merupakan platform untuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) di negeri-negeri mendapat maklumat berkaitan perkembangan pendidikan khususnya melibatkan dasar pendidikan negara terkini.

Katanya ia juga memberi peluang kepada Exco berkenaan mengetengahkan perkara-perkara berkaitan pendidikan di negeri masing-masing secara spesifik.

Menurut Fadhlina, MJEPN itu juga merupakan usaha untuk menjadikan komunikasi antara KPM dengan pihak berkepentingan termasuk Exco Pendidikan negeri-negeri seluruh negara menjadi lebih cekap dan telus.

BERNAMA ONLINE

Tuesday, 3 October 2023

BELANJAWAN 2024: PERUNTUKAN KHUSUS PERLU UNTUK PACU PENDIGITALAN PENDIDIKAN

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Kerajaan perlu memberi tumpuan khusus dalam meningkatkan fasiliti dan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi memastikan agenda pendigitalan pendidikan dalam sistem pendidikan negara dapat dijayakan sepenuhnya pada tahun hadapan

Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara Dr Anuar Ahmad berkata untuk tujuan itu kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Okt ini untuk memacu usaha pendigitalan pendidikan ini.

“Dalam usaha memacu agenda pendigitalan pendidikan, setiap sekolah perlu mempunyai capaian internet yang baik bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di kawasan pedalaman bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

“Selain itu, untuk melancarkan sesi pengajaran dan pembelajaran, penyediaan peranti yang bersesuaian juga perlu diberi keutamaan selain perluasan skim bantuan peranti bagi memastikan lebih ramai murid daripada keluarga miskin mendapat manfaat ini,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Anuar yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata selain itu guru juga perlu dilengkapkan dengan kemahiran pedagogi berteraskan teknologi maklumat.

“Bagi tujuan itu kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan khas untuk program latihan meningkatkan kemahiran pedagogi guru-guru. Selain itu peruntukan bagi menyediakan lebih banyak kandungan digital juga perlu diperuntukan,” katanya.

Anuar berkata bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga harus diangkat sebagai satu aliran perdana dalam sistem pendidikan negara dan bukan lagi sebagai pilihan kedua memandangkan bidang itu hari ini melibatkan aspek teknologi tinggi seperti teknologi kecerdasan buatan termasuk robotik.

“Program TVET juga perlu dipelbagaikan bentuk kursus yang ditawarkan sesuai dengan keperluan semasa seperti memperkenalkan kemahiran teknologi teknikal dalam bidang pengajian TVET pertanian dan penternakan.

“Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peluang pengajian TVET dan teknikal untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia selain membina lebih banyak institusi TVET dan teknikal yang baharu. Bukan itu sahaja, kerajaan juga perlu menyediakan insentif untuk menarik dan melibatkan lebih banyak pihak swasta dalam menyediakan peluang kerjaya dalam bidang TVET dan teknikal,” katanya.

Turut senada pensyarah Kaunseling dan Psikologi Fakulti Pendidikan (UKM) Prof Dr Salleh Amat yang berharap agar infrastruktur ke arah pendigitalan pendidikan khususnya di kawasan luar bandar diberikan perhatian utama bagi mengelakkan pelajar dari kawasan ini terus tercicir daripada perkembangan teknologi semasa.

“Infrastruktur kena tambah baik, kemas kini apa yang sepatutnya, itu paling penting khususnya di kawasan luar bandar kerana bila sebut soal digitalisasi ini yang berkait dengan teknologi selalunya bergerak pantas.

“Kalau betul kerajaan mahu melaksanakan pendigitalan dalam sistem pendidikan negara itu satu usaha yang sangat bagus tetapi kawasan luar bandar jangan dipinggirkan,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Pembangunan Karier UKM berkata peruntukan perlu disediakan bukan sahaja untuk menyediakan fasiliti berteknologi tetapi kemudahan asas seperti bekalan elektrik yang perlu ditambah baik.

“Isu bekalan elektrik terputus di sekolah masih lagi dilaporkan berlaku dan perkara itu boleh mengganggu kelancaran proses pembelajaran murid-murid. Kadang-kadang ada cikgu sekolah macam di Sabah dan Sarawak memaklumkan apabila waktu petang sahaja, bekalan elektrik terputus dan ini menyebabkan anak-anak belajar dalam suasana yang tidak selesa dan panas,” katanya.

Menurutnya selain itu terdapat juga sekolah yang tidak dilengkapi dengan alat pembelajaran seperti projektor sedangkan peralatan asas pengajaran seperti itu sepatutnya sudah tersedia di setiap sekolah bukan sahaja di sekolah bandar tetapi juga luar bandar.

Sementara itu, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) Prof Dr Ahmad Ismail berkata sektor pendidikan tinggi boleh memainkan peranan mereka dalam usaha mencapai agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030.

Dalam hal itu, kerajaan perlu memberi peruntukan khas bagi memboolehkan pensyarah menjalankan kajian berkaitan seterusnya menyumbang semula hasil kajian kepada kerajaan untuk rujukan atau menjadi garis panduan dalam merangka dasar berkaitan.

“Selain itu, peruntukan juga diperlukan untuk menyediakan kemudahan pembantu seperti pasca doktoral dan pembantu penyelidik. Lebih ramai professor emeritus dalam kalangan profesor bersara yang masih aktif juga perlu dilantik dan menyediakan peruntukan kewangan untuk mereka meneruskan kajian berimpak tinggi.

“Dalam usaha untuk memasyarakatkan ilmu menara gading, peruntukan bagi menganjurkan seminar sekurang-kurangnya sekali setahun mengikut bidang juga adalah diperlukan untuk mengumpul maklumat semasa daripada penyelidik khususnya berkaitan isu semasa,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Wednesday, 13 September 2023

KEMENTERIAN PENDIDIKAN KOMITED TANGANI ISU KECICIRAN SEKOLAH

KUNAK, 13 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam menyelesaikan isu kanak-kanak keciciran pendidikan bagi memastikan semua penduduk negara ini memperoleh kesaksamaan pendidikan.

Untuk tujuan itu, KPM menerusi Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Sabah, Jabatan Imigresen Cawangan Sabah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengatasi isu itu, sekali gus mencapai sasaran sifar keciciran persekolahan.

Di Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri melaksanakan pelbagai program bagi membantu menjayakan penyelesaian sifar keciciran, antaranya Operasi Sifar Cicir Sabah (OPSCIS) yang bermula 2018 di 24 Pejabat Pendidikan Daerah bagi meningkatkan enrolmen murid warganegara, murid warganegara tanpa dokumen dan kanak-kanak bukan warganegara yang layak bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

Program OPSCIS melestarikan permuafakatan strategik iaitu penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta (PIBKS) serta sejajar dengan hala tuju pelan strategik organisasi (PSO) Sepakat Sabah Hebat iaitu teras ketujuh - peratus kehadiran murid; menterjemahkan tujuh teras KPM iaitu yang keempat - keciciran murid serta program yang bersifat pusat sehenti serta berimpak tinggi dengan kos rendah.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kunak Ab Malek Abdul Rahim berkata pihaknya giat turun padang bagi meninjau dan membantu menyelesaikan isu kanak-kanak dan murid cicir pendidikan di daerah itu akibat rantaian masalah termasuk isu dokumentasi.

"Baru-baru ini pihak kita turun padang buat program OPSCIS ini di Padang Pekan Kunak, kita buat untuk jumpa para ibu bapa atau penjaga, untuk melihat dari segi dokumentasi mereka, kerana kebanyakan mereka ini menghadapi masalah dokumen pengenalan diri.

"Kita berusaha supaya anak-anak mereka ini boleh dibantu, untuk bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan. Hasil OPSCIS ini kita berjaya membantu lima anak-anak untuk memasuki persekolahan," katanya kepada Bernama.

Sebagai rekod, kejayaan OPSCIS iaitu pada tahun 2020 hingga 2023 telah berjaya mengembalikan kanak-kanak dan murid cicir ke sekolah iaitu seramai 297 murid warganegara, warganegara tanpa dokumen (510) dan bukan warganegara (435).

Ab Malek berkata pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta jabatan lain yang berkaitan untuk memeriksa dokumentasi berkenaan.

“Kesimpulannya, KPM dan JPN Sabah sangat komited untuk memberikan peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak yang layak bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan mengikut Akta Pendidikan 1996 (Akta 550),” katanya.

Selain usaha menangani isu keciciran kanak-kanak warganegara dan kanak-kanak warganegara tanpa dokumen, KPM turut mengambil berat masalah akses pendidikan kanak-kanak bukan warganegara dan tidak bernegara yang terpinggir daripada mendapat pendidikan, susulan masalah kemiskinan, kecelaruan status, tiada halatuju dan terdedah kepada masalah sosial.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang mengadakan lawatan ke negeri ini menerusi Program Tindak Susul (PTS) Parlimen bagi akses pendidikan kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara Ogos lepas, berkata KPM menjalankan beberapa pendekatan supaya anak-anak bermasalah dokumentasi tidak terpinggir daripada ekosistem pendidikan.

Fadhlina turut meluangkan masa ke Pusat Pembangunan Modal Insan (PPMI) di Kampung Kabog yang diusahakan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Sabah, yang kini memberi pendidikan kepada 179 anak-anak bukan warganegara serta tiada kewarganegaraan.

Penyelaras PPMI Kunak Lajamuddi Lajahidi berkata selain di kampung berkenaan, sebuah lagi pusat pendidikan di bawah NGO itu telah dibuka di Kampung Kunak Laut yang memberi bimbingan kepada 69 pelajar yang rata-rata daripada komuniti Pala'u.

"Di PPMI, kita mengadakan pembelajaran akademik dan juga agama, akademik ini kita guna pakai kurikulum yang KPM gunakan sekarang, cuma kita rendahkan aras subjek sedikit bersesuian dengan tahap minda pelajar kita yang tidak boleh memasuki sekolah aliran perdana, manakala bagi subjek agama, kita menggunakan kurikulum Kafa (Kelas Al-Quran dan Fardu Ain) sepenuhnya diajarkan kepada pelajar tahun satu hingga enam dan mereka menduduki ujian penilaian khas Kafa pada tahun lima serta menduduki peperiksaan Sijil Rendah Ugama Kerajaan Negeri pada tahun enam.

"Kita terpanggil untuk membuat kelas ini bagi menangani isu kanak-kanak tercicir pelajaran, memandangkan mereka tidak boleh bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan kerana masalah dokumen, di PPMI Kabog kita hanya ada tiga kelas (pagi) untuk murid tahun satu sehingga tahun tiga manakala tiga kelas lagi sebelah petang (gabungan tahun satu hingga enam)," katanya.

Menurut Lajamuddi, pihaknya hanya berniat untuk membantu masyarakat, selain membantu kerajaan menangani isu keciciran persekolahan.

Katanya terdapat permintaan tinggi untuk memasuki pusat itu namun pengambilan yang diadakan setiap tahun, terpaksa dihadkan berikutan keadaan kelas sempit.

“Misalnya, kelas di PPMI Kabog ini sebenarnya hanya boleh menampung 25 pelajar tetapi ketika ini ada kelas menampung sehingga 40 pelajar," katanya.

PPMI dibuka pada 2011 bertujuan memberi pendidikan kepada komuniti Pala'u sekali gus menangani isu peminta sedekah dalam kalangan mereka.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Kunak Norazlinah Arif berkata kolaborasi Pejabat Pendidikan Daerah bersama Haluan untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak bukan warganegara atau tiada kewarganegaraan, membantu golongan itu menjalani kehidupan yang lebih baik.

BERNAMA ONLINE

Monday, 11 September 2023

KERAJAAN CAKNA ISU KECICIRAN MURID DALAM PENDIDIKAN, AKAN DITANGANI SECARA TUNTAS - PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan cakna dengan isu keciciran murid dalam sistem pendidikan dan ia akan ditangani secara tuntas melalui pembangunan Sistem Pengesanan Murid Cicir Bersepadu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekolah model khas seperti Sekolah Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Komprehensif 11 (K11) akan diperbanyakkan bagi memberi peluang kepada anak-anak dalam kalangan peribumi dan Orang Asli serta dari kawasan pedalaman dan pulau terpencil mendapat akses kepada pendidikan.

"Inisiatif Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) untuk kanak-kanak warganegara yang terpinggir dan tiada dokumen pengenalan diri juga akan diperluas," katanya ketika membentangkan Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata pendidikan karakter yang menyokong konsep karamah insaniah akan diperkenalkan melalui pendekatan sistemik dan holistik, yang diharapkan dapat membangunkan jati diri murid ke arah menjadi bakat global yang dilengkapi dengan ilmu, beretika dan berakhlak mulia.

Beliau berkata kerajaan beriltizam untuk mengislahkan sistem pendidikan bagi melahirkan bakat tersedia negara di masa hadapan, dengan konsep karamah insaniah akan memberi penekanan kepada aspek pembentukan akhlak dan pembangunan sahsiah bagi membentuk jati diri dan melahirkan generasi yang berdaya tahan serta berdaya saing.

Bagi meningkatkan mutu pendidikan negara, Perdana Menteri berkata Dasar Pendidikan Digital (DPD) akan dilancarkan bagi melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0.

"Matlamat DPD adalah untuk melahirkan murid fasih digital yang berdaya saing menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai. Antara inisiatif utama DPD adalah pelaksanaan program latihan peningkatan kompetensi digital pendidikan, penambahbaikan kurikulum program pendidikan dan pewujudan pasukan jauhari pendidikan digital," katanya.

Beliau berkata pembangunan pendidikan yang berteraskan manusiawi secara holistik akan disokong dengan pembentukan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), manakala pendidikan Tingkatan 6 akan terus diperkasa melalui penjenamaan semula kepada Kolej Pra-Universiti.

“Kerajaan akan terus memastikan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan dimartabatkan dalam sistem pendidikan sesuai dengan kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping mempertingkatkan penguasaan bahasa asing sebagai wahana pembinaan tamadun,” katanya.

Anwar berkata kerajaan juga komited untuk memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan tenaga pengajar bidang berkenaan akan digalakkan menjalani latihan kemahiran dan latihan kemahiran semula sekali gus melengkapkan mereka dengan pengetahuan yang seiring dengan perkembangan teknologi baru muncul.

"Bagi meningkatkan kerjasama antara kerajaan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat swasta dalam transformasi program TVET, inisiatif menggalakkan penglibatan industri dalam pelaksanaan program TVET telah diberikan keutamaan," katanya.

Beliau berkata sehingga Julai lepas sebanyak 43 memorandum persefahaman telah dimeterai antara kerajaan dengan 14 GLC dan 29 syarikat swasta melibatkan 12 kementerian berkaitan TVET, merangkumi skop kerjasama seperti sumbangan kepakaran, peralatan, pembangunan kurikulum dan penajaan latihan.

Di samping itu, kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi Program Bina Kerjaya iaitu program peningkatan kemahiran (upskilling) untuk pekerja tidak formal, termasuk pekerja gig dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah.

"Kerajaan percaya keputusan untuk mengkaji peningkatan gaji lepasan TVET mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET sebagai laluan kerjaya," katanya.

Menyedari hampir 50 peratus lepasan SPM tidak menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi, kerajaan turut membuka ruang kepada anak muda untuk mula menceburkan diri lebih awal dalam sektor pembuatan sebagai pekerja berkemahiran dengan gaji berpatutan.

"Melalui inisiatif Akademi dalam Industri (AiI), kerajaan akan menyediakan dana khusus berjumlah RM209 juta bagi melaksanakan usaha ini termasuk penyediaan insentif elaun penempatan. Seramai 50,000 anak muda kita disasarkan mendapat pekerjaan berkemahiran dengan Sijil Kemahiran Malaysia pada akhir RMK12," katanya.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 9 September 2023

KERJASAMA KESATUAN GURU PENTING SALUR AGENDA PENDIDIKAN NEGARA

NILAI, 9 Sept (Bernama) -- Kerjasama kesatuan guru penting bagi memastikan agenda pendidikan negara dapat disampaikan lebih menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata ini kerana Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa menggunakan saluran kesatuan khususnya melalui Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menyampaikan maklumat dan dasar KPM.

“Kesatuan guru juga sentiasa komited memperjuangkan isu pendidikan khususnya menyokong serta membantu kementerian dalam melaksanakan agenda pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan MADANI Memartabatkan 'Karamah Insani' Membangun Generasi MADANI di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini hari ini.

Mengenai seminar itu, Fadhlina berkata Karamah Insani adalah konsep yang menyatukan segmen Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan secara holistik dan bersepadu.

"Citra peribadi keunggulan guru itu harus bermula dengan mempunyai sifat insani untuk melaksanakan agenda pendidikan manusiawi Malaysia MADANI," katanya.

Katanya nilai insani perlu diterapkan dalam kalangan pelajar seperti empati, rahmah, adil dan ihsan antara satu sama lain.

Seminar itu disertai 350 peserta terdiri daripada ahli kesatuan gabungan Kongres, pensyarah USIM, Pensyarah Kolej PERMATA Insan serta pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam dan IPG Kampus Pendidikan Teknik Nilai.

Sementara itu, Fadhlina sekali lagi mengulangi bahawa kementerian perlu memberi perhatian terhadap cabaran dalam sektor pendidikan terutama isu buli, jenayah seksual dan perkauman.

Justeru, menurutnya nilai cinta perlu diterapkan untuk menghakis segala perkara negatif yang wujud sama ada di luar atau dalam sektor pendidikan negara.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 26 August 2023

KURIKULUM BAHARU BUKTI KOMITMEN KPM LAKSANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA - NGO

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Usaha Kementerian Pendidikan (KPM) membangunkan kurikulum persekolahan baharu dengan menilai semula subtopik yang berat dan tidak selari dengan keperluan murid, membuktikan komitmennya dalam melaksanakan transformasi pendidikan negara.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata pembangunan kurikulum yang turut mengambil kira pandangan pakar, pihak berkepentingan dan masyarakat umum itu juga sebagai usaha memastikan sistem pendidikan negara lebih relevan dan berdaya tahan.

“Pendidikan adalah penentu masa depan negara dan sebab itu kita mahu kurikulum yang dibangunkan adalah benar-benar memenuhi kehendak negara, di samping kandungan pembelajaran yang tidak membebankan murid.

“Dalam hal ini subjek yang diajar tidak boleh terlalu banyak teori sahaja terutama mata pelajaran matematik dan sains, sebaliknya perlu ditekankan dalam bentuk amali supaya murid memahami dan berupaya menghayati prinsip yang diajar,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Ali turut mencadangkan rombakan bagi subjek agama supaya ia lebih menekankan pembangunan karakter dan insani, berbanding pengisian kandungan mata pelajaran semata-mata kerana subjek itu berperanan membentuk jati diri dan nilai murni murid.

Sebelum ini KPM memaklumkan sedang melaksanakan tindakan segera bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran, dijalankan secara efektif dengan menilai semula subtopik yang berat dan tidak selari dengan keperluan murid.

Menurut KPM, seramai 1,600 orang termasuk guru, pensyarah, ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan industri, telah dilibatkan dalam 21 sesi libat urus dan pelaksanaan Konvensyen Kurikulum bagi membangunkan kurikulum persekolahan yang baharu.

KPM juga akan melaksanakan satu Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 secara dalam talian, mulai 25 Ogos hingga 15 Sept ini menerusi pautan: https://bit.ly/KurikulumKita2027 bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat mengemukakan pandangan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon menyifatkan usaha menilai semula subtopik dalam kurikulum sekolah adalah wajar, memandangkan silibus yang diperkenalkan kini dilihat agak tinggi dan tidak bersesuaian dengan tahap murid.

Katanya, unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diperkenalkan untuk membentuk kemahiran intelek tinggi dalam kalangan pelajar telah memberi cabaran dalam meningkatkan daya pemikiran murid.

“Justeru NUTP mengalu-alukan langkah yang diambil KPM yang menjalankan tinjauan pelaksanaan kurikulum sekolah itu supaya penjaga yang tidak berpuas hati dengan silibus yang terlalu tinggi dapat melontarkan idea masing-masing.

“Jika pihak jawatankuasa penilaian silibus dibentuk kami berharap guru pakar dan guru cemerlang dilibatkan sekali dalam usaha itu dan bukan dalam kalangan pensyarah universiti yang tidak pernah berada di sekolah sebagai guru,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Tuesday, 22 August 2023

SEKTOR PENDIDIKAN PERLU BERUBAH SEIRING PERKEMBANGAN STEM, BERTEPATAN IR4.0 - CHANG

SEREMBAN, 22 Ogos (Bernama) -- Sektor pendidikan perlu berubah dan lebih fokus seiring perkembangan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekali gus mampu menepati tonggak Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata hal ini kerana pada masa kini, sistem pendidikan negara berdepan dengan cabaran untuk menghasilkan sumber manusia yang memiliki kemahiran sesuai dengan revolusi berkenaan.

“Suatu perkara yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini dan berkait dengan perkembangan STEM ialah IR4.0. Revolusi ini berorientasikan transformasi digital dalam pembangunan mesin dan proses bagi menghasilkan produk yang berkualiti.

“Justeru, bagi berdepan dengan cabaran ini, bidang pendidikan perlu berubah, perkara ini bertepatan dengan sektor pekerjaan pada masa hadapan yang lebih luas, cepat dan saling berhubungan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penutupan STEM Evolution peringkat negeri 2023 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah Yew Boon Lye.

Chang berkata generasi muda juga perlu disiapsiagakan dengan kedinamikan ilmu, kemahiran dan keunggulan karakter yang kuat untuk menempuh cabaran masa hadapan yang sangat rumit.

Dalam pada itu, beliau berkata program STEM Evolution yang sudah memasuki tahun ketiga dianjurkan itu sangat relevan dalam menyokong agenda inovasi negara selain platform menyuburkan lagi pembudayaan inovasi dan kreativiti dalam kalangan anak muda.

“Diharapkan program seumpama ini diperbanyak pada masa hadapan. Saya percaya, pelbagai acara dalam pertandingan ini memberi peluang dan ruang kepada peserta dan semua yang hadir untuk mengukuhkan pendidikan STEM seperti Drone Challange, Young Roboticists Challenge dan STEM Decathlon Challenge,” katanya.

BERNAMA ONLINE