Sunday, 11 February 2024

TEACHER'S KIND GESTURE TOUCHES HEARTS AT SCHOOL POTLUCK EVENT

Pic screen captured from tiktok video

KOTA BARU:A kind-hearted teacher from the East Coast, renowned for his food review on TikTok, recently captured netizens' attention with a heartwarming tale of empathy and inclusivity.

Azfaizal Abdul Aziz, 48, shared how one of his students felt too shy to share their contribution to the class potluck lunch, fearing it was less extravagant than others.

Sharing the story, Azfaizal, who teaches Science, said that the end-of-year party for the sixth graders was organised three days ago.

"I am the class teacher, and on the last day, I planned a 'potluck' concept party, where I brought the main dish and asked parents to contribute additional food.

"On the day of the party, there were all sorts of food brought by the students, and like in other classes, I tasted each one.

"I saw the students' happy reactions when I tasted their food, and after tasting everything, I found a container of agar-agar (hard jelly) placed beside the water dispenser.

"I opened the container, ate it, and invited other students to join. I wanted to be fair and didn't want any student to feel upset if their food was left untouched, even if it was just agar-agar," he said when contacted.

Azfaizal said the agar-agar he tasted was delicious, and he tried asking who brought the dish, but no one answered.

"My heart was also touched when I tasted the dessert because I knew my students come from poor backgrounds.

@azfaizalaziz

Terasa betul dlm lubuk hati, murid susah ke, murid senang ke, kaya dan miskin tu hanya atas dunia je. Cikgu layan sama rata je dik..


"So, I understood that was all they could bring to the party, and maybe they were embarrassed to show that food... perhaps worried that no one would want to taste it," he said.

Azfaizal also added that his intention in sharing the video on TikTok was not to shame anyone but simply to share a moment that touched his heart.

"I didn't expect it to go viral to the extent of almost 10,000 comments. I read mostly positive comments, saying that what I did (commenting on and tasting the food) was a good initiative.

"Thank you for the positive comments. I want to convey to everyone who watched the video that you should not be ashamed of your mother's cooking because their cooking is the best.

"I hope other teacher friends can also appreciate the food or any gifts given by students because it will make them proud, and they will also share it with their parents at home." he said.

NEW STRAITS TIMES ONLINE

Sunday, 4 February 2024

CUACA PANAS, SESI PERSEKOLAHAN BERBAKI BEBERAPA HARI TETAP DITERUSKAN - KKM

Fadhlina beramah mesra bersama warga pendidik selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Kedah di Kolej Vokasional Sungai Petani 2, hari ini.

SUNGAI PETANI: Kementerian Pendidikan (KPM) menasihatkan guru dan ibu bapa memantau keadaan anak mereka ketika berdepan cuaca panas akibat daripada fenomena El Nino.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata sesi persekolahan yang berbaki beberapa hari lagi tetap akan diteruskan seperti biasa dengan pemantauan kementerian dari semasa ke semasa.

"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan saya mohon untuk ibu bapa serta guru dalam masa empat hari berbaki dan seterusnya apabila cuti sekolah ini mesti pantaulah keadaan anak.

"Jangan lupa minum air, pantau kesihatan anak, Insya-Allah tak ada apa-apa, sikit lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Kedah di Kolej Vokasional Sungai Petani 2, di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, KPM mempunyai garis panduan berkaitan fenomena cuaca negara dan akan memberi peringatan dan nasihat mengikut keadaan semasa di peringkat sekolah khususnya.

Katanya, kementerian akan menangani isu berkaitan dengan baik sekiranya terdapat sebarang isu berbangkit ketika musim panas.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) semalam mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga di tiga kawasan di Kedah.

METMalaysia dalam satu hantaran, memaklumkan tiga kawasan terbabit adalah Pokok Sena, Pendang dan Baling.

Katanya, status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga dikeluarkan bagi suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius.

Sementara itu, Fadhlina berkata sejumlah RM45,396,000 BAP diperuntukkan untuk 302,640 orang murid di 750 sekolah di Kedah.

Katanya, BAP adalah inisiatif khususuntuk membantu mengurangkan beban persediaan persekolahan sesi baru persekolahan yang bakal menjelang.

"Selain BAP, KPM turut menyediakan pelbagai jenis bantuan untuk membantu pelajar sekolah termasuk Bantuan Makanan Prasekolah (BMP) untuk semua murid prasekolah KPM, Rancangan Makanan Tambahan (RMT), peluasan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) dan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP).

"Kesemua bantuan ini menggambarkan keprihatinan KPM untuk mengatasi isu kemiskinan multi dimensi dan dalam masa yang sama menoktahkan keciciran dalam kalangan murid," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 30 January 2024

PIHAK PENGURUSAN SEKOLAH TAK WAJAR BERBELANJA BOROS ANJUR MAJLIS GRADUASI 'MEWAH'

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Trend berbelanja secara boros dengan mengadakan majlis graduasi di hotel wajar dielakkan kerana ia membawa banyak implikasi negatif merangkumi semua pihak daripada pelajar, ibu bapa hinggalah institusi sekolah itu sendiri.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pihaknya mencadangkan sekolah dan PIBG lebih baik berjimat memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan menggunakan dana yang ada untuk manfaat lain yang lebih penting.

"Jika sekolah hendak menganjurkan majlis graduasi, mengapa tidak gunakan dewan sekolah atau dewan berhampiran seperti dewan orang ramai, dewan masjid atau dewan di bawah pihak berkuasa tempatan atau agensi kerajaan.

"Ini sudah tentu menjimatkan, malah boleh disertai lebih ramai pelajar dan ibu bapa mereka dan yang lebih penting tidak membebankan pelajar dan ibu bapa.

"Usahlah digalakkan bermewah sebegini, ada rasa nak berlawan dan bangga bila aktiviti sekolah diadakan di hotel," katanya kepada BH hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, ada ibu bapa terpaksa merelakan juga untuk membayar di antara RM150 hingga RM200 semata-mata mahu anak hadir majlis graduasi anjuran sekolah di hotel mewah.

Malah, seorang pengguna media sosial, Adrea Abdullah, yang berkongsi pengalaman dan pandangannya menerusi video di Facebook, mendakwa jika ada ibu bapa yang enggan bayar, ini mungkin mengakibatkan anak mereka pula berasa tertekan dan malu kerana tidak menghadiri majlis berkenaan bersama rakan.

Beliau turut mendakwa ada sekolah yang mewajibkan murid menghadiri majlis graduasi tanpa berbincang dengan waris terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, adalah wajar untuk program sedemikian diperhalusi dengan melihat kesesuaian trend 'Majlis Graduasi' di sekolah diteruskan atau sebaliknya.

"Negara dan rakyat masih berjuang menangani inflasi dan kos sara hidup yang belum selesai dan tentu bukan semua ibu bapa atau penjaga dapat membiayai (kos bagi program sedemikian).

"Jadi, PIBGN cadangkan (jika sekalipun ia diadakan), buatlah secara sederhana. Adalah lebih baik jika sekolah atau PIBG boleh mendapatkan tajaan syarikat swasta berhampiran atas dasar tanggungjawab sosial korporat," katanya.

Beliau turut menyarankan Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan surat pekeliling untuk melarang atau sekurang-kurangnya menasihatkan supaya sambutan graduasi tidak dibuat secara berlebihan.

"Adalah lebih baik untuk KPM turut mengeluarkan satu garis panduan mengenai perkara ini. Selain itu, pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memantau dan memberi kata putus pengelolaan terbabit agar semua pihak merasa tidak tersisih, terbeban dan terasing," katanya.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Mohd Azizee Hasan, berkata matlamat penganjuran majlis graduasi adalah baik sebagai satu bentuk motivasi dan penghargaan untuk pelajar, namun ia perlu dilihat secara menyeluruh terutama pertimbangan mengenai kekangan di pihak ibu bapa.

"Penganjuran majlis graduasi bagi meraikan pelajar yang bakal menamatkan tempoh pembelajaran mereka selama 5 tahun adalah satu aktiviti yang baik. Namun, janganlah sehingga (seakan) wujud trend berlumba-lumba dan bermegah.

"Sepatutnya, keutamaan kita ialah memastikan emosi murid, guru dan ibu bapa cukup rapi, apatah lagi untuk pelajar yang sedang menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Tambahnya, sekolah juga sebaiknya mendapatkan persetujuan ibu bapa jika ingin melaksanakan program sedemikian.

Melalui langkah ini, katanya, dapat mengelakkan sebarang masalah berbangkit terutama berkaitan beban kewangan.

BERITA HARIAN ONLINE

Friday, 19 January 2024

iDME: KPM PANTAU SETIAP JAM, PASTIKAN BERADA DALAM KEADAAN BAIK

Fadhlina berucap memberi amanat pada majlis amanat Menteri Pendidikan Tahun Baharu 2024 di Auditorium Kompleks E.

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memantau Sistem Pengurusan Identiti (iDME) setiap jam untuk memastikan sistem itu berada dalam keadaan baik.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata KPM juga menambah baik sistem terbabit dari semasa ke semasa supaya ia dapat digunakan sepenuhnya.

"Itu kita tambah baik dari semasa ke semasa dan kita pantau dengan ketat kerana kita tahu proses ini, maknanya dalam konteks guru atau pelanggan kita yang menggunakan sepenuhnya untuk tujuan berkaitan pentaksiran anak-anak kita.

"Jadi memang kita pantau setiap jam untuk memastikan ia berada dalam keadaan baik," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Amanat 2024 KPM di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mahu KPM melihat semula penggunaan sistem terbabit.

Semalam, Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon, berkata terdapat keluhan daripada pendidik melalui media sosial dan aduan diterima mendapati guru amat tertekan dengan sistem terbabit.

Katanya, sistem itu dibangunkan bagi membolehkan warga pendidik mengakses beberapa aplikasi yang ada bertujuan memudahkan warga pendidik mengaksesnya melalui laman web iDME.

Bagaimanapun, dakwanya sistem seolah-olah tidak berfungsi walaupun ada guru menggunakan internet 500mbps dan ia masih lagi perlahan dan sukar menyelesaikan pengisian.

Mengenai gesaan pelbagai pihak supaya garis panduan Program Dwibahasa (DLP) disemak semula , Fadhlina menegaskan isu terbabit tidak lagi berbangkit.

"Isu DLP ini kita tangani dari semasa ke semasa dan kita sudah beri penegasan kita. Maknanya setiap kali ditanya, kita kekal dengan keputusan kita, ada garis panduan yang perlu dipatuhi.

"Isu ini tidak berbangkit lagi dan bertepatan dengan hasrat kita untuk program memperkukuh Bahasa Melayu dan mempertingkatkan Bahasa Inggeris," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

SESI PERSEKOLAHAN 2024/2025: MURID DIBENAR PAKAI UNIFORM DUA HARI, BAJU SUKAN DUA HARI

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan murid memakai pakaian seragam sekolah untuk dua hari diikuti pakaian sukan selama dua hari dan sehari untuk pakaian kokurikulum bagi sesi persekolahan 2024/2025 mulai Mac ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata kebenaran itu adalah garis panduan baharu berkaitan pemakaian seragam murid yang ditetapkan KPM.

"KPM memutuskan bagi sesi 2024/2025 bermula Mac ini, selepas sesi libat urus dilaksanakan dengan semua pihak berkaitan termasuk pemegang taruh, maka pakaian seragam di sekolah sesi 2024/2025 diteruskan seperti berikut.

"Dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian kokurikulum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat 2024 KPM di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, perincian mengenai garis panduan itu akan dimaklumkan kepada semua pihak dalam tempoh terdekat.

Ketika ditemui selepas majlis amanat itu, Fadhlina menjelaskan pihak sekolah akan diberi kuasa autonomi untuk menentukan hari pemakaian seperti yang ditetapkan dalam garis panduan berkenaan.

"Ya, itu akan diperincikan dalam surat makluman nanti mengenai autonomi yang akan diberikan kepada pihak sekolah nanti asalkan mereka mengikut dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan sehari pakaian kokurikulum.

"Selain itu, bagi kita ini adalah penegasan keputusan untuk meringankan beban ibu bapa yang berhasrat membuat persiapan lebih awal," katanya.

Pada 3 Mei tahun lalu, KPM memberikan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya untuk memakai pakaian sukan semasa cuaca panas dan kering.

Murid yang memakai pakaian seragam sekolah pula tidak diwajibkan memakai tali leher, memandangkan keadaan cuaca panas boleh mencetuskan gelombang haba yang memudaratkan kesihatan.

Sementara itu, Fadhlina berkata, beliau menzahirkan rasa gembira dengan inisiatif membabitkan penambahan guru.

Jelasnya, sehingga Disember 2023, KPM berjaya membuat penempatan seramai 18,792 guru baharu.

"Secara peribadi saya sangat bahagia dengan inisiatif ini iaitu penambahan pengambilan guru baharu yang sangat signifikan.

"Insya-Allah, (penambahan guru baharu ini) akan bertambah lagi sebelum berakhir sesi penggal persekolahan 2023/2024," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 18 January 2024

TERIMA RUNGUTAN DARIPADA GURU, NUTP MAHU KPM LIHAT SEMULA iDME

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Kementerian Pendidikan (KPM) melihat semula penggunaan Sistem Pengurusan Identiti (iDME) dengan melaksanakan ujian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan arahan kepada guru.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon, berkata terdapat keluhan daripada pendidik melalui media sosial dan aduan diterima mendapati guru amat tertekan.

Katanya, sistem itu dibangunkan bagi membolehkan warga pendidik mengakses beberapa aplikasi yang ada bertujuan memudahkan warga pendidik mengaksesnya melalui laman web iDME.

"Jika dilihat sistem ini diakses secara 'single sign on' iaitu pengaksesan tersebut adalah secara tunggal melalui laman web IDME dan semua warga pendidik yang mengisi markah pentaksiran perlu melalui sistem itu.

"Jika berdasarkan maklumat itu, sudah pasti sistem berkenaan adalah satu sistem yang terbaik daripada KPM dan tidak sepatutnya wujud masalah yang sukar ditangani.

"Bagaimanapun, hari ini, NUTP telah dihujani aduan berhubung dengan sistem iDME ini yang mana permasalahan itu adalah masalah sama seperti masa lalu.

"Guru yang cuba masuk ke sistem tersebut menjadi tertekan kerana tidak berjaya apabila sentiasa 'loading'," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata ada guru terpaksa masuk ke sistem berkenaan pada jam 12 tengah malam dan berlarutan sehingga jam 2 pagi.

Katanya, ada juga terpaksa berulang kali melayari sistem dan jika berjaya serta mengambil masa yang terlalu lama untuk mengisi data bagi seorang murid.

"Sistem seolah-olah tidak berfungsi walaupun ada guru menggunakan internet 500mbps dan ia masih lagi perlahan dan sukar menyelesaikan pengisian," katanya.

Fouzi berkata, masalah lain diutarakan kepada NUTP, apabila guru berjaya masuk ke sistem, markah yang dimasukkan didapati hilang kerana tidak berjaya disimpan secara automatik dan terpaksa memulakan semula langkah memasukkan dari awal sehingga berjaya mengisi sepenuhnya.

Katanya, perkara itu amat membebankan kerana telah menggunakan masa yang lama dalam melaksanakan tugasan yang tidak produktif langsung.

"Pihak NUTP mendapati setiap aduan yang diterima rata-rata merungut sistem berkenaan seolah-olah masih berada di peringkat ujian walaupun sudah beberapa tahun diperkenalkan.

"Isu yang dihadapi tetap masalah yang sama, tiada sebarang perubahan. Masa pengisian terlalu pendek tetapi data yang perlu dimasukkan terlalu banyak seperti BMI, Segak, PAJSK, PBD, UASA serta SSDM.

"Sistem ini juga didapati tidak mesra pengguna kerana sukar difahami selain dari sistem yang terlalu perlahan dan ibu bapa juga tidak boleh mengakses untuk melihat pencapaian anak mereka," katanya.

Beliau berkata, guru turut mempersoalkan tindakan KPM yang menamatkan penggunaan Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang lebih baik dan boleh digunakan oleh guru dan ibu bapa.


BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 11 January 2024

KPM KUMPUL PANDANGAN GARIS PANDUAN PAKAIAN SERAGAM SEKOLAH

Fadhlina (tiga, kiri) ketika melakukan lawatan kerja berikutan gangguan bekalan air di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong hari ini. - foto BERNAMA

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengumpul pandangan dan input daripada semua pihak berhubung garis panduan pemakaian murid ke sekolah, sama ada tidak perlu memakai pakaian seragam untuk sesi persekolahan akan datang.

Menteri, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya mengambil pendekatan terbuka berhubung isu tersebut dan setakat ini masih terus memberi kelonggaran kepada murid untuk hadir ke sekolah tanpa seragam.

"Kita masih mendengar pandangan, input dan sumbang saran daripada semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan pemegang taruh berkaitan isu pakaian seragam ini. Setakat ini kita belum buat sebarang keputusan lagi.

"Tapi untuk setakat ini, teruskan dengan pemakaian yang ada, yang penting pergi ke sekolah dengan berpakaian. Itu yang penting," katanya hari ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui selepas mengadakan lawatan kerja gangguan bekalan air di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, di sini dan sebelum itu turut meninjau SMK Raja Tun Uda di Bayan Lepas dan SMK Permatang Pasir di Permatang Pauh.

Pada 3 Mei tahun lalu, KPM membenarkan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikannya memakai pakaian sukan ekoran cuaca panas dan kebenaran khas itu bertujuan mengelakkan komplikasi kesihatan.

Mengulas lawatan kerjanya hari ini, Fadhlina berkata, beliau melihat komitmen tinggi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah khususnya para guru dalam memastikan pendidikan murid di sekolah masing-masing tidak terjejas.

Beliau melihat guru-guru melakukan persediaan yang amat baik dalam melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas semua sekolah di Pulau Pinang melaksanakan PdPR ekoran gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula semalam.

Sebelum ini media melaporkan semua sekolah di Pulau Pinang kecuali pelajar Tingkatan Lima dan Kolej Pra-Universiti akan menjalani sesi PdPR susulan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari, bermula 10 Januari.

BERITA HARIAN ONLINE

Monday, 8 January 2024

MURID PERLU DIASINGKAN KELAS IKUT KEMAMPUAN

Foto hiasan

PADA 2019 lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan sepenuhnya sistem pengasingan kelas bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Sejak itu, tiada lagi istilah kelas hadapan atau belakang sebaliknya semua murid diagihkan sama rata tanpa mengira tahap pencapaian mereka dalam pelajaran.

Meskipun ramai melihat ia hal positif selari dengan PdP yang tidak lagi menekan murid dengan peperiksaan, namun terdapat sebahagian guru dan pakar pendidikan meminta ia disemak semula. Hal disebabkan PdP sukar dilaksanakan kerana aras murid tidak sekata dan memaksa guru menyediakan bahan berbeza untuk murid memiliki kefahaman laju, sederhana dan perlahan.

Keadaan ini melambatkan proses pembelajaran malah ada murid yang asalnya rajin dan pintar menjadi malas serta keputusan peperiksaan mereka merudum.

Pensyarah di Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Siti Rahaimah Ali, berpandangan hasrat KPM mencampurkan murid mengikut pelbagai aras kecerdasan di dalam sebuah bilik darjah ada baik dan buruknya.

Katanya, positifnya situasi percampuran murid menjadi pemudah cara PdP berasaskan kaedah pembelajaran koperatif iaitu sistem tolong-menolong iaitu murid lemah diharap akan dibantu oleh rakan yang cemerlang.

Hal ini katanya menyumbang sesi PdP yang lebih teratur dan memudahkan pihak guru dalam melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) selain selari dengan pembelajaran abad ke-21 (PAK21) yang menekankan konsep komunikasi dan kolaboratif dalam kumpulan kecil.

"Murid tidak perlu diasingkan mengikut kelas seperti sebelum ini kerana pembelajaran murid di sekolah rendah bukan dinilai berdasarkan peperiksaan, namun kini berfokus kepada kefahaman mereka dalam sesuatu topik.

"Kita nak ukur murid dari segi pemahaman topik dan aplikasi konsep bagi setiap mata pelajaran.

"Pada usia yang muda, mereka perlu dididik untuk lebih memahami apa yang dipelajari dan bagaimana ilmu itu boleh dimanfaatkan," katanya.

Katanya, keberkesanan sesuatu polisi KPM mengambil masa untuk dilihat. Bagaimanapun, tegasnya dalam hal ini pandangan guru juga harus diambil berat. Hal ini kerana mereka insan yang memainkan peranan utama di dalam kelas dan rungutan dilontarkan golongan itu pastinya berdasarkan pengalaman dan berasas.

Beliau berkata, cara terbaik golongan guru boleh menyampaikan cadangan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang melaksanakan kunjung bantu sepanjang tahun.

"Melalui pemerhatian dan juga bukti yang ditunjukkan oleh guru melalui PdP di dalam kelas mahupun instrumen bertulis atau temu bual, PPD dapat membuat penilaian dengan jelas mengenai jurang antara setiap murid yang ada di dalam kelas dan sama ada pengasingan kelas mengikut keupayaan murid itu relevan atau tidak," katanya.

Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Pendidikan Dasar dan Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan dari Universiti Malaya, Dr Abd Razak Zakaria pula berpandangan guru seharusnya diberikan hak untuk menentukan teknik, strategi dan kaedah pengajaran serta pembelajaran mengikut cara dan acuan mereka sendiri.

Beliau berkata, KPM tidak seharusnya campur tangan dalam pelaksanaan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) guru dalam menentukan hala tuju sekolah dalam mendidik murid.

"Berikan ruang untuk guru menentukan cara pengagihan murid di sekolah selagi ia tidak menyentuh peluang yang sama rata kepada keperluan murid dalam mendapatkan pendidikan.

"Pengagihan kuasa mendidik harus diberikan kepada sekolah dan guru dalam mencorak budaya pembelajaran yang sihat dalam persekitaran kondusif.

"Tidak perlu KPM menentukan cara bagaimana sekolah harus menguruskan murid kerana pentadbir sekolah sudah pun terlatih dalam menentukan cara mana yang terbaik dalam mencorak murid di sekolah," katanya.

Abd Razak berkata, sesuatu polisi yang terlalu mengekang keupayaan sekolah dan guru dalam menentukan hala tuju PdP murid seharusnya dihentikan, seterusnya beri ruang kepada mereka 'berkarya' dengan cara sendiri selagi tidak bertentangan dengan polisi dan matlamat pendidikan.

Tegasnya, globalisasi dalam sektor pendidikan sudah lama berlaku dan polisinya harus mengikut perubahan masyarakat. Namun, setakat ini Malaysia masih tidak mengambil iktibar daripadanya.

"Polisi yang tidak berkembang seharusnya ditinggalkan, misi dan visi pendidikan berubah mengikut keperluan zaman seharusnya melihat sekolah sebagai satu institusi yang bebas daripada pengaruh kuasa dan politik.

"Pentadbir dan guru di sekolah harus diberikan peluang untuk membentuk polisi mereka dalam melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis sebagaimana digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, guru dan pentadbir di sekolah ketika ini dilihat hanya menurut arahan tanpa cuba menyuarakan pendapat yang terpendam dalam kalangan mereka, sedangkan sebarang bantahan atau pendapat boleh disuarakan melalui surat terbuka kepada KPM.

"Melalui surat terbuka ini, pendapat mereka harus dijelaskan secara terperinci dengan alasan yang munasabah.

"Mereka juga boleh menyuarakan pendapat melalui Kesatuan Guru yang sepatutnya menjadi orang tengah dalam menguraikan kemelut yang berlaku.

"Sikap profesional KPM juga diperlukan dalam mendengar keluhan pentadbir dan guru yang menjadi tiang utama dalam pendidikan," katanya.

Tegas Abd Razak, kebebasan sekolah dan guru dalam melestarikan pendidikan dan menghasilkan modal insan yang seimbang harus dihargai kerana mereka yang bertungkus lumus menjayakan misi dan visi KPM.

"Guru berusaha mendidik anak bangsa selama dalam perkhidmatan dan usaha mereka ini perlu dilihat sebagai pemangkin dalam melahirkan murid yang berkembang secara holistik.

"Peringkat atasan lebih melihat kepada hasil, tetapi tidak menyelami usaha yang dilakukan oleh pihak sekolah dan guru di peringkat bawahan.

"Justeru, mereka perlu diberi ruang yang lebih besar dalam menentukan acuan yang akan digunakan dalam membentuk generasi pada masa akan datang," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 19 December 2023

USAH MELULU AMBIL MODEL PENDIDIKAN LUAR


Foto hiasan

Dunia pendidikan menyaksikan penetapan sengit pada kedudukan antarabangsa, khususnya Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) baru-baru ini. Pendidikan menjadi medan pertempuran, dengan negara bersaing untuk tempat teratas dalam ranking ini.

Walaupun ia berupaya memberikan peluang penambahbaikan, ia juga menimbulkan persoalan penting iaitu mengenai mengejar kedudukan ranking semata-mata dan pengajaran boleh diambil Malaysia dari negara lain mengharungi fenomena ini.

Pengajaran dari negara berskor tinggi prestasi cemerlang seperti Singapura dalam PISA boleh dikaitkan dengan faktor seperti pelaburan besar dalam pendidikan, penekanan kuat terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta tumpuan menarik bakat pakar teknologi sedunia seperti pengenalan visa baharu 'Tech-Pass' mereka.

Bagaimanapun, kebimbangan mengenai waktu persekolahan bertambah, tuisyen panjang, risiko dan tekanan untuk capaian pelbagai ujian menghantui ciri pembelajaran di Singapura. Peningkatan markah PISA bagi China baru-baru ini dan kehadiran universiti terkenal di sana mempamerkan peningkatan kuasa negara itu dalam dunia pendidikan.

Seperti Korea Selatan, satu lagi negara berprestasi tinggi dalam ranking PISA, mereka menekankan kerja keras, disiplin dan ujian piawai untuk melahirkan generasi pelajar mahir dalam matematik dan sains.

Bagaimanapun, kebimbangan terhadap pembelajaran hafalan, kekurangan kreativiti, tekanan kuat untuk berjaya dan tekanan ke atas pelajar, memerlukan pertimbangan teliti.

Finland, sebaliknya, membentangkan pendekatan berbeza. Walaupun mempunyai kedudukan lebih rendah untuk institusi pengajian tingginya, Finland secara konsisten berada pada kedudukan antara berprestasi tinggi dalam PISA.

Ini menunjukkan Finland mungkin melakukan sesuatu yang betul dari segi pendidikan rendah dan menengah. Sistem Finland mengutamakan ekuiti, kesejahteraan dan pembelajaran berasaskan keseronokan, membawa kepada persekitaran pembelajaran positif dan memupuk minat untuk belajar.

Walaupun dipuji kerana pendekatan holistik, pengkritik berpendapat sistem Finland terlalu santai dan mungkin tidak menyediakan pelajar dengan secukupnya untuk menghadapi tekanan pendidikan tinggi atau realiti zaman pekerjaan.

Sementara itu, desentralisasi sistem pendidikan Amerika Syarikat (AS) ke dalam pentadbiran pendidikan berasaskan daerah berautonomi menimbulkan cabaran dalam penanda aras nasional mereka.

Hakikatnya, walaupun ujian piawai dan akauntabiliti dapat dilaksanakan, kebimbangan AS mengenai guru mereka 'mengajar mengikut ujian', penyempitan kurikulum dan ekuiti untuk pelajar kurang bernasib baik terus kekal.

Bagi Thailand dan Indonesia, mendaki tangga kedudukan antarabangsa menjadi satu kemestian strategik yang membawa kepada tindak balas kerajaan pelbagai serampang. Thailand menubuhkan Jawatankuasa PISA Kebangsaan pada Oktober lalu bertujuan menambah baik keputusan mereka dalam penilaian 2025.

Indonesia, menerusi sebagai sebahagian 'Wawasan Indonesia Emas 2045', memperuntukkan bajet pendidikan memecahkan rekod sebanyak 660.8 trilion rupiah untuk 2024, melaksanakan pembaharuan sekolah dengan konsep Merdeka Belajar, pembaharuan kurikulum iaitu Kurikulum Merdeka dan melabur dalam program latihan perguruan.

Abai bakat umum tempatan

Bagaimanapun, kebimbangan kekal mengenai penjajaran usaha ini dengan keperluan dan konteks khusus mereka. Pengkritik berpendapat penekanan pada kedudukan ranking mengabaikan kepentingan memupuk bakat umum tempatan dan gagal menangani ekuiti pendidikan. Ini boleh mewujudkan sistem pendidikan dua darjat tidak setara.

Malaysia sebagai negara giat terbabit dalam pembaharuan pendidikan, tidak asing dengan fenomena ini. Namun, dasar Malaysia mengutamakan kualiti dan ekuiti pendidikan.

Ramai di antara akademik menyedari skor PISA sering gagal mencerminkan spektrum penuh kejayaan pendidikan, dengan mengabaikan faktor seperti kesejahteraan pelajar, pembangunan holistik dan inovasi.

Walaupun menyedari batasan dalam metrik PISA ini, golongan akademik masih mengiktiraf pengaruhnya dan melaksanakan pembaharuan dengan sewajarnya.

Di bawah konsep Malaysia MADANI, penggubal dasar Malaysia menyasarkan kesaksamaan melalui intervensi untuk sekolah kurang sumber, biasiswa untuk pelajar kurang bernasib baik dan program menggalakkan keterangkuman.

Pembiayaan berasaskan hasil, pelaburan teknologi dan skim baharu untuk menarik pendidik bergraduan menangani kebimbangan kualiti pembelajaran.

Pada masa sama, inisiatif seperti Rangka Kerja Kurikulum Sekolah 2027 menyasarkan pemikiran kritis, kreativiti dan penyelesaian masalah di samping pengetahuan asas kukuh menekankan dimensi moral, adab dan integriti.

Pendekatan pelbagai serampang ini bertujuan meningkatkan hasil pendidikan di seluruh Malaysia sambil mengemudi kerumitan kedudukan antarabangsa dan membina sistem pendidikan benar-benar bertaraf dunia.

Kesimpulannya, apabila ahli politik di seluruh dunia taasub dengan kedudukan ranking PISA masing-masing, golongan cendekiawan Malaysia boleh mendapat manfaat daripada pembelajaran daripada negara lain.

Bagaimanapun, ahli akademik negara mesti mengelak daripada mengutamakan perbandingan antarabangsa berbanding pendekatan berkaitan kontekstual.

Walaupun pengajaran daripada kejayaan negara lain adalah berharga, meniru model mereka secara membuta-tuli mungkin tidak begitu berkesan dalam konteks Malaysia yang unik.

Dr Syed Alwee Alsagoff
Felo, Majlis Profesor Negara

BERITA HARIAN ONLINE

KONSEP MALAYSIA MADANI TERAP NILAI KEMANUSIAAN MURID


Foto hiasan

Jika ditelusuri hari penting berlaku sepanjang 2023 yang semakin hampir melabuhkan tirainya, tema diserlahkan berkait dengan konsep Malaysia MADANI diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bermula dengan Hari Pekerja bertemakan 'Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia MADANI', Hari Guru (Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI.

Tema sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pula 'Perpaduan Teras Malaysia MADANI'. Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September menggunakan tema sama 'Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan'.

Sehubungan itu, tema dipilih untuk hari penting sepanjang tahun ini jelas menunjukkan penekanan kepada konsep MADANI sebagai teraju utama.

Antara konsep penting MADANI ialah prinsip keseimbangan dan mampan. Prinsip ini menjamin keadilan untuk semua tanpa diskriminasi, ketidakadilan atau penindasan.

Dalam prinsip keseimbangan, semua rakyat seharusnya dilayan secara adil dan sama rata. Hal ini bertujuan mewujudkan masyarakat seimbang dan mampan serta semua rakyat boleh hidup dalam kesejahteraan.

Namun, menjelang bulan terakhir 2023, dunia dikejutkan dengan perang Palestin-Israel menyebabkan puluhan ribu nyawa rakyat Gaza tidak berdosa menjadi korban.

Malaysia melalui Anwar menyatakan pendirian negara berkenaan konflik itu. Ia turut diterjemahkan dalam pelbagai aktiviti kesedaran di sekolah.

Apa yang lebih penting ialah aspek empati dan kemanusiaan ini bukan satu proses bersifat one-off tatkala konflik meragut ribuan nyawa manusia berlaku.

Selaras dengan konsep MADANI, penerapan aspek kemanusiaan adalah proses berterusan selari dengan konsep Rukun Negara kelima, Kesopanan dan Kesusilaan

Kempen nilai kemanusiaan

Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), semua potensi yang ada pada murid perlu dikembangkan secara holistik, optimum dan dilaksanakan dengan mengaitkan potensi itu antara satu sama lain.

Hal ini bertujuan melahirkan insan seimbang nilai kemanusiaan dalam diri murid.

Golongan pendidik sering diberi jolokan sebagai agen perubahan harus memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai kemanusiaan dalam diri murid sejak awal persekolahan.

Antara inisiatif dapat dilakukan adalah melalui kempen nilai kemanusiaan di sekolah yang mana sedikit sebanyak membantu membuka mata murid peri pentingnya nilai kemanusiaan dalam kehidupan.

Selain itu, guru patut menarik murid dalam aktiviti kemanusiaan dengan memberi bantuan kepada masyarakat sangat memerlukan. Dari situ akan menerbitkan sifat ihsan dan empati dalam kalangan murid.

Selain itu, guru juga hendaklah menjadi contoh teladan yang baik kepada murid bagi memupuk semangat kemanusiaan dalam diri murid, mempunyai sifat empati terhadap kesengsaraan orang lain.

Penyalahgunaan teknologi juga seharusnya ditekankan dalam kalangan murid. Sebagai contoh guru boleh mengaitkan penggunaan bom fosforus oleh Israel ketika mengebom Gaza supaya murid mengetahui bahaya penggunaan bahan kimia dalam senjata api terhadap manusia.

Pendedahan bahaya bahan dan bom kimia ini bertujuan menghidupkan jiwa kemanusiaan murid, memupuk kesedaran menjaga hubungan sesama insan walaupun berbeza prinsip dan pandangan.

Tuntasnya, Elemen Merentas Kurikulum (EMK) sudah diperkenalkan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Bermakna, elemen kemanusiaan boleh didedahkan kepada murid di sekolah dengan mengaitkan pembelajaran dengan krisis kemanusiaan berlaku di dunia.

Kesedaran awal dapat membentuk murid menjadi seorang insan dapat membezakan perkara 'baik dan buruk' bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan persekitaran mereka.

Melalui pelaksanaan EMK, generasi murid 'manusiawi' dan mempunyai nilai kemanusiaan tinggi dapat dilahirkan oleh sistem pendidikan kebangsaan seperti digariskan dalam konsep Malaysia MADANI.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 12 December 2023

KEUPAYAAN FADHLINA, KPM DITAGIH TINGKAT KUALITI PENDIDIKAN

Fadhlina Sidek

Minggu lalu negara digemparkan dengan pengumuman Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan mengenai kemerosotan hasil dan pencapaian murid sekolah menerusi laporan Program untuk Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 dikeluarkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

PISA adalah kajian pentaksiran antarabangsa mengukur pencapaian pelajar berumur 15 tahun dalam tiga domain literasi utama iaitu matematik, saintifik dan bacaan oleh OECD.

Walaupun penilaian ini sekadar melaporkan statistik pencapaian dan tidak menyusun kedudukan antara 81 negara menyertainya, dapatan antarabangsa ini penting untuk melihat realiti senario pendidikan sekolah di Malaysia sebagai rujukan bagi memperbaiki segala kelemahan.

Justeru, pencapaian Malaysia tahun itu menunjukkan penurunan ketara membabitkan skor berbeza di antara ketiga-tiga domain literasi diberikan tumpuan.

Domain utama seperti Matematik mencatatkan penurunan sebanyak 31 mata daripada 440 di dalam PISA 2018 kepada 409 (2022). Domain saintifik pula mencatatkan penurunan sebanyak 22 mata daripada 438 kepada 416, manakala tahap literasi bacaan menurun 27 mata daripada 415 kepada 388.

Ini menunjukkan skor purata bagi murid di Malaysia dilihat lebih rendah daripada skor purata ditetapkan OECD bagi ketiga-tiga tahap literasi berkenaan.

Dalam erti kata lain ini, sesuatu perlu dilakukan secara serius dan kritikal kerana hasil seperti ini jika tidak disantuni dengan kemas akan memberikan implikasi besar kepada sistem pendidikan dalam negara sekali gus mengakibatkan negara ketinggalan dari sudut dan kerangka pendidikan global.

Melihat secara perspektif, keputusan PISA 2022 adalah berdasarkan kajian dijalankan pada April-Mei 2022. Tempoh itu di bawah pentadbiran kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) yang tidak membabitkan pembabitan Kerajaan Perpaduan kerana kedudukan politik sewaktu itu sebagai parti pembangkang. Oleh sebab itu, ia tidak membabitkan kepemimpinan Menteri Pendidikan ketika ini, Fadhlina Sidek bagi menyabitkan pertanggungjawaban.

Menurut fakta kajian, pentaksiran PISA ini dilakukan setiap tiga tahun dan akibat daripada wabak dan pandemik COVID-19, proses ini terhenti seketika dan ditangguhkan kepada satu tahun baharu iaitu 2022 yang mana ini pembabitan kelima Malaysia dalam kajian PISA ini selepas 2009, 2012, 2015 dan 2018.

Walaupun keciciran pembelajaran ketika pandemik COVID-19 dilihat sebagai faktor utama mempengaruhi kemerosotan pencapaian murid sekolah Malaysia ketika itu, faktor politik negara tidak stabil disebabkan 'rampasan kuasa' tanpa melalui proses demokrasi serta keputusan 'lock down' kerajaan mengakibatkan negara menyaksikan tempoh pengurungan dalam rumah antara paling lama berbanding dengan negara lain terkesan pandemik COVID-19 ketika itu.

Petunjuk jelas kegagalan dasar

Secara tidak langsung, ini memberikan satu petunjuk jelas bahawa kegagalan dasar itu ternyata lebih mendominasi naratif semasa dan membawa kepada satu implikasi negatif kepada kualiti murid di sekolah ketika itu.

Di sepanjang tempoh penutupan itu, sekolah di Malaysia ditutup jauh lebih lama berbanding negara lain akibat perintah darurat diisytiharkan kerajaan PN ketika itu. Akibatnya proses pembelajaran menjadi lebih perlahan dan tidak mencapai objektif ditetapkan disebabkan perencanaan kuasa serta ketidakstabilan politik membawa kepada pemusatan kuasa.

Akibat daripada polemik politik kuasa ini, ia memberikan tamparan hebat, tidak hanya kepada sistem pendidikan negara tetapi kepada tenaga pengajar untuk menyesuaikan diri dengan kaedah baharu dilihat sukar untuk dilaksanakan disebabkan kualiti dan kuantiti infrastruktur internet dan gajet tidak seimbang serta kurang memberangsangkan.

Ini jelas memberikan kesan serius kepada pembawaan murid kerana mereka kehilangan nilai tradisi pendidikan dan digantikan dengan kaedah baharu dilihat tidak mesra pendidikan kerana latar belakang sosio-ekonomi serta lokasi berbeza.

Akibat ketidakstabilan politik dan kegagalan kerajaan ketika itu mewujudkan satu suasana politik kondusif, akhirnya ia memberikan kesan tidak sepatutnya terhadap prestasi murid seperti dilihat dalam pelaporan PISA 2022.

Justeru, adalah satu tanggungjawab dan beban besar untuk dipikul Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terutama sekali Fadhlina Sidek yang mengepalai Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan kelemahan kerajaan dahulu dapat diperbetulkan dan seterusnya memberikan nafas baharu kepada sistem pendidikan negara.

Jalannya adalah dengan merencanakan strategi khusus yang mampu memacu prestasi kesemua murid dalam negara ini untuk menjadikan mereka lebih berjiwa kental dalam menongkah arus ilmu tanpa perlu dibayangi ancaman politik tidak sihat dan ketidakstabilan politik.

Pembabitan beliau sebagai tonggak nombor satu dalam KPM amat ditagih bagi menyuntik dan menyemat inspirasi pendidikan nasional. Fadhlina dan pasukannya di KPM bukan sahaja dituntut untuk berkerja keras bagi merealisasikan agenda penting pendidikan negara terutamanya mengangkat kualiti pendidikan dan kemenjadian murid.

Mereka perlu mengembalikan kecemerlangan sektor pendidikan negara di peringkat antarabangsa selaras dengan falsafah MADANI yang inklusif dengan citra Malaysia rencam dan beraneka ragam.

Mujibu Abdul Muis
Pensyarah Kanan Sains Politik,
Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP),
Universiti Teknologi MARA (UiTM)

BERITA HARIAN ONLINE

MANFAAT TEKNOLOGI BAHARU TAKSIR PENCAPAIAN MURID

Foto hiasan

Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini mahu memperkenalkan tujuh domain atau teras dalam kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 bermatlamat melahirkan insan sejahtera dan mengamalkan kehidupan seimbang dalam segala aspek kehidupan. Antara domain dalam teras itu ialah fasih digital, literasi pelbagai dan pembelajaran sepanjang hayat.

Ini satu perancangan positif dalam menyediakan pendidikan ke arah Revolusi 5.0 yang mana revolusi dalam perkembangan teknologi sering dikaitkan dengan kepintaran buatan (AI), internet kebendaan (IoT) dan keupayaan teknologi untuk dijadikan platform kepada cara hidup, bekerja dan berinteraksi.

Secara umum, sistem pentaksiran mengalami beberapa perubahan selaras dengan pembangunan kurikulum bagi tujuan pembelajaran sepanjang hayat yang secara dominan memberi fokus kepada peningkatan kemahiran, pengetahuan berterusan, persediaan cabaran masa hadapan, memperkasakan diri, bersosial, pemahaman nilai dan etika serta kesihatan mental dan emosi.

Dalam usaha mengukur pencapaian pelajar melalui Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam bilik darjah pada abad ke-21, pendekatan ketara diterapkan, termasuk penilaian kemahiran khas seperti kemahiran kritis, kreativiti, pemikiran kritis, komunikasi, kolaborasi dan literasi digital.

Lebih lanjut, pendekatan pentaksiran tidak hanya menilai aspek akademik tetapi juga aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani seperti digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sehubungan itu, memanfaat teknologi sebagai alat pembelajaran, membolehkan akses kepada sumber maklumat kaya serta peluang pembelajaran dalam talian adalah pendekatan penting dalam memenuhi tujuh teras kerangka kurikulum ini.

Ini berkait rapat dengan mengukuhkan sistem pendidikan berorientasikan pembelajaran dengan pemindahan fokus daripada penilaian bersifat menghafal kepada penilaian lebih menyokong pemahaman dan aplikasi ilmu pengetahuan secara digital.

Penggunaan teknologi dalam pentaksiran perlu dimanfaatkan untuk memperbaiki proses penilaian, termasuk menggunakan platform digital, algoritma dan perisian. Ini membolehkan pentaksiran dijalankan lebih berkesan dan cekap. Di sisi lain, sistem pentaksiran ini perlu dipantau dan diperbaiki bagi memastikan kesesuaian dan perkembangan dalam pendidikan serta keperluan pelajar.

Guru perlu kompeten dengan sistem digital dan fokus kepada penilaian berterusan untuk memberi maklum balas kepada pelajar. Pada masa sama, guru juga perlu memperbaiki prestasi serta proses pembelajaran apabila pentaksiran dilaksanakan.

Dalam mendepani pendekatan pentaksiran kelas, kemahiran mengadaptasi memupuk kemahiran melalui perubahan dan teknologi serta mengambil bahagian dalam aktiviti pembelajaran relevan dengan perkembangan semasa amat diperlukan.

Kita tidak mahu pelajar ketinggalan dalam teknologi menyebabkan kesenjangan kemahiran dan pengetahuan. Ini akan menghambat inovasi, daya saing dalam peluang pekerjaan dan mempengaruhi prestasi ekonomi keseluruhan pada masa hadapan.

Berbanding pentaksiran berterusan sedia ada dalam pendidikan yang membolehkan pemantauan terhadap perkembangan pelajar dari aspek akademik, personaliti dan kemahiran dikenal pasti, masyarakat perlu faham pembelajaran bukan terhad kepada peringkat pendidikan formal, tetapi berlaku sepanjang hayat.

Ia seiring dengan terus belajar daripada pengalaman, latihan dan interaksi sepanjang kehidupan pelajar. Sehubungan itu, sokongan jitu daripada masyarakat sebagai ibu bapa atau penjaga amat diharapkan supaya domain dalam tujuh teras ini dapat dicapai dengan cemerlang.

Dr Siti Salina Mustakim
Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan,
Fakulti Pengajian Pendidikan, Bidang Pengukuran Pendidikan,
Universiti Putra Malaysia

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 2 December 2023

KERAJAAN PERLU KEKAL, TAMBAH BAIK LALUAN KENAIKAN PANGKAT GURU SECARA 'TIME-BASED'

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR : Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa kerajaan mengekalkan atau menambah baik laluan kenaikan pangkat guru secara time-based dalam Skim Saraan Baharu Perkhidmatan Awam yang bakal dilaksanakan pada 2025.

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata pihaknya juga meminta disegerakan penyelesaian beberapa isu kritikal berkaitan pengoperasian di sekolah rendah termasuk guru besar yang sudah naik ke gred DG52 (secara time-based) dibenar terus memegang jawatan itu sehingga ke gred DG54.

"Permasalahan sekarang, guru besar yang naik ke gred DG52 secara 'time-based' juga perlu mengajar seperti guru biasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Itu antara lapan permintaan dikemuka NUTP kepada kerajaan sempena Persidangan Perwakilan Tritahunan kali ke-23 NUTP yang berakhir hari ini.

Aminuddin berkata, NUTP juga mahu guru penolong di sekolah rendah gred DG48 dibenarkan memegang jawatan sebagai penolong kanan.

Beliau berkata, masalah timbul apabila guru sekolah rendah gred DG48 tidak dibenarkan memegang jawatan sebagai penolong kanan, bahkan guru penolong kanan yang dilantik sebagai penolong kanan semasa, masih di gred DG42 atau DG44.

"Sekarang kenaikan ke gred DG48 pun dibekukan pergerakan untuk bertukar daripada penolong kanan kokurikulum kepada penolong kanan hal ehwal murid, bahkan tidak dibenarkan bertukar sekolah pun," katanya yang turut meminta pelaksanaan warden asrama sekolah berasrama secara sepenuh masa dipercepat bagi mengurangkan beban tugas guru dan mengekang gejala buli di sekolah berasrama.

Sementara itu, Aminuddin berkata, NUTP juga meminta kerajaan memberikan peruntukan kepada sekolah bagi menaik taraf bilik guru, memandangkan sebelum ini peruntukan RM70,000 diberi kepada sekolah bagi menaik taraf dan penyelenggaraan tandas.

Selain itu, beliau berkata, kajian secara menyeluruh terhadap kadar elaun pentadbir di institusi pendidikan juga mesti dilaksanakan.

"Contohnya kadar elaun penolong kanan di sekolah rendah hanya RM60 saja berbanding tanggungjawab besar dipikul.

"Selain itu, pentadbir institusi pendidikan lain seperti pengarah, timbalan pengarah Institut Pendirikan Guru (IPG), kolej matrikulasi langsung tidak ada sebarang elaun.

"Kita juga menyokong pendirian Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tidak mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)," katanya turut memaklumkan penyelesaian secara segera perlu dibuat terhadap isu kekurangan guru di sekolah seluruh negara sama ada melalui pengambilan tetap atau secara kontrak (COS).

Katanya, kesedaran terhadap hal berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di institusi pendidikan juga perlu diperkasakan.

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 22 November 2023

KPM JAMIN KESELAMATAN DI SEMUA INSTITUSI PENDIDIKAN


KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius ancaman keselamatan di beberapa sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat seperti yang dilaporkan oleh media.

Kementerian itu menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan di bawah kelolaannya dan bekerjasama erat dengan polis untuk tujuan berkenaan.

Semua institusi pendidikan di bawah KPM juga diminta mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan.

“Sebarang ancaman keselamatan perlu dilaporkan segera kepada polis dan KPM. Institusi pendidikan juga perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

KPM komited memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan di bawah kelolaannya terpelihara.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata polis menerima 19 laporan mengenai ancaman bom palsu yang dihantar melalui e-mel ke beberapa sekolah swasta dan kerajaan iaitu tujuh di Selangor, Kuala Lumpur (lima), Johor (tiga), Pulau Pinang (dua) dan masing-masing satu di Perak dan Negeri Sembilan.

Hari ini, dua laporan polis diterima melibatkan sebuah sekolah antarabangsa di Kajang, Selangor dan Batu Ferringhi, Pulau Pinang.

BERNAMA ONLINE

BERI PELUANG ANAK DIDIK BERFIKIRAN KREATIF, PENDIDIKAN BERTERASKAN REALITI - TUANKU ZARA

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bertitah pada majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-25 2023

TANJUNG MALIM, 22 Nov (Bernama) -- Golongan pendidik perlu memberi peluang kepada anak didik berfikiran kreatif bagi membolehkan mereka mencabar kelaziman serta diserlahkan dengan pelbagai realiti kehidupan termasuk dipersiap dengan pendidikan berteraskan realiti kehidupan.

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim bertitah guru yang sejati mempunyai roh, semangat dan jati diri yang ikhlas dalam mendidik anak didiknya, bukan sahaja hebat dalam kaedah pengajaran malah memiliki sifat pendidik semula jadi lagi berhemah serta disanjung, dihormati selain dikasihi murid dan masyarakat.

Dalam masa sama, Tuanku Zara bertitah pendidik perlu menjadi warga yang berharga, sedia berkhidmat serta berbakti untuk negara dan masyarakat.

“Perlihatkan sifat-sifat insan berilmu yang tertib, beradab, bersopan dan berbudi bahasa dalam tutur dan perbuatan. Semaikan dan amalkan semangat kenegaraan yang tinggi dengan menumpahkan kesetiaan kepada raja dan negara,” titah Tuanku Zara pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-25 di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam sembah ucapannya berkata konvokesyen kali ini menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 7,616 graduan merangkumi 121 Ijazah Doktor Falsafah, 1,487 Ijazah Sarjana, 4,240 Ijazah Sarjana Muda, 852 diploma serta 916 graduan menerima Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.

Konvokesyen kali ini turut menganugerahkan ijazah secara anumerta kepada waris seorang pelajar pada 29 Nov.

Sempena majlis istiadat sesi pertama juga, Tuanku Zara berkenan menyampaikan watikah pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti kepada bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Ismail yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian dari Universiti Malaya, kemudiannya menyambung pengajian peringkat Sarjana di Universiti of Hull, United Kingdom dan memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada 1995 dan seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam Federalisme Fiskal pada 2004 di universiti yang sama.

Sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 36 tahun, Ismail pernah memegang beberapa portfolio penting antaranya Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan.

Yang terakhir, beliau dilantik sebagai KSN bermula Ogos 2018 sehingga Disember 2019.

Tuanku Zara turut menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja serta beberapa anugerah termasuk Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti (Kepimpinan), Pingat Emas Naib Canselor, Hadiah dan Anugerah Buku, serta beberapa anugerah daripada tokoh dan pemain industri.

Anugerah Pelajaran Diraja dianugerahkan kepada dua pelajar cemerlang iaitu Rossalini Ramzi, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian dan Khoo Shu Yin, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dengan Kepujian.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 18 November 2023

GURU BESAR TINGGAL DALAM STOR SEKOLAH LEBIH TIGA TAHUN DEMI PENDIDIKAN ANAK MURIDNYA

Imej dari tiktok @mr.george_odol


TELUPID, 18 Nov (Bernama) -- ‘Guru umpama lilin membakar diri menerangi orang lain,’ kata-kata yang amat cocok bagi mencerminkan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan George Odol, yang berkorban demi memberikan pendidikan untuk anak muridnya di kawasan pedalaman, di sini.

Masakan tidak, George sanggup tinggal di sebuah stor sekolah sejak dipindahkan ke sekolah tersebut lebih tiga tahun lalu pada pada Jun 2020, namun beliau tidak pernah kesal ke kawasan pedalaman walaupun berdepan pelbagai kesukaran, kerana mahu memberikan pendidikan terbaik untuk anak bangsanya.

George, yang akan bersara wajib pada 27 Nov ini, berkata beliau tinggal di stor berkeluasan 2.74 meter lebar dan 4.87 meter panjang, disebabkan sekolah itu dibina tanpa ada kemudahan rumah guru walaupun berada jauh di pedalaman.

“Saya juga terpaksa berkongsi dapur dan kamar mandi untuk kelas pra-sekolah. Agak sedih juga lah seorang guru besar tinggal di rumah begini sahaja, sudah tiga tahun lebih. Apa boleh buat kami guru-guru terpaksa korbankan keselesaan datang ke sekolah pedalaman untuk anak (murid) kami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perkongsian platform media sosial Tik Tok yang ditonton lebih 68,000 penonton sehingga berita ini ditulis dan perkongsian itu kini tular terutama dalam kalangan warganet di https://www.tiktok.com/@mr.george_odol/video/7301702844569128193

Telupid merupakan sebuah daerah di kawasan pedalaman Sabah dan SK Ulu Ansuan itu terletak kira-kira 230 kilometer dari Kota Kinabalu, dengan perjalanan antara lain menelusuri kaki Gunung Kinabalu serta jalan raya yang kurang baik dan jalan tanah merah.

Menceritakan tentang sekolah itu, George berkata SK Ulu Ansuan mula dibina pada 1999 dan siap pada sekitar 2000 tanpa rumah guru, malah guru yang mula-mula dihantar ke sekolah ini tinggal di rumah orang kampung dan selepas itu kelas yang telah diubah suai.

“Enam tahun selepas itu PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) membina dua rumah untuk guru tinggal, tetapi ala kadar sahaja. Penghujung perkhidmatan saya, telah diluluskan pembinaan rumah panjang tujuh pintu untuk guru tetapi saya utamakan guru luar Telupid, tidak apa saya tinggal dalam stor ini,” katanya.

Beliau yang daripada etnik Kadazandusun berkata kebanyakkan murid di kawasan pedalaman itu dari etnik yang sama, justeru ia memberikan semangat untuk dirinya meneruskan usaha mendidik anak bangsanya sendiri.

“Jika bukan kami guru (etnik) Kadazandusun datang ke sini untuk mendidik anak-anak ini di sekolah pedalaman, siapa lagi yang diharapkan. Inilah pengorbanan kami guru bertugas di kawasan pedalaman Sabah,” katanya yang menambah tidak membawa keluarganya tinggal di sekolah itu kerana isterinya juga seorang guru bertugas di SK Menanam, Telupid.

Sehingga berita ini ditulis, Bernama menghadapi kesukaran untuk menghubungi George kerana liputan telekomunikasi yang agak terhad di kawasan tersebut.

BERNAMA ONLINE

Friday, 10 November 2023

PENDIDIKAN PELABURAN MASA DEPAN, IBU BAPA PASTIKAN ANAK HADIR KE SEKOLAH

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun beramah mesra bersama murid sekolah pada Program Intervensi Kehadiran Murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Tekir di Labu, hari ini

SEREMBAN, 10 Nov (Bernama) -- Pendidikan merupakan satu pelaburan penting bagi masa depan dan ibu bapa memainkan peranan memastikan anak-anak mereka hadir serta mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran ditetapkan di sekolah, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ibu bapa khususnya di negeri ini perlu sedar sekiranya anak-anak ketinggalan dalam bidang pendidikan, impaknya turut terkesan dalam bidang sosial dan ekonomi.

Aminuddin berkata isu keciciran murid terutamanya dalam kalangan Orang Asli juga perlu mendapat perhatian semua pihak supaya mereka menerima pendidikan sama seperti pelajar lain.

“Sebenarnya kegagalan pelajar disebabkan kehadiran, mereka kurang hadir ke sekolah. Pelbagai usaha dilakukan terutamanya mengatasi masalah pelajar lemah dalam pelajaran, tetapi kalau pelajar tidak ke sekolah agak sukar kelas tambahan atau pemulihan dijalankan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program intervensi kehadiran murid Orang Asli bersama Kelloggs di Sekolah Kebangsaan Tekir, Labu, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan negeri (JPNNS) Dr Roslan Hussin, Pengarah Kilang Kellogg Asia Products Sdn Bhd Matan Raj.


Aminuddin berkata dalam usaha menggalakkan pelajar ke sekolah, kerjasama sektor swasta bagi program intervensi dapat menggalakkan kehadiran murid ke sekolah dan mengelakkan gejala ponteng.

Beliau berkata JPNNS dan NS invest (Negeri Sembilan) dicadangkan memperbanyak program intervensi kehadiran pelajar ke sekolah menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai usaha melahirkan lebih ramai masyarakat menjadi pemangkin pembangunan negeri pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Roslan berkata tahap keciciran dan ketidakhadiran pelajar di negeri ini merekodkan peratusan rendah iaitu lapan peratus berbanding di peringkat nasional dalam lingkungan 10 peratus.

“Kita mengambil tindakan yang berfokus bagi masalah keciciran ini. Namun, ada beberapa faktor yang menyebabkan mereka tidak ke sekolah antaranya terpaksa membantu keluarga, ada juga pelajar yang sudah bekerja,” katanya.

Bagi program intervensi kehadiran murid hari ini, Kellogg menyediakan bijirin sarapan pagi iaitu ‘Better Days Promise’ setiap minggu kepada 100 pelajar di sekolah berkenaan bagi tempoh setahun serta pelbagai aktiviti bagi menggalakkan pelajar ke sekolah.


BERNAMA ONLINE


Tuesday, 7 November 2023

KPM, KPT PERLU TUMPU TINGKAT MUTU PENDIDIKAN NEGARA SELARAS PENAMBAHBAIKAN FASILITI - ANWAR

Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama murid sekolah pada majlis penyerahan dan perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan bandar Baru Bangi

BANGI, 7 Nov (Bernama) -- Usaha Kerajaan Perpaduan menambah baik fasiliti pembelajaran di seluruh negara perlu diterjemahkan dengan peningkatan mutu pendidikan murid dan pelajar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memberi penumpuan kepada meningkatkan mutu pendidikan negara seawal tahun hadapan sejajar dengan penambaikan fasiliti itu.

“Tahun ini kita banyak beri perincian, penumpuan kepada keperluan murid dan pelajar selain meningkatkan fasiliti pendidikan di seluruh negara. Tandas dah elok, pembinaan sekolah baharu (menggantikan yang daif) dah siap, prasarana kemudahan semua dah cukup.

“Nak bantuan pun kita bagi, jadi (tahun hadapan) prestasi tak boleh sama macam tahun lepas (2023), kena ada peningkatan, kalau prestasi anak murid tak berubah, kita tidak mahu. Saya dah bagi tahu Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Khaled Nordin (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi) tumpuan lepas ini angkat dan tingkat mutu pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar berkata Malaysia tidak boleh maju dan membangun sekiranya mutu pendidikannya tidak meningkat.

Beliau berkata penekanan berkaitan keperluan dan kepentingan meningkatkan mutu pendidikan negara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri yang akan dipengerusikannya Jumaat ini.

Katanya ikhtiar meningkatkan mutu pendidikan negara bagaimanapun tidak hanya bersandar kepada usaha kementerian sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama dan penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Ya betul, kementerian kena fokus untuk bangunkan penguasaan anak-anak dalam bahasa, matematik, angka, sains dan komputer, tapi juga saya minta PIBG bincang bagaimana penglibatan ibu bapa ini.

“Di rumah pula kita galak ibu bapa beri perhatian kepada anak-anak mereka, setiap malam, pastikan bagaimana anak-anak ini sekurang-kurangnya setengah jam, atau satu jam mereka ulang kaji pelajaran,” katanya.

Anwar berkata guru-guru bagi setiap mata pelajaran juga perlu memperincikan cadangan baharu dalam usaha meningkatkan kefahaman murid dan pelajar dalam setiap subjek.

BERNAMA ONLINE