SEHINGGA 31 Julai 2020, statistik rasmi Kementerian Pelajaran (KPM) menunjukkan terdapat 10,220 sekolah iaitu 7,780 sekolah rendah dan 2,440 sekolah menengah di negara ini. Jumlah keseluruhan pelajar pula seramai 4,987,401 orang dengan 416,743 guru.
Bagi menguruskan sistem pendidikan secara lebih berkesan, negara memerlukan sebuah sistem pengurusan dinamik dan bersifat desentralisasi. Amalan sentralisasi nampaknya sudah tidak sesuai bagi meningkatkan kualiti penyampaian pendidikan untuk rakyat.
Mungkin tulisan ini seperti tidak kena pada masanya. Pada saat pandemik COVID-19 sedang meningkat, pemikiran mencapah sebegini tentu bukan sesuatu yang dialu-alukan.
Namun, pemikiran mencapah ini juga sebenarnya terhasil daripada pengalaman ketika pandemik COVID-19 sedang berlaku. Misalnya, apabila berlaku keputusan tidak konsisten KPM dalam menentukan tarikh pembukaan sesi persekolahan.
Akibat keputusan tidak konsisten KPM, ibu bapa terpaksa berhadapan dengan pelbagai kesukaran dalam persiapan persekolahan anak mereka.
Situasi berkenaan memberikan isyarat kepada kita bahawa sentralisasi sudah tidak berkesan dalam menguruskan pendidikan negara yang semakin kompleks.
Prof Margaret Archer melalui sebuah buku berjudul Social Origin of Educational Systems (1979) meneliti secara mendalam bagaimana pengalaman negara Eropah sepanjang abad 20 melalui perubahan daripada sistem sentralisasi kepada desentralisasi pendidikan.
Perubahan berlaku akibat desakan masyarakat Eropah yang inginkan sebuah sistem pendidikan yang lebih terbuka, adil dan fleksibel demi meningkatkan kualiti pendidikan.
Antara negara terawal yang memulakan sistem desentralisasi pendidikan ialah Denmark iaitu sekitar 1905. Seterusnya amalan desentralisasi pendidikan diikuti negara Eropah dan juga negara di Scandinavia.
Malaysia bagaimanapun, sehingga hari ini masih kekal mengamalkan sentralisasi sistem pendidikan yang diwarisi daripada penjajah.
Sentralisasi pendidikan bermaksud pemusatan kuasa membuat keputusan dalam merancang dan menguruskan pendidikan. Semua keputusan pendidikan datang hanya daripada satu punca kuasa iaitu KPM di Putrajaya.
Walaupun kepemimpinan pendidikan bersedia meraikan cadangan daripada semua pihak, sifatnya tidak lebih daripada sekadar pandangan. Pemusatan kuasa dalam membuat keputusan kekal tidak berubah.
Bagi memajukan sistem pendidikan negara, pembabitan semua pihak memang sangat diperlukan. Namun, yang lebih penting ialah KPM mesti bersedia menyahpusatkan sebahagian kuasa menguruskan pendidikan ke peringkat pengurusan yang lebih bawah, khususnya pada peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan lapisan pengetua atau guru besar di sekolah.
Amalan pelantikan guru misalnya masih dipusatkan di Putrajaya. Sepatutnya proses pemilihan dan pelantikan guru baharu sudah boleh dilakukan pada peringkat PPD.
Begitu juga dengan proses kenaikan pangkat guru yang masih dipusatkan di KPM. Mengapa tidak dinyah pusat kepada PPD?
Satu contoh lain, sehingga hari ini isu sekolah daif belum dapat diselesaikan. Kita sudah 63 tahun merdeka dan sekarang berada di Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), tetapi ratusan sekolah daif masih wujud di negara ini.
Sudah sampai masanya PPD diberikan kuasa dan tanggungjawab penuh untuk menyelesaikan isu sekolah daif. Tidak perlu lagi penyelesaian isu sekolah daif ini dipusatkan di KPM seperti dahulu.
KPM salurkan peruntukan diperlukan dan letakkan sasaran untuk PPD selesaikan isu sekolah daif di daerah masing-masing.
Menarik juga apabila kita lihat setiap kali Menteri Pelajaran bertukar ganti, setiap kali itu juga menteri akan turun dan melawat sekolah daif, tetapi isu berkenaan tidak juga pernah selesai.
Sebenarnya, isu sekolah daif tak akan selesai jika KPM tidak mahu berubah. Apabila isu sekolah daif masih diuruskan pada peringkat Pusat seperti sekarang, maka tidak dapat tidak kerenah birokrasi pasti akan melambatkan proses penyelesaian.
Begitu juga dengan isu guru bukan opsyen dan guru ganti yang banyak merencatkan kualiti pengajaran di sekolah hari ini.
Semuanya dipusatkan dan menunggu keputusan daripada KPM di Putrajaya. Sentralisasi pendidikan nampaknya gagal menguruskan isu pendidikan seperti ini yang sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya.
Pelbagai kajian dan laporan berkaitan guru bukan opsyen dilakukan, tetapi isu ini tidak pernah dapat diselesaikan dengan berkesan.
Sekarang kita sudah dalam gelombang Revolusi Industri Keempat (IR4.0). Sistem pendidikan antara sektor paling kritikal dalam mendepani gelombang IR4.0 ini.
Ilmu baharu berkaitan automasi, internet kebendaan (IoT), serta inovasi dan kreativiti akan menjadi teras kepada pendidikan negara. Justeru, kita memerlukan kepimpinan sekolah yang lebih dinamik untuk mendepani gelombang ini.
Guru besar dan pengetua tidak boleh sekadar berperanan sebagai pengurus pendidikan seperti sekarang, tetapi mereka perlu berperanan sebagai pemimpin pendidikan di sekolah.
Amalan sentralisasi nampaknya tidak berupaya menyokong usaha membangunkan kepimpinan sekolah. Sentralisasi pendidikan sekadar menjadikan guru besar dan pengetua pengurus operasi sekolah semata-mata.
Kepimpinan sekolah perlu diberikan peluang dan diperkasakan untuk memimpin pendidikan di sekolah mereka.
Sentralisasi pendidikan hanya akan menyekat keupayaan mereka untuk benar-benar memimpin perubahan pendidikan. Sentralisasi pendidikan juga membataskan pembabitan aktif komuniti.
Organisasi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sepatutnya berupaya menjadi satu badan yang sangat berpotensi dalam menjayakan pendidikan. Namun, amalan sentralisasi jelas tidak menyokong kepada pemikiran untuk memperkasakan badan seperti PIBG.
KPM harus mula membuka perbincangan bagaimana proses desentralisasi pendidikan kepada PIBG ini dapat dilakukan. Misalnya, mula lantik pihak industri, ibu bapa dan pemimpin komuniti sebagai sebuah badan lembaga sekolah yang membuat keputusan penting untuk sekolah.
Libatkan juga lembaga sekolah dalam membuat keputusan berkaitan kewangan sekolah, pelantikan guru baharu, aktiviti pelajar dan pembangunan guru.
Perubahan pendidikan sedang berlaku dengan pesat. Sistem pendidikan tidak boleh berhadapan dengan perubahan ini jika amalan sentralisasi kekal diamalkan. Apatah lagi jika diamalkan sentralisasi pendidikan secara rigid (tegar).
Pengalaman negara Eropah sejak 100 tahun lalu boleh dijadikan pedoman untuk KPM mula membuka pemikiran baharu kepada melakukan desentralisasi pendidikan demi meningkatkan kualiti pendidikan negara.
Anuar Ahmad
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti
Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
BERITA HARIAN ONLINE