KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) disaran untuk bergerak seiringan dengan Kementerian
Pendidikan (KPM) dan lebih proaktif dalam menghasilkan lebih banyak penerbitan
karya dan buku bahasa yang lebih berkualiti.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata
DBP ketika ini dilihat tidak mengikut rentak dan kurang momentum dalam bergerak
seiringan bagi mempromosi serta memperkembangkan bahasa dan budaya dengan
begitu meluas.
Katanya adalah menjadi impian dan inisiatif
beliau untuk menaikkan taraf DBP supaya setaraf dengan Goethe-Institute di
Jerman ataupun British Council di United Kingdom yang popular dalam
mengembangkan bahasa dan budaya negara masing-masing menerusi penerbitan
karya-karya berkualiti.
“Tapi saya nampak DBP masih merangkak
(ketinggalan) dan tidak berlari seiring dengan saya. Jadi saya tidak mahu
kata-kata saya sekadar terbenam dalam catatan-catatan hansard (penyata rasmi)
Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada
majlis pelancaran kerjasama strategik Institut Terjemahan & Buku Malaysia
(ITBM)-Pos Malaysia sempena #MalaysiaMembaca di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur
di sini, hari ini.
Kerjasama strategik itu akan mewujudkan
sudut membaca di pejabat-pejabat pos di seluruh Malaysia yang dilihat langkah
terbaik bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengisi ruang masa yang ada dengan
membaca.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan
berhasrat menjadikan DBP sebagai pusat rujukan bahasa Melayu setaraf dengan
institut bahasa lain yang dimiliki negara maju dalam tempoh lima tahun.
Maszlee turut berkata dalam usaha
mencerdikkan akal budi bangsa pada masa kini, rakyat Malaysia tidak lagi hanya
boleh disogokkan dengan lambakan buku di perpustakaan serta kedai buku
semata-mata.
Oleh itu, beliau memuji inisiatif penjualan
buku serta penyediaan khidmat terjemahan ITBM melalui kaunter Pejabat Pos
Malaysia yang akan diperkenalkan secara berperingkat di seluruh negara sebagai
satu daripada langkah meluaskan capaian kepada bahan terbitan berkualiti dan
perkhidmatan penterjemahan.
Katanya lagi, apa yang Pos Malaysia
bersama-sama ITBM laksanakan pada hari ini perlu dijadikan contoh atau penanda
aras oleh pihak lain seperti hospital swasta, syarikat telekomunikasi, syarikat
automobil, institusi kewangan dan pusat membeli-belah.
Sementara itu, dalam sidang media
kemudiannya, Maszlee berkata beliau menyambut baik lebih banyak penglibatan
syarikat swasta dalam memberikan kerjasama terhadap pembangunan dan pembentukan
budaya negara, khususnya dalam bidang perbukuan.
Syarikat swasta seperti Petronas dan QSR
Brands (M) Holdings Bhd secara lisan bersetuju untuk menyokong kempen
#MalaysiaMembaca itu yang dilihat dapat membantu merancakkannya lagi.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment