Thursday, 16 May 2019

TEKNOLOGI PERLU SEIRING DENGAN NILAI DAN SIFAT MANUSIAWI - MASZLEE

GEORGE TOWN, 15 Mei (BERNAMA) -- Walaupun negara kini menuju ke arah era globalisasi dan revolusi industri 4.0 (IR4.0), namun ia perlu diterapkan dengan nilai dan sifat manusiawi, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Beliau berkata teknologi akan menjadi sebahagian daripada cara hidup pada masa depan dan setiap individu itu perlu bijak memanfaatkannya dengan menerapkan pendidikan bersifat manusia.
"Dalam menghadapi IR4.0 mereka perlu dilengkapkan terlebih dahulu dengan kemahiran yang menjadikan mereka sebagai manusia dan bukan sebagai robot semata-mata.
"Mereka perlu dilengkapkan dengan kemahiran untuk mereka bersikap empati terhadap orang lain...untuk mereka mempunyai kemampuan bekerjasama dengan orang lain," katanya berucap pada Majlis Apresiasi dan Pameran Hari Guru sempena Festival Guru Malaysia 2019, di sini hari ini.
Beliau berkata teknologi yang diajar jika tidak diikuti dengan nilai dan sifat-sifat manusiawi akan menyebabkan seseorang itu terjerumus dengan idelogi negatif seperti keganasan.
"Baru-baru ini kita dikejutkan dengan tangkapan beberapa suspek pengganas. Kita ingatkan dah selesai isu ni di Timur Tegah, rupanya masih ada lagi di Malaysia. Ideologi ini juga perlu ditangani dengan pendidikan yang bersifat manusia dengan menekankan konsep kasih sayang, kebahagian dan saling hormat menghormati.
"Apabila seseorang itu tidak ada sikap kasih sayang maka mereka akan lebih mudah untuk terpengaruh dengan ideologi extremisme. Mereka tidak sukakan diri mereka sendiri dan beranggapan mati pun tidak mengapa. Yang penting ideologi mereka tercapai," katanya.
Sementara itu, Maszlee berkata kementerian sentiasa memberi perhatian khusus kepada aspek kebajikan dan peningkatan profesionalisme para guru ke arah melaksanakan sistem pendidikan yang efisyen dan berkesan.
Beliau berkata pihaknya menyambut baik usaha Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB)   baik cadangan YGMB untuk memperkenalkan satu skim perlindungan kemalangan berkelompok kepada guru-guru khususnya yang bertugas mengiringi pelajar-pelajar dengan menggunakan kenderaan sendiri untuk menghadiri sebarang aktiviti luar sekolah. 
"Seperti yang telah kita sedia maklum, YGMB mengorak langkah mewujudkan kolaborasi bersama Kementerian Pendidikan dalam memacu aktiviti untuk memelihara kebajikan serta membantu memartabatkan profesion perguruan. 
"Oleh sebab itu, saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama dan sokongan padu kepada YGMB termasuk guru-guru," katanya.

BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment