Saturday 11 May 2019

NUTP DESAK SELESAI MASALAH KEKURANGAN GURU BAHASA INGGERIS

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semanjung Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak (kiri) dan Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock (tengah), ketika sesi sidang media berkenaan isu Tvet di Pejabat Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia, Jalan Ipoh.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan perlu mengatasi segera kekurangan guru bahasa Inggeris (BI) sebelum memikirkan soal kualiti dan kepakaran tenaga pengajar bahasa kedua itu di peringkat sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock, berkata pihaknya memahami hasrat kerajaan untuk melahirkan guru yang berupaya menguasai BI dengan baik supaya menduduki Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).
Bagaimanapun, katanya, isu pokok yang kian meruncing sehingga kini iaitu masalah kekurangan tenaga pengajar belum diselesaikan.
Malah, katanya, sehingga kini Pusat Latihan Bahasa Inggeris (ELTC) dan Majlis Standard Kualiti Bahasa Inggeris (ELSQC) masih tidak memberikan maklum balas kepada NUTP mengenai isu berkenaan.
“NUTP ingin mengetahui cara mereka mahu menangani isu kekurangan guru ini? ELTC menjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan bagi mempertingkatkan dan memperkasakan BI sehingga kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit tetapi tahap pencapaian murid masih rendah.
“NUTP berharap YB Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) dapat mengkaji dan meneliti semula isu ini demi masa depan murid supaya mereka mendapat pendidikan secukupnya hingga menguasai BI sebagai bahasa kedua dengan baik seperti ditetapkan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, bahawa guru bukan opsyen bahasa Inggeris perlu menduduki peperiksaan MUET bagi melayakkan mereka mengajar bahasa berkenaan.
Nie Ching juga dipetik sebagai berkata langkah itu perlu bagi memberi peluang kepada guru berkenaan dibenar mengajar bahasa itu selain perlu mempunyai tahap kelayakan penguasaan minimum C1 dalam kelayakan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR), sekali gus membolehkan guru berkenaan menukarkan opsyen masing-masing untuk mengajar BI.
Berikutan itu, Huat Hock menegaskan NUTP merasakan Maszlee dan Nie Ching tidak diberikan maklumat tepat mengenai isu kekurangan guru BI di seluruh negara sekarang.
Contohnya, kata Huat Hock, di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Soon Cheng, Johor yang mempunyai 11 guru BI, namun hanya dua guru opsyen BI manakala sembilan lagi bukan opsyen BI.
“Begitu juga Sekolah Kebangsaan Gelang Mas, Kelantan yang mempunyai lima guru BI namun hanya seorang guru opsyen BI manakala empat lagi adalah bukan opsyen BI.
“Di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar, Perak pula mempunyai enam guru BI namun hanya dua memang guru opsyen BI dan empat lagi bukan,” katanya.
Sebelum ini, Huat Hock menegaskan NUTP tidak bersetuju dengan arahan guru yang mengajar bahasa Inggeris menduduki peperiksaan MUET dan meminta campur tangan Menteri Pendidikan.
Beliau juga mengeluarkan kenyataan agar kementerian perlu melihat isu utama yang melanda sekolah adalah membabitkan masalah kekurangan guru BI, selain menggunakan guru bukan opsyen bahasa itu.
Arahan supaya guru yang mengajar BI menduduki peperiksaan MUET dikeluarkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dalam satu pekeliling pada 14 April lalu, bagi melihat semula tahap penguasaan BI yang selari dengan keperluan termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
BH ONLINE

No comments:

Post a Comment