Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, usaha itu secara tidak langsung dapat membina tamadun bangsa bagi menuju masa depan negara dan masyarakat lebih gemilang pada masa hadapan.
“Usaha sebegini juga sewajarnya diuar-uarkan agar ia menjadi satu bentuk galakan kepada semua pembayar zakat dan sekurang-kurangnya mereka mengetahui ke mana hasil kutipan zakat disalurkan.
“Ia bukan sahaja dalam bentuk makanan dan wang malah turut melibatkan pemberian buku untuk manfaat ilmu yang berpanjangan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Program Zakat Semarak Ilmu di sini hari ini.
Menurut Maszlee lagi, pihak berharap Program Zakat Semarak Ilmu dapat diperluas ke seluruh negara termasuk kepada bukan beragama Islam daripada keluarga golongan kurang golongan kemampuan (B40).
Katanya, ia merupakan satu langkah terbaik dan terhadapan yang wajar dipuji oleh orang ramai.
“Sejak menjadi wakil rakyat, saya sering lihat bantuan zakat dibuat dalam bentuk makanan dan wang tunai, tetapi tidak juga dalam bahan bacaan.
“Banyak sekali saya dapati keluarga asnaf tidak dapat beli buku kerana tidak mampu. Sekiranya kita bagi ilmu pada anak-anak asnaf, secara tidak langsung dapat mengeluarkan mereka daripada kelompok kemiskinan,” katanya.
Program Zakat Semarak Ilmu merupakan program cetusan idea Maszlee dengan penerima zakat diberikan sumbangan berbentuk bahan bacaan selain wang tunai dan makanan.
Usaha digerakkan oleh Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) itu melibatkan 4,600 asnaf pelajar sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya menerusi sumbangan zakat berjumlah RM700,000.
UTUSAN MALAYSIA ONLINE