TUN Dr. Mahathir Mohamad. - UTUSAN ONLINE |
PULAU PINANG 16 Mei - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam nada sebak mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua para pendidik sempena Sambutan Hari Guru yang diraikan hari ini.
Ucapan itu dizahirkan beliau di hadapan kira-kira 5,000 guru ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-48 bertemakan Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi di Spice Arena, Bayan Baru di sini.
“Kepada semua guru-guru di Malaysia, sekali lagi saya ucapkan Selamat Hari Guru. Teruskan usaha-usaha murni tersebut dan yakinlah ianya satu amanah dan tugas yang mulia.
“Semoga para guru akan diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan,” katanya dalam majlis yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik itu.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir mengakui beliau berasa sangat tersentuh setiap kali saya dijemput untuk menghadiri sambutan Hari Guru.
Ini kerana, katanya, seperti orang lain kehidupan beliau pada hari ini adalah hasil acuan dari setiap orang guru yang pernah mendidiknya.
“Jika saya dianggap berjaya, ia adalah hasil dari didikan baik yang saya terima dari guru-guru saya di samping ibu bapa.
“Jika ada kekurangan pada diri saya ianya bukanlah kerana ajaran yang tidak cukup dari guru-guru saya tetapi adalah kekurangan dari diri saya yang gagal menerima sepenuhnya ajaran dari guru-guru tersebut,” katanya.
UTUSAN MALAYSIA ONLINE
No comments:
Post a Comment