GEORGE TOWN, 13 Mei (Bernama) -- Para guru disaran untuk sentiasa bersedia menempuhi cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) seiring dengan era globalisasi.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata guru perlu berani membuat perubahan dan mempunyai daya kreativiti serta inovasi yang tinggi mengikut perkembangan teknologi semasa.
"Dalam persekitaran pendidikan yang kaya ICT atau 'ICT rich environment', para guru harus memainkan peranan utama sebagai ejen perubahan. Begitu jugalah daripada pihak pengurusan sekolah.
"Mengintegrasi dan membudayakan ICT pada setiap kesempatan dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah mampu mempengaruhi minat dan keupayaan untuk mengubah amalan pengajaran dan pembelajaran sedia ada serta membawa amalan tersebut ke peringkat yang lebih berkualiti," katanya berucap merasmikan Festival Guru Malaysia 2019, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin.
Maszlee berkata teknologi mudah alih generasi kelima atau 5G sering diperkatakan pada masa kini walapun teknologi 5G itu hanya akan dilancarkan di negara ini menjelang 2021 atau 2022.
Justeru, beliau berharap para guru bersedia untuk memanfaatkan teknologi 5G dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan persediaan yang diperlukan untuk melaksanakannya.
"Kemudahan teknologi 5G ini yang bakal menawarkan kelajuan data lebih pantas akan memberi peluang kepada rakyat untuk menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi dengan lebih berkesan sekali gus memberi nilai tambah kepada taraf hidup mereka termasuklah dalam bidang pendidikan," katanya.
Mengulas mengenai festival itu, Maszlee berkata penganjuran festival tahunan itu adalah satu platform bagi menyebarluaskan maklumat terkini berkaitan teknologi dan amalan baik dalam sistem pendidikan yang semakin dinamik dan berubah mengikut arus zaman.
"Di samping itu, ia tentunya menjadi saluran terbaik dalam memperkasa aspirasi kerajaan untuk meningkatkan aksesibiliti dan ekuiti pendidikan di dalam usaha menjadikam Malaysia sebagai hab pendidikan dan membangunkan masyarakat berilmu," katanya.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment