Dalam satu kenyataan, Kementerian Pendidikan memaklumkan, MUET dipilih sebagai ujian penguasaan untuk guru opsyen Bahasa Inggeris bagi mengenal pasti tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka sejak 2017.
“MUET dipilih kerana ia adalah ujian yang dibina menggunakan kepakaran tempatan, dinilai berlandaskan CEFR, dilaksanakan tiga kali setahun di seluruh Malaysia dan lebih murah berbanding ujian lain.
“Kementerian juga membenarkan guru menduduki ujian selain MUET yang dijajarkan kepada CEFR seperti Aptis dan IELTS (International English Language Testing System),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang sebelum ini meminta Kementerian Pendidikan dan pihak berkepentingan sektor pendidikan untuk membuat kajian komprehensif bagi mengetahui punca sebenar kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid berbanding menuding jari terhadap tahap penguasaan bahasa berkenaan oleh para guru.
Aminuddin berkata, mereka harus mengenal pasti punca yang mempengaruhi tahap penguasaan murid lemah dalam subjek itu berbanding memberi arahan supaya guru opsyen Bahasa Inggeris menduduki MUET.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan berkata, pihaknya terus mengambil langkah jangka pendek dan jangka panjang untuk mengatasi kekurangan guru opsyen bahasa Inggeris.
Katanya, antara langkah jangka pendek itu termasuk penawaran lantikan baharu kepada guru opsyen bahasa Inggeris yang bersara awal, penawaran program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI)/Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) opsyen bahasa Inggeris dan penempatan semula guru opsyen bahasa Inggeris.
“Selain itu, pelantikan guru baharu opsyen bahasa Inggeris dipercepatkan bagi memenuhi kekosongan dan pelantikan guru opsyen bahasa Inggeris daripada bekalan pasaran terbuka seperti guru interim atau kontrak opsyen bahasa Inggeris.
“Kementerian juga sedang dalam usaha menempatkan 500 guru interim di sekolah rendah dan menengah, yang mana mereka perlu menghadiri Program Diploma Pasca Siswazah Pendidikan (PDPP) untuk disahkan dalam jawatan sebagai guru opsyen bahasa Inggeris selepas tiga tahun,” katanya.
UTUSAN MALAYSIA ONLINE