Ungkapan tersebut diluahkan seorang anak pelarian Rohingya, Ummar Sadiq Fayyaz, 11, yang menetap di rumah Maahad Tahfizul Quran, Subang Pelangi.
Ungkapan yang cukup istimewa daripada anak kecil pelarian Rohingya bersempena sambutan Hari Guru di negara ini.
Ummar yang sudah empat tahun menetap di Malaysia bersama rakan-rakan senegaranya menghabiskan masa dengan menjalani aktiviti menghafaz al-Quran sebagai pengisian di dalam bulan Ramadan selain mengikuti kelas bahasa Melayu dan Inggeris seminggu sekali di maahad ini.
Ketika ditemui Utusan Online hari ini, Ummar nampak bersemangat tetapi tidak semua merasai keperitan dilaluinya sebelum ini.
Mengimbas kembali detik hitam empat tahun lalu, Ummar menceritakan kepada Utusan Online situasi dia bersama bapa saudaranya melarikan diri dengan meredah lautan beribu-ribu kilometer semata-mata mahu menyelamatkan diri.
"Keluarga saya ditindas tanpa belas kasihan. Ramai yang menjadi korban akibat kezaliman tentera Myanmar. Ibu bapa dan adik perempuan saya juga telah dibunuh.
"Empat tahun saya sudah berada di sini dan kehidupan ternyata berbeza dengan di Rakhine," bicara anak muda ini yang fasih bertutur bahasa Melayu.
Walaupun bukanlah di Myanmar, tanah kelahiran mereka, namun kegembiraan anak-anak pelarian ini menimba dan mempelajari ilmu di Malaysia dapat dilihat, malah mereka menganggap negara ini sebagai tempat menumpang kasih.
Maahad yang mula ditubuhkan pada tahun 2015 di bawah seliaan Persatuan Persaudaraan Muslimin Kuala Lumpur dan Selangor itu hanya menempatkan seramai 59 anak-anak pelarian Rohingya.
Biarpun terdapat 134 etnik di Myanmar, Rohingya tidak diiktiraf sebagai salah satu daripada kumpulan serta etnik tersebut.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan Rohingya sebagai golongan masyarakat yang menerima penindasan paling buruk di dunia.
UTUSAN MALAYSIA ONLINE